JPro

EMPAT FASA PENGURUSAN BENCANA DI BANJIR MALAYSIA

Apa tindakan dan bantuan kerajaan dalam menghadapi fasa bencana?
Bencana alam merupakan perkara yang amat digeruni bagi kita sebagai penduduk di bumi. Ini kerana ia melibatkan nyawa dan kerosakan harta benda bahkan boleh membawa kepada kehilangan punca rezeki. Semuanya adalah ketentuan Maha Esa untuk menguji kita namun paling dibimbangkan adalah jika ia merupakan bala kepada umat manusia. Kita sebagai umat manusia perlu sedar segalanya adalah pinjaman dan tiada yang kekal di muka bumi ini. Allah tegaskan di dalam Surah Ar-Rum ayat 41 yang bermaksud :
 
“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).”
 
Kerosakan yang biasa kita lihat adalah kerosakan bebentuk fizikal namun, kerosakan dari sudut rohani juga perlu dititikberatkan. Maksiat yang dilakukan samaada yang nampak atau tidak, jelas atau tersembunyi, semuanya di bawah pemerhatian dan pengetahuan Allah swt.
 
“Wahai kaumku, sembahlah Allah. Tidak ada Tuhan (sesembahan) bagimu selain Dia. Sesungguhnya telah datang bukti yang nyata kepadamu dari Tuhanmu. Sempurnakanlah takaran dan timbangan, dan janganlah kamu merugikan orang sedikit pun. Janganlah kamu berbuat kerusakan di muka bumi setelah (diciptakan) dengan baik. Itulah yang lebih baik bagimu jika kamu orang-orang beriman.” – (Q.S Al-A’raf: 85)
 
Apa tindakan dan bantuan kerajaan dalam menghadapi fasa bencana?
 
Pengurusan bencana boleh dibahagikan kepada empat fasa iaitu mitigasi, kesediaan, tindak balas, dan pemulihan. Berikut merupakan beberapa langkah yang telah diambil melalui kerangka 4 Fasa Pengurusan Bencana ini bagi isu banjir yang telah melanda beberapa kawasan Pantai Barat dan Pantai Timur baru-baru ini.
 
1) MITIGASI
 
Jabatan Meteorologi Malaysia ataupun MyMet telahpun mengeluarkan notis Amaran Ribut Petir secara berkala melalui platform sosial media umum. Sebagai contoh, pada 16 Disember, MyMet telah mengeluarkan 4 notis amaran secara berasingan pada jam 3:20 pm, 7:00 pm, 8:00 pm dan 11:00 pm. Daripada info pusat ini, Unit Pengurusan Bencana di bawah kerajaan Negeri berfungsi untuk menyelaras laporan kaji cuaca dengan jabatan / agensi mengenai potensi risiko bencana serta mengurangkan impak bencana, merancang serta menyelaras keperluan logistik, menyediakan laporan dan menyelaras program dan kebajikan mangsa bencana (sumber : Unit Pengurusan Bencana, Kerajaan Negeri Selangor).
 
Selain itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) juga giat membangunkan Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) dengan 4 objektif utama iaitu membangunkan sistem yang mampu meramal banjir monsun 7 hari lebih awal berdasarkan data MyMet, meningkatkan kapasiti amaran dan hebahan seawal 2 hari hingga 6 jam sebelum untuk makluman agensi berkaitan dan penduduk terlibat, meningkatkan ketepatan ramalan banjir melalui perbandingan data ramalan dan data semasa dan membina sebuah sistem yang mampu memberi amaran dan hebahan banjir monsun seawal 3 sehingga 1 jam sebelum yang berfokuskan kepada limpahan sungai. Program PRAB Fasa 1 yang melibatkan negeri kritikal banjir (Sg. Kelantan, Sg. Terengganu dan Sg. Pahang) telah diimplementasikan, manakala PRAB Fasa 2 yang melibatkan 38 kawasan tadahan sungai lain seluruh Negara termasuk Sabah dan Sarawak dijangka akan siap menjelang 2025 (Sumber : JPS).
 
Selain itu, KASA melalui JPS juga giat menjalankan aktiviti pembersihan sungai, antaranya sasaran pembinaan 10,000 km Denai Sungai Nasional melalui tandatangan Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Kampus MSU, Shah Alam dan dengan kerjasama bersama komuniti setempat, badan bukan kerajaan (NGO) dan badan korporat secara Tanggungjawab Korporat Sosial (CSR).
 
