JPro

6 Soalan Isu Penangguhan Pendaftaran Sementara (Temporary Provisional Certificate) Pegawai Perubatan Siswazah/ Doktor Pelatih

1| Boleh terangkan latar belakang isu ini?
 
Selepas tamat pengajian perubatan di universiti (sesudah graduasi) langkah seterusnya adalah dilantik sebagai Pegawai Perubatan Siswazah UD41 / Doktor Pelatih (Housemenship) dalam tempoh maksima 4 tahun di hospital terpilih seluruh negara. Perlantikan ini berdasarkan kepada Akta Perubatan 1971 dan pindaan-pindaan berkaitan.
 
Hanya calon yang berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia MPM (Malaysia Medical Council – MMC) dan diberi lesen amalan yang disebut Pendaftaran Sementara MPM (Temporary Provisional Certificate- TPC) layak bertugas sebagai Pegawai Perubatan Siswazah UD41.
 
• Pendaftaran sementara: Untuk Doktor Perubatan Pelatih
• Pendaftaran penuh: Untuk Doktor Perubatan (yang sudah tamat Latihan Housemenship)
• Pendaftaran Pakar: Untuk pakar, mengikut bidang kepakaran masing-masing.
• Sijil Amalan Tahunan (Annual Practising Certificate – APC): Hanya doktor yang mengamalkan kedoktoran di tempat bertugas diisytiharkan sebagai seorang DOKTOR. Jika graduan kedoktoran tetapi bekerja bidang agensi lain seperti insuran tidak layak mempunyai APC & bergelar Doktor Berdaftar.
 
Semua doktor berdaftar boleh disemak pendaftarannya di laman web mmc: https://mmc.gov.my/
 
2 | Apa yang berlaku sehingga doktor-doktor generasi hadapan masa kini rasa teraniaya?
 
Apa yang berlaku ketika ini adalah wujud ketidakseragaman dalam undang-undang Jadual ke-2 Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2012). Semakan semula oleh Jawatan Kuasa Khas Perubatan (JKP) mendapati berlaku ketidakseragaman nama universiti dan kelulusan sijil seperti MD, MBBS dan sebagainya.
 
Semakan JKP ini penting bagi mengelakkan isu berbangkit di kemudian hari terutama apabila melibatkan mahkamah dan sebagainya.
 
Ini bukan bermakna universiti berkenaan tidak diiktiraf. Justeru itu, JKP telah mengangkat isu ini kepada ahli majlis MMC untuk dilakukan kelulusan semakan dan pindaan ke dalam Jadual 2 Akta berkenaan. Ahli Majlis bersetuju dalam mesyuarat ke-405, pada April yang lalu.
 
Setelah melalui proses semakan dan pindaan dalam undang-undang selesai, ianya memerlukan kelulusan daripada Menteri Kesihatan, kemudian baharulah pewartaan akta tersebut berjalan. Namun JPA telah meluluskan penempatan Houseman sebelum TPC (Temporary Provisional Certificate).
 
Mereka telah mendapat arahan lapor diri bertugas sebagai Doktor Pelatih oleh JPA. Mereka juga telah mengatur segala persiapan sepatutnya seperti pengangkutan, penginapan dan mengeluarkan duit tempahan. Tiba-tiba mereka dapat tahu permohonan pendaftaran sementara MPM tersangkut di peringkat MPM.
 
Sekiranya tiada lesen pendaftaran sementara MPM, mereka dianggapp tidak layak menjadi doktor pelatih / menjalani amalan kedoktoran di premis yang dinyatakan dalam pendaftaran sementara itu tersebut.
 
3| Kenapa tiba-tiba Majlis Perubatan Malaysia (MPM) tidak meluluskan Lesen Pendaftaran Sementara?
 
MPM telah mengesan beberapa buah institusi dalam dan luar negara yang didapati mempunyai perbezaan pada nama kelayakan atau nama institusi pada skroll ijazah asas perubatan daripada yang diwartakan dalam Jadual Kedua Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2012).
 
Berdasarkan dapatan tersebut, MPM memutuskan menangguhkan semua permohonan surat layak daftar dan Sijil Pendaftaran Sementara kepada graduan institusi terlibat.
 
Tujuan pengesanan dan penangguhan dilaksanakan supaya tidak berlaku isu berbangkit di masa akan datang sekiranya pengamal perubatan ingin memohon pendaftaran dengan MPM seperti permohonan Pendaftaran Penuh dan Pendaftaran Pakar.
 
4| Berapa universiti yang terlibat?
 
Rujuk lampiran senarai universiti/ institusi terlibat.
 
5| Jadi ini isu teknikal sahajalah berdasarkan perbezaan nama institusi atau nama kelayakan? Tiadakah jalan keluar tanpa menganiaya sesiapa?
 
Semuanya telah pun selesai. Walau bagaimanapun MPM & Penasihat Undang-Undang (PUU) KKM sudah berbincang dan hasilnya adalah:
 
Mesyuarat Jawatankuasa Penilaian (JKP 1) Bil. 6/2021 yang bersidang pada 17 Jun 2021 bersetuju untuk mengesyorkan kepada MPM untuk membenarkan proses Pendaftaran Sementara diteruskan serta merta kepada para graduan daripada 36 buah institusi tersebut, dan pada masa yang sama proses pembetulan dan pewartaan akan dijalankan.
 
Adalah disyorkan juga bahawa mana-mana pengamal perubatan daripada institusi yang tersenarai ini dan telah pun berdaftar dengan MPM sebelum pembetulan dan pewartaan dilakukan adalah pengamal perubatan yang sah berdaftar di sisi undang-undang.
 
Cuma, penempatan Housemen telah pun diwar-warkan sebelum proses ini semua telah selesai.
 
6| Bagi mereka yang tertangguh pendaftaran, perlu buat apa?
 
Kemukakan pendaftaran untuk Pendaftaran Sementara (Provisional Registration). Klik sistem Medical Register Information & Technical System (MeRITS):
 
Kemudian lapor diri seperti surat arahan asal.
 
Akhir sekali, diucapkan selamat bertugas kepada kawan-kawan. Semoga dikurniakan ketabahan dan kekuatan dalam mengharungi suka duka cabaran dalam dunia Housemenship.
 
Tahniah! anda kini bergelar FRONTLINERS.

Ditulis oleh

Dr. Haikal Idris
Kluster Kesihatan,
Jabatan Profesional Muda, JPro
Penulis merupakan ahli Kluster Kesihatan JPro dan merupakan doktor bertauliah di salah sebuah hospital. Beliau sering memberi perkongsian kepada masyarakat tentang kerjaya dalam dunia perubatan menerusi media sosial.

27 Jun 2021