INFLASI 101
INFLASI 101
1. Apa itu inflasi?
Inflasi ni suatu keadaan di mana harga barang atau perkhidmatan meningkat dari semasa ke semasa. Inflasi ni bukan tak bagus. Peningkatan inflasi adalah salah satu tanda berkembangnya ekonomi. Namun