8 Rahsia Kedah Mencapai Pelaburan Kedua Tertinggi Pada Tahun 2021

11 April 2022, Isnin

  1. Tiada Cengkaman Politik Kepada Para Pegawai

Amalan tadbir urus yang beri kepercayaan sepenuhnya kepada pegawai Kerajaan Negeri mengikut profesion dan bidang kepakaran mereka. Tiada cengkaman politik kepada para pegawai. Berbeza dengan parti yang memerintah kerajaan negeri sebelum itu. MB beri kepercayaan penuh dan jika terdapat campur tangan daripada mana-mana ahli politik dalam urusan Kerajaan, MB akan bertanggungjawab penuh ke atasnya. Hasilnya, produktiviti negeri meningkat sehingga mendapat pengiktirafan ‘Productivity Champion’ oleh Perbadanan Produkiviti Malaysia (MPC) bagi tahun 2021.

 

  1. Kesediaan Pegawai Untuk Berkhidmat Demi Rakyat Negeri

Apabila pegawai Kerajaan telah mendapat kepercayaan penuh tanpa gangguan dan belenggu politik kepartian, mereka bersedia untuk bekerja lebih masa (luar waktu pejabat) demi manfaat rakyat di negeri Kedah. Contoh kes, mesyuarat meluluskan tanah untuk pemohon dibuat selama dua (2) kali sebulan. Sebelum ini, mesyuarat tersebut hanya dilakukan sebanyak dua (2) kali setahun sahaja.

 

  1. Produktiviti Tinggi Meningkatkan Kutipan Hasil

 Hasil daripada produktiviti para pegawai Kerajaan juga, Kerajaan Negeri berjaya mengutip hasil berjumlah sehingga RM688 juta pada tahun 2021, antara yang tertinggi bagi negeri Kedah berbanding tahun-tahun sebelumnya. Kutipan cukai dilaksanakan kepada pengusaha-pengusaha yang mempunyai tunggakan yang tinggi. Simpanan Kerajaan Negeri Kedah juga mencapai nilai tertinggi iaitu sebanyak RM600 juta.

 

  1. Kemudahan Teknologi Khusus Kepada Pelabur

Mempercepatkan proses birokrasi pentadbiran melalui Sistem E-10. Sistem yang disediakan ini, khusus kepada pelabur yang datang ke negeri Kedah. Ia menjimatkan proses undang-undang (Legal Process) daripada sekitar dua ke tiga tahun (dalam pentadbiran Kerajaan sebelumnya) kepada hanya 10 bulan sahaja. Contoh seperti Aspen Glove di Kulim Hi-Tech yang hanya mengambil masa 10 bulan untuk mendapatkan Return on Investment (ROI).

  1. Meneruskan Projek Lama yang Memberi Manfaat Kepada Rakyat

Kerajaan Negeri tetap meneruskan projek dan pembangunan negeri Kedah yang telah dirancang dan yang memberi manfaat kepada rakyat seperti Pelan Pembangunan Kedah 2035 yang telah mengambil masa yang panjang dan menelan kos yang banyak. Kerajaan Negeri tidak mengamalkan amalan membuang perancangan yang telah dibuat oleh kerajaan terdahulu bagi melindungi kos, tenaga dan masa yang telah digunakan demi kebaikan rakyat dan negeri Kedah.

 

  1. Ketegasan Dalam Penguatkuasaan Undang-Undang

Contohnya kes pembinaan yang tidak mengikut spefikasi yang sepatutnya akan diberhentikan serta-merta. Membanteras kes pembinaan secara ‘haram’ sekali gus memudahkan urusan pembangunan oleh kerajaan negeri.  Melalui ketegasan ini juga, amalan rasuah dan salah guna kuasa dapat dielakkan sebaiknya.

 

  1. Keadaan Politik yang Stabil

Faktor utama yang berjaya menarik pelaburan di Kedah adalah kestabilan politik. Walaupun terdapat pelbagai parti politik di pihak Kerajaan, perbincangan dan kata sepakat sentiasa dapat dicapai dengan sebaiknya. Orang yang ada, tak kedekut manakala orang yang minta, tak tamak. 

 

  1. Ketua Berkaliber, Mahir Dan Beriman

Kekuatan dan pengalaman YB Sanusi yang telah berkhidmat di dalam pelbagai lapangan menjadi antara kekuatan Kerajaan Negeri Kedah. Pengalaman di dalam pentadbiran Kerajaan Negeri, networking yang luas dengan pegawai kerajaan di semua peringkat serta latar belakang beliau yang berasal dari keluarga susah sudah tentu menjadikan beliau seorang yang memahami denyut derita rakyat. Beliau ingin menjadikan Kedah sebagai tempat orang miskin tumpang meneduh dan tempat orang kaya menabur bakti.

Sedutan dari program Activate Café: Kedah dan Pelaburan Terkedepan. Apakah Rahsianya?

Ucapan Panel 1: Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden

Asyraf Salleh,
Kluster Ekonomi & Kewangan, JPro

Penulis merupakan ahli Kluster Ekonomi & Kewangan, Jabatan Profesional Muda (JPro), DPPM. Beliau bertugas sebagai Pegawai Penyelidik dan memegang Ijazah Sarjana dalam bidang Ekonomi.