JPro

10 FAKTA MENARIK SEMPENA HARI KUSTA SEDUNIA

Pernah dengar kisah Nabi Ayub yang diuji dengan penyakit kusta? Ujian itu menyebabkan baginda telah disisihkan oleh ahli keluarga baginda sendiri. Penyakit kusta ataupun leprosy pernah menjadi igauan rakyat Malaysia. Ini kerana pesakit kusta yang tidak mendapat rawatan awal berisiko untuk mendapat kecacatan kekal pada muka, buta dan hilang jari tangan dan kaki.
 
Di sini saya ingin kongsikan 10 fakta menarik berkenaan kusta untuk tatapan kita bersama.
 
1. Hari ahad yang terakhir pada bulan Januari merupakan Hari Sambutan Kesedaran Penyakit Kusta Sedunia. Tema sambutan pada tahun ini adalah “United For Dignity” atau “ Bersatu Demi Maruah” bertujuan memberi sokongan kepada pesakit kusta untuk berhadapan dengan stigma di kalangan masyarakat.
2. Penyakit kusta juga dikenali sebagai leprosy kerana disebabkan oleh bakteria Mycobacterium leprae (M. leprae) yang lambat membiak di dalam tubuh dan hanya menyebabkan symptom selepas bertahun-tahun berada di dalam tubuh.
 
3. Kusta juga dikenal sebagai “Hansen’s Disease” semperna nama saintis Norway Gerhard Henrik Armauer Hansen yang mula-mula menemui bakteria yang menyebabkan kusta pada tahun 1873.

Norway Gerhard Henrik Armauer Hansen

4. Penyakit kusta telah disebut dalam pelbagai kitab agama termasuk dalam hadis Nabi S.A.W. yang telah mengajar kita untuk berdoa agar dijauhkan dari penyakit kusta. Kalimah الجذام yang bermaksud terpotong digunakan dalam hadis untuk menggambarkan penyakit kusta.
 
5. Pada tahun 1926, kerajaan British di Malaysia telah mewujudkan satu akta yang dikenali sebagai Leper Enactment Act yang mewajibkan setiap pesakit kusta dimaklumkan kepada pihak berkuasa dan mereka akan diasingkan dari komuniti dan dirawat di hospital.
 
6. Akta ini telah menubuhkan Pusat Kawalan Kusta Kebangsaan di Sungai Buloh. Pusat ini seluas 562 ekar merupakan Pusat Kawalan Kusta terbesar di Negara Komanwel. Pusat ini menempatkan 855 katil hospital dan 2000 katil chalet untuk pesakit Kusta. Terdapat wang kertas khusus yang digunakan oleh pesakit kusta di kawasan ini.

Pusat Kawalan Kusta Kebangsaan, Sungai Buloh

7. Penyakit kusta boleh mengancam kulit dan saraf-saraf periferal. Ia menimbulkan ruam / lesi kulit yang tidak gatal dengan atau tanpa kehilangan rasa / sensasi. Ia juga boleh merosakkan saraf dan seterusnya menyebabkan kelemahan otot dan kehilangan rasa / sensasi pada tangan dan kaki.
 
8. Penyakit ini boleh didianogsis melalui calitan di bahagian cuping telinga atau bahagian kulit yang terlibat. Calitan ini dikenali sebagai Slit Skin Smear dan bahagian kulit yang dikikis akan diletakkan di bawah mikroskop untuk mengenalpasti bakteria M.leprae di bahagian kulit tersebut.
 
9. Rawatan bagi pesakit kusta adalah kombinasi antibiotic sistemik (dirujuk sebagai “multidrug therapy” atau MDT) seperti rifampin, dapsone dan clofazimine selama 6 hingga 12 bulan.
 
10. Sebenarnya penyakit kusta tidak mudah berjangkit dan pesakit kusta boleh tinggal bersama-sama ahli keluarga dan bergaul dalam komuniti setelah menerima antibiotik. Penyakit kusta tidak berjangkit melalui kasual kontak samada bersalaman, duduk sebelah menyebelah dan bergurau senda.
 
Manusia sentiasa menjadi musuh kepada perkara yang tidak diketahui, semoga sedikit maklumat berkaitan kusta dapat memberikan pencerahan kepada semua. Sebagai ahli keluarga Malaysia, jom kita sama-sama membuang stigma kepada pesakit kusta, memberikan sokongan kepada mereka dan jangan lupa dapatkan dianogsis dan rawatan awal sekiranya mempunyai simptom penyakit kusta.
 
Hapuskan Stigma, Berikan Sokongan, Kusta Boleh Dihapuskan.
 
Rujukan:
1. World Leprosy Day: Bust the Myths, Learn the Facts. https://www.cdc.gov/…/index.htmlCDC_AA_refVal=https%3A…
2. Penyakit Kusta dalam Tinjauan Fiqih dan Medis https://islam.nu.or.id/…/penyakit-kusta-dalam-tinjauan…
4. Jayalakshmi, P. “Leprosy in Malaysia.” Malaysian Journal of Pathology 16.1 (1994): 7-9. Me

Ditulis oleh

Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Bin Tengku Md Fauzi
Doktor Perubatan,
Kluster Kesihatan
Jabatan Profesional Muda, DPPM
Penulis merupakan Pengerusi Kluster Kesihatan JPro, Jabatan Profesional Muda (JPro). Beliau juga seorang doktor perubatan lepasan Universiti Alexandria, sering berkongsi penulisan berkait tentang dunia perubatan dan kesihatan di media sosial.

30 Januari 2022