JPro

AL QURAN AL AZIIM : GOLONGAN YANG MEMBINA JURANG TERHADAPNYA

Ramadhan selain dikenali bulan rahmat, maghfirah, bulan keberkatan dengan pelbagai izzah amal soleh umpamanya sedekah, jihad, amal nawaafil lainya, bulan mujaahadah, bulan digandakan pelbagai ibadah sama ada wajib mahupun sunat. Bulan ini juga digelar sebagai Syahrul Quran, iaitu bulan Al Quran, bulan Allah mengurniakan kitab ini kepada manusia. Allah menjelaskan perihal ini berasaskan ayatNya :

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ

“Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang haq dan yang bathil) – Surah Al Baqarah : 185

Di sana terdapat beberapa pandangan ulama dalam mentafsirkan ayat di atas bagi menjelaskan peristiwa penurunan Al Quran dari aspek tarikh. Ulama seperti Al Waqidi menerusi Abu Ja’far Al Baqir berpandangan mengaitkan 17 Ramadhan sebagai hari penurunan Al Quran (Nuzul Quran) daripada Allah kepada Malaikat Jibril as seterusnya kepada Nabi Muhammad SAW untuk dijadikan rujukan utama dakwah, perjuangan dan pembinaan Hadharah Islamiah (Tamadun Islam).
Perbezaan pandangan tarikh ini tidak menafikan jelasnya Al Quran tetap diturunkan dalam Ramadhan. Inilah fokus utama perbincangan dan ibrah.

Umat Islam zaman keemasan pimpinan Rasulullah SAW telah meletakkan Al Quran sebagai pemimpin utama sehinggalah umat ini layak digelar sebagai Khairul Ummah (Ummat Yang Terbaik), diikuti zaman Khulafa’ Ar- Rasyidin dan Salafussoleh. Mereka menjadikan Al Quran sebagai Al Furqan (pembeza) dalam segenap aspek. Pembeza antara hak dan batil, zalim dan adil, Islam dan Kuffar.

Namun begitu mutakhir ini, Al Quran seolah-olah tidak dijadi sebagai kiblat hakiki dan panduan manusia khususnya umat Islam. Kesannya berlaku pelbagai fitnah, fawaasiq (kerosakkan), kejahilan serta kezaliman yang menghambat dunia saban hari sehingga tidak mampu lagi untuk dikekang oleh manusia itu sendiri. Mengapa keadaan ini berlaku walapun Al Quran masih berada di depan mata manusia? Di sinilah sangat relevannya ayat Allah yang menjelaskan bagaimana sikap dan perangai manusia yang menjadikan Al Quran sebagai bahan asing walaupun kitab ini belum pupus ditelan zaman, bahkan masih bersama kita. Firman Allah SWT :

وَقَالَ الرَّسُولُ يَا رَبِّ إِنَّ قَوْمِي اتَّخَذُوا هَٰذَا الْقُرْآنَ مَهْجُورًا

Berkatalah Rasul: “Ya Tuhanku, sesungguhnya kaumku menjadikan Al Quran itu sesuatu yang tidak diacuhkan”. – Surah Al Furqan : 30

Ulama tafsir seperti As Syeikh Dr. Khalid Al Muslih menyebut dalam mentafsirkan ayat ini. Bentuk tidak acuh atau tidak mengendahkan Al Quran itu diklasifikasikan kepada beberapa keadaan :

1. Tidak membaca Al Quran dalam kehidupan seharian
2. Tidak merenung makna yang Allah abadikan di dalamnya
3. Tidak menjadikan Al Quran sebagai panduan
4. Tidak menyampaikan seruan Al Quran
5. Tidak berhukum dengan hukuman Al Quran

Jika kita mengamatinya keadaan yang ditafsirkan ulama ini, sukar untuk kita menafikan perangai di atas sedang menular dalam kalangan umat Islam. Ada dalam kalangan umat tidak pernah membaca Al Quran atau terlaku jarang bersama Al Quran, rajinnya mereka membaca tulisan manusia mengatasi rajinnya mereka menghadap kalam Allah, tidak kurang juga yang menutup hati untuk merenung bait-bait Al Quran, melihat Al Quran sebagai paparan khat sahaja, ada manusia yang hanya sibuk mempertandingan alunan dan tarannumnya. Hanya terhenti di situ peranan kitab agung ini berbanding peranan ya yang sebenar.

Al Quran hanya di mata bukan di hati, akhirnya tidak dapat mengamalkan dengan luhur, meninggalkan seruan Al Quran sehingga martabat paling berbahaya sekali apabila manusia tidak lagi menjadikan Al Quran sebagai hukuman tertinggi dalam hidup kendiri, masyarakat dan negara. Benarlah kata-kata Al Imam Ibnu Rejab rahimahullah dalam Lataaiful Maarif yang bermaksud :

“Berapa banyak ayat Al Quran yang dibacakan kepada kita tetapi hati kita tetap seperti batu bahkan lebih keras”

Semoga kita dijauhkan Robbul Jalil daripada deretan sikap di atas sehingga digazetkan Allah sebagai orang yang berpaling dari Al Quran. Mulakan dengan Iqra, tadabbur, amal, dakwahkan Al Quran ini kepada umat seluruh isinya daripada bab ibadah, muamalat, hukumah, serta daulah (syumuliah), Akhirnya bangun membentuk ketumbukan menegakkan Al Quran sebagai dustur (undang-undang tertinggi) seperti mana Nabi pernah tegakkan di muka bumi Allah ini zaman kemenangan Islam. Marilah kita merenungi kata-kata Ibnu Mas’ud r.a dalam kitab Tazkiyyatun Nufuus yang bermaksud :

“Sesiapa yang mahu mengetahui dirinya mencintai Allah, hendaklah dia menghadapkan dirinya di depan Al Quran, jika dia ingin mencintai Allah, maka hendaklah mencintai Al Quran kerana Al Quran adalah kalam Allah”

Ramadhan Kareem Bulan Al Quran !

Rujukan:

Al Quran Al Kareem
Tafsir Al Quran
Lataaiful Maarif
Tazkiyyatun Nufuus (Majmu’ah Asyhabus Sunnah)

Ditulis oleh

Abu Mahfuz Affan
Kluster Pengajian Islam
Jabatan Profesional Muda, DPPM
Penulis merupakan AJK & Ahli KPI , JPro DPPM. Bekerja sebagai pendidik dan penceramah motivasi. Aktif dalam aktiviti penulisan dan kemasyarakat serta lapangan dakwah.
 

23 Mei 2019