JPro

8 Tips Pemanduan Selamat Pulang Ke Kampung Yang Perlu Anda Tahu

BALIK KAMPUNG HUJUNG MINGGU? JANGAN LUPA TIPS PEMANDUAN INI ⤵⤵
 
Sudah pasti anda tak sabar menunggu untuk pulang ke kampung halaman.
 
Yelah, dah DUA TAHUN tak balik!
 
Tapi sebelum itu, jangan lupa baca 8 tips pemanduan selamat pulang ke kampung ini dahulu sebelum memulakan perjalanan. Semoga beroleh manfaat.
 
1. RANCANG PERJALANAN ANDA
 
Perjalanan yang dirancang dengan baik dapat mengurangkan stress, menjimatkan masa dan juga minyak kenderaan sekiranya pemilihan masa dan lokasi laluan jalan yang efisyen. Sentiasa semak ramalan kaji cuaca, mengikuti perkembangan trafik lebuhraya semasa dan juga menggunakan aplikasi GPS seperti Waze atau Google Maps dapat membantu melancarkan perjalanan anda.
 
2. PASTIKAN KERETA TELAH DISERVIS
 
Kereta yang telah mencapai kilometer ataupun tempoh masa yang mencukupi untuk servis perlulah dihantar ke bengkel untuk diperiksa kenderaan. Had limit penyelenggaraan kenderaan adalah berbeza mengikut pengeluar kenderaan dan jenis minyak pelincir yang digunakan. Kegagalan melakukan servis mengikut jadual yang ditetapkan akan merosakkan enjin atau komponen-komponen lain di dalam kenderaan itu sendiri.
 
3. PERIKSA KENDERAAN SEBELUM MEMULAKAN PERJALANAN
 
Periksa perkara asas kenderaan sebelum memandu ke destinasi yang jauh seperti tekanan tayar, brek tayar, paras air untuk sistem penyejukan (radiator), paras minyak enjin, lampu signal, lampu brek dan juga kit tukar tayar perlulah berada dalam keadaan yang baik. Jangan sesekali abaikan aktiviti berkala ini ketika memulakan perjalanan kerana ia amat penting ketika berlaku kecemasan.
 
4. MEMATUHI HAD LAJU YANG DITETAPKAN
 
Patuhi kadar had laju yang telah ditetapkan kerana ia bukan sahaja dapat mengurangkan kadar kemalangan, bahkan ia dapat menjimatkan duit poket anda daripada disaman oleh JPJ atau polis trafik. Perlu sentiasa berhati-hati dengan kadar had laju yang berbeza di setiap tempat.
 
5. PASTIKAN JARAK KENDERAAN YANG SELAMAT
 
Tahukah anda, cara untuk memastikan jarak kenderaan yang selamat ketika cuaca yang baik adalah dengan mematuhi peraturan ‘2 saat’. Ini bagi memastikan kurangnya berlaku risiko kemalangan yang menimpa kereta hadapan. Bagi cuaca yang kurang baik seperti hujan, perlu mematuhi peraturan ‘4 saat’.
 
6. JANGAN MELALUI LORONG KECEMASAN
 
Seringkali viral ketika musim perayaan apabila pemandu memandu atau berhenti di lorong kecemasan. Lorong kecemasan adalah laluan yang dikhaskan untuk kenderaan seperti ambulans dan juga digunakan apabila berlaku sebarang kecemasan. Tindakan melalui lorong tersebut akan mengakibatkan kesesakan dan menyulitkan urusan bantuan kecemasan.
 
7. BEREHAT DI TEMPAT YANG DISEDIAKAN
 
Pastikan anda berehat secukupnya sebelum memulakan perjalanan. Sekiranya mengantuk, sila berehat di tempat rehat yang disediakan ataupun menukar pemanduan dengan co-pilot anda. Ingat, keselamatan amat penting demi memastikan semua penumpang dapat tiba ke destinasi dengan selamat.
 
8. JANGAN LUPA BERDOA DAN SOLAT KETIKA BERMUSAFIR
 
Akhir sekali selaku seorang muslim, setelah melakukan pelbagai ikhtiar, jangan sesekali lupa untuk berdoa dan bertawakal kepada Allah s.w.t agar selamat sampai ke destinasi yang dituju. Jangan sesekali abaikan solat jamak dan qasar sebagai ‘hadiah’ daripada Ilahi untuk memudahkan urusan mereka yang bermusafir.
 
Pandu cermat, jiwa selamat.

Ditulis oleh

Ts. Faiz bin Razali
Jurutera Rekabentuk,
Kluster Kejuruteraan JPro, DPPM
Penulis merupakan AJK Kluster Kejuruteraan JPro, Jabatan Profesional Muda (JPro) DPPM. Beliau juga seorang Jurutera Rekabentuk di salah sebuah syarikat swasta dalam industri automotif, sering berkongsi penulisan berkait tentang dunia kejuruteraan dan keselamatan kenderaan di media sosial.

28 April 2022