Gelang Kisra, Bukti Kehebatan Janji Allah dan RasulNya

Usrah dan Iftar Jamaie Kluster Kejuruteraan (KKj) bertempat di Pasti as Syakirin Bandar Mahkota Cheras baru-baru ini menerima seorang tetamu profesional yang juga peneraju pasukan penyelidik sebuah universiti ternama tanahair. Tambah menarik apabila beliau menyorot kembali kisah Gelang Kisra sebagai bukti kehebatan Janji Allah dan Rasulnya.

Kisah ini bermula apabila Rasulullah SAW dan Abu Bakar R.A hampir disekat dan dihalang dari berhijrah ke Madinah oleh seorang pemuda Quraisy bernama Suraqah bin Malik. Suraqah bertekad mahu membunuh baginda demi ganjaran hadiah 100 ekor unta yang ditawarkan pembesar Quraisy. Namun diringkaskan cerita, Baginda menawarkannya ganjaran yang super hebat iaitu gelang Maharaja Kisra Parsi iaitu satu kuasa besar dunia ketika itu.

Hampir tidak masuk akal untuk Suraqah menerima janji itu. Sepuluh tahun setelah perjanjian itu, Rasulullah telah menjadi pemimpin yang hebat. Suraqah berjumpa dengan Baginda menyatakan keislamannya dan menuntut janjinya. Walau bagaimanapun, setelah beberapa bulan, Baginda ditakdirkan wafat. Suraqah berasa sedih kerana memikirkan janjinya yang telah dimungkiri.

Namun apabila Allah dan RasulNya yang berjanji, maka ia bukan calang-calang janji. Ternyata, ketika Umat Islam di bawah pimpinan Khalifah Umar, Kerajaan Kisra telah jatuh ke tangan tentera Islam dan Subhanallah, gelang itu ada bersama rampasan tentera Islam. Menangis Suraqah apabila Khalifah Umar sendiri yang memakaikan pakaian Raja Kisra dan gelang milik raja Parsi tersebut kepadanya. Maka, terbukti Rasulullah menepati janjinya.

Berjanji dan menyempurnakan janji sebenarnya bukanlah mudah. Sebelum berjanji lihatlah kemampuan untuk menyempurnakan janji tersebut.

Sebagai seorang profesional, janji menjadi sebahagian dari kod etikanya. Namun sebagai seorang mukmin profesional, tanggungjawab kita berpegang pada janji bukan sahaja kerana kod etika tetapi juga sebagai manifestasi ketaqwaan kepada Allah.

Menghadiri program tepat pada masanya, pengurusan mesyuarat yang berkesan, melaksanakan aktiviti mengikut objektif tertentu adalah merupakan sikap yang perlu menjadi amalan setiap ahli jemaah yang profesional, bukan sekadar di tempat kerja semata-mata.