7 April : Sambutan Hari Kesihatan Sedunia

7 April 2022, Khamis

Hari Kesihatan Sedunia disambut pada 7 April setiap tahun. WHO telah mengadakan sambutan ini bagi memberi kesedaran kepada setiap penduduk dunia berkenaan isu-isu kesihatan yang melingkungi setiap penduduk dunia. Tema setiap tahun adalah berbeza bagi mengetengahkan isu kesihatan semasa.

 

Sambutan tahun ini bertemakan “Our Planet Our Health” yang bermaksud planet kita sumber kesihatan kita. Tema ini dipilih kerana di tengah-tengah pandemik yang melanda dunia, peningkatan ketara penyakit kanser, athma dan sakit jantung berlaku di seluruh dunia. Melalui tema Hari Kesihatan Sedunia pada tahun ini WHO akan menumpukan tindakan dunia kepada kesihatan manusia dan planet bumi yang kita duduk pada hari ini.

WHO telah menganggarkan lebih 13 juta kematian setiap tahun kerana masalah persekitaran. Keadaan ini berlaku disebabkan oleh perubahan iklim yang telah mengancam sistem hidup manusia. Kita kena ingat bahawa krisis iklim merupakan ancaman besar kepada kesihatan manusia.

 

Bayangkan lebih 90% manusia bernafas dalam udara tidak sihat disebabkan pencemaran bahan bakar fosil. Dunia yang semakin panas menyebabkan kes penyakit bawaan nyamuk seperti denggi, malaria dan zika meningkat di seluruh pelusuk dunia. Kemarau yang berpanjangan, banjir yang tidak menentu dan kurangnya sumber air bersih menyebabkan migrasi penduduk dan mengancam nyawa mereka.

 

Tidak kira lagi bagaimana sistem industri pemprosesan makanan yang menghasilkan makanan yang tinggi tenaga telah menyebabkan peningkatan kes obesiti, kanser dan penyakit jantung. Sistem ini juga telah meningkatkan kadar penghasilan gas rumah hijau yang menipiskan ozon dan memburukkan lagi krisis iklim di seluruh dunia. Itulah gambaran kesakitan planet bumi yang kita duduk pada hari ini.

Keadaan ini diburukkan lagi dengan ketidak sama rataan sistem kesihatan antara negara maju dan negara membangun. Pandemik COVID-19 telah menunjukkan bagaiman negara maju yang membolot hampir kesemua vaksin COVID-19 melebihi had kapasiti penduduk mereka. Ini menunjukkan bagaimana gagalnya sistem kapitalis yang berteraskan sifat individualistik dalam memastikan kesaksamaan di dunia.

 

Sambutan Hari Kesihatan Sedunia pada bulan Ramadhan tahun ini sepatutnya menyedarkan dunia bahawa Islam antara penyelesaian kepada ketidaksamarataan serta ketidakseimbangan antara pembangunan dan penjagaan alam sekitar. Dalam satu hadis Nabi S.A.W pernah bersabda “Ramadhan adalah bulan kepeduliaan”. Umat islam bukan sahaja perlu peduli tentang keperitan hidup masyarakat namun perlu juga peduli tentang penjagaan alam sekitar.

 

Inilah hasrat dari tema “our planet our health” agar setiap individu berusaha untuk membentuk satu sistem yang saksama dan prihatin tentang ekologi dunia. Dunia yang kita duduk pada hari ini akan diwariskan kepada generasi yang mendatang. Pembangunan mapan yang menjaga ekosistem alam dan kesejahteraan manusia perlu dibentuk bagi memastikan kelestarian alam dan manusia terjaga. Kita adalah penjaga amanah di dunia dan kita akan bertanggungjawab terhadap amanah tersebut di akhirat kelak.

Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Bin Tengku Md Fauzi,
Pengerusi Kluster Kesihatan, JPro

Penulis merupakan Pengerusi Kluster Kesihatan, Jabatan Profesional Muda (JPro). Beliau juga seorang doktor perubatan lepasan Universiti Alexandria, sering berkongsi penulisan berkait tentang dunia perubatan dan kesihatan di media sosial.