JPro

AWAS! PEMBUNUH SENYAP

Kematian disebabkan karbon monoksida di dalam kenderaan yang tidak bergerak disebabkan enjin masih hidup berulang lagi. Terbaru, peristiwa ini berlaku kepada petugas barisan hadapan di Bukit Pelanduk, Port Dickson. Kes sebegini saban kali berlaku terutamanya ketika pemandu tidur atau berehat di dalam kenderaan ketika enjin masih hidup.
 
Tahap kesedaran dan ambil berat terhadap isu ini perlu dipertingkatkan lagi agar kita mampu mencegahnya daripada berulang. Antara punca utama kematian adalah disebabkan oleh kehadiran gas karbon monoksida (CO) yang keluar dari ekzos dan masuk semula ke dalam kenderaan.
 
Gas karbon monoksida (CO) adalah merupakan gas beracun yang mempunyai sifat-sifat yang tidak berwarna, tidak berbau, tidak mengiritasi kulit dan mata, namun ia sangat berbahaya. Karbon monoksida (CO) di udara disedut dan diserap dengan mudah ke dalam paru-paru. Jika dibandingkan dengan oksigen, karbon monoksida (CO) lebih mudah terikat dengan hemoglobin di dalam sel darah merah yang menyebabkan jaringan sistem tubuh badan kekurangan oksigen.
 
Kajian berkaitan kematian tidak sengaja oleh karbon monoksida (CO) di dalam kenderaan telah lama dan banyak dijalankan. Antaranya Susan P. Baker dan rakannya pada tahun 1972. Susan P. Baker telah menjalankan kajian dan siasatan terhadap 68 orang kes kematian di dalam kenderaan. Dapatan menunjukkan 65 daripada 68 orang ini kandungan karbon monoksida (CO) di dalam darah mengandungi 30% hingga 79% COHb. Tahap selamat kandungan COHb jika dirujuk kepada J. Am Board Pract 1998 sepatutnya mesti berada di bawah 10% COhb.
 
Oleh itu, pengguna perlu sentiasa memastikan kondisi kenderaan sentiasa berada dalam keadaan yang baik dan diselenggara. Jangan berada di dalam kenderaan bagi tempoh jangkamasa yang lama, ketika kenderaan tidak bergerak tetapi enjin masih dihidupkan. Jika terdesak, matikan enjin kenderaan dan pastikan pengudaraan dalam keadaan yang baik sebelum berehat atau tidur. Jika tidak, kita terdedah kepada risiko gas karbon monoksida (CO) dan boleh menyebabkan kematian oleh gas ini yang juga dikenali sebagai ‘pembunuh senyap’ (silent killer).

Ditulis oleh

Ts. Shahronizam Noordin,
Kluster Kejuruteraan,
Jabatan Profesional Muda, JPro
Penulis merupakan ahli Kluster Kejuruteraan JPro dan juga pengamal keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Beliau seringkali berkongsi ilmu berkaitan HSE menerusi ruangan di media sosial.
 

26 Julai 2021