JPro

HARI JANTUNG SEDUNIA

Hati atau jantung sering disinonimkan dalam masyarakat Malaysia dalam 2 bentuk; fizikal dan rohani. Fizikalnya, jantung merupakan salah satu organ terpenting dalam tubuh badan manusia. Jantung ini secara amnya sebesar penumbuk dan kedudukannya adalah lebih kurang di tengah dada, sedikit ke bahagian kiri. Jantung merupakan organ berotot yang penting dalam sistem peredaran darah. Jantung mengepam darah ke seluruh badan anda semasa jantung anda berdegup. Darah ini menghantar oksigen dan nutrien ke seluruh bahagian tubuh badan, serta membuang karbon dioksida dan produk buangan yang tidak diingini.
 
Sejak negara Malaysia sedang usaha mengendalikan pandemik Covid 19, rakyat Malaysia semakin sedar akan kepentingan kesihatan masing-masing dan keluarga tersayang. Penyakit jantung kekal menjadi punca utama kematian di Malaysia. Berdasarkan laporan Perangkaan Sebab Kematian, Malaysia, 2019, kematian disebabkan penyakit jantung iskemik meningkat 35.3 peratus berbanding 13,503 kematian pada 2017. Antara faktor yang meningkatkan risiko penyakit jantung adalah merokok, kencing manis, tekanan darah yang tinggi, obesiti atau penyakit jantung kongenital seperti Duktus arteriosus. Untuk semua warga Malaysia yang menghidap penyakit jantung ini sudah tentu menjadi satu kegusaran kepada mereka terutamanya dalam suasana pandemik ini. Mereka lebih berisiko untuk dijangkiti virus dalam bentuk yang lebih teruk. Oleh itu, ramai yang takut menghadiri temu janji di hospital atau klinik dan menjadi terpencil daripada keluarga dan masyarakat.
 
World Heart Federation telah menetapkan tema untuk tahun ini iaitu ‘Use Heart to Connect’. Suasana krisis sekarang ini memerlukan satu cara komunikasi yang lebih baik untuk memudahkan mereka yang memerlukan mendapatkan bantuan kesihatan. Telemedicine atau janji temu doktor secara maya ini secara tidak langsung membantu memudahkan orang ramai untuk mengikuti janji temu dalam suasana pandemik ini.
 
‘Use Heart to Connect’ yang juga bermaksud memberi kehidupan kepada orang lain. Ia melibatkan penggunaan ilmu, rasa belas kasihan terhadap mereka yang kurang bernasib baik untuk memastikan mereka mendapatkan rawatan yang selayaknya. Ia melibatkan tautan hati sesama manusia untuk menjayakan hasrat ini.
 
Daripada Nu’man bin Basyir berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda:
أَلَا وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً، إِذَا صَلَحَتْ، صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، وَإِذَا فَسَدَتْ، فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ
 
Maksudnya: “Ketahuilah bahawa pada jasad itu terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya, jika ia buruk maka buruklah seluruh jasadnya, ketahuilah bahawa ia adalah hati (jantung).” [Riwayat al-Bukhari (52) dan Muslim (1599)]
 
Hati ini menentukan sama ada baik atau buruknya jasad (akhlak) seseorang itu. Hati ini menghubungkan kita sesama manusia. Ayuh ambil peluang ini untuk membantu mereka yang memerlukan. Ada daripada mereka yang memerlukan tuntutan pembedahan yang mencecah ribuan riggit. Ada daripada mereka yang mempunyai kesukaran untuk mendapatkan rawatan atas factor geografi. Golongan kurang berkemampuan ini juga berhak mendapat rawatan kesihatan yang baik terutama ketika dalam keadaan pandemik COVID-19. Dengan kata lain, Ayuh kita menggunakan jantung untuk saling berhubung atau sekurang-kurangnya untuk membantu orang lain.
 
Use Heart to Connect’
Malaysia Maju.
Selamat Hari Jantung Sedunia !
 
 

Ditulis oleh

Dr Mawaddah Saad,
Kluster Kesihatan,
Jabatan Profesional Muda, JPro
Penulis merupakan ahli Kluster Kesihatan JPro dan juga seorang pegawai perubatan siswazah.

29 September 2021