2) KESEDIAAN
 
Kerajaan Negeri Terengganu melalui Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Terengganu telah menyediakan Dokumen Sistem Komunikasi Pengurusan Bencana yang menggariskan Pelan Komunikasi Krisis, bertujuan untuk memastikan pihak badan berkuasa dan pegawai kerajaan tempatan mempunyai kemampuan untuk memaklumkan secara cepat, tepat dan sahih kepada komuniti masyarakat setempat ketika berlaku kecemasan. Dokumen padat yang merangkumi aspek teknologi komunikasi, pelan pelaksanaan, peralatan komunikasi bencana, latihan dan penyelenggaraan dalam pengurusan bencana ini sewajarnya menjadi panduan untuk kerajaan pusat bagi memastikan keberkesanan penyampaian maklumat kepada pihak yang terlibat.
 
3) TINDAK BALAS
 
Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) telah membuka talian hotline bagi semua negeri terjejas mengikut zon bagi memberi ruang kepada mangsa yang terlibat untuk mendapatkan sebarang pertolongan (Sumber : JPBN). Selain itu, KASA melalui JPS telah menggerakkan aset-aset pam mudah alih melalui sumbangan unit genset TNB dan PETRONAS secara berperingkat di kawasan sekitar Selangor bagi mengepam air keluar dan membantu mengurangkan masalah air banjir genang yang berlaku. Sehingga petang 21 Disember 2021, sebanyak 41 bot, 16 lori serta aset-aset lain digerakkan ke Taman Seri Muda dengan kekuatan anggota pasukan penyelamat seramai 321 orang. Sukarelawan KASA seramai 100 orang juga telah digerakkan untuk turun dengan kelengkapan dan aset bagi membantu membersih rumah serta menyumbang keperluan kepada keluarga yang memerlukan. YAB PM melalui ucapan media pada tarikh 19 Disember 2021 telah menggariskan 6 intipati utama iaitu Cuti Kecemasan, Peruntukan RM100 Juta Baiki Kerosakan, Peruntukan RM1000 Bantuan Wang Ihsan, Peruntukan RM50 Juta Kelangsungan Bantuan, Penyediaan Keperluan Asas di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan Penempatan Doktor & Jururawat di PPS.
 
Selain itu, Jabatan AMAL Malaysia di seluruh negara telah diberikan arahan untuk berada dalam mod bersedia untuk menghulurkan khidmat bakti menghadapi musibah banjir seluruh negara. Antara modus operandi yang telah dilaksanakan adalah kutipan Infaq untuk saluran bantuan, kerahan jentera untuk membantu misi menyelamat dan pembersihan kawasan terjejas, juga penyediaan makanan dan sumbangan asas keperluan bagi mangsa di PPS. Pada 21 Disember 2021 juga, Mesyuarat Khas Penyelarasan Bencana Negara juga telah menyelaraskan agar Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengeluarkan pengarahan kepada semua pihak berhubung tindakan-tindakan yang perlu dilakukan dengan segera berhubung bencana banjir ketika ini, dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bertindak sebagai sekretariat utama pengurusan bencana dan mengendalikan semua penyelarasan.
 
4) PEMULIHAN
 
Pada 19 Disember 2021 lalu, kerajaan bersetuju memperuntukkan sebanyak RM100 juta untuk pasca banjir bagi membaiki kerosakan rumah dan infrastruktur lain serta memberi sumbangan sebanyak RM1,000 kepada setiap isi rumah yang terjejas akibat bencana banjir. (Sumber : FB TITM, Menteri KASA). SPAN-KASA memperuntuk RM10 juta bagi membaik pulih kerosakan sistem pembentungan negara bagi memulihkan lebih kurang 200 loji rawatan kumbahan seliaan IWK yang mengalami kerosakan seperti peralatan, panel elektrik, struktur dan paip. Sementara itu, bagi memudahkan urusan mangsa banjir, SPAN dan IWK menempatkan 32 buah tandas bergerak di lapan PPS di Selangor dan Pahang. Proses pemulihan bekalan air di Selangor melalui Air Selangor juga sedang dijalankan secara berperingkat dengan pantauan rapat dari KASA.
 
Semoga seluruh rakyat Malaysia terus bersatu padu dan bersatu hati dalam menghadapi bencana banjir ini. Setiap kesusahan bersama dengan kesenangan.

Ditulis oleh

Ahli Kluster Kejuruteraan,
Jabatan Profesional Muda, JPro

23 Disember 2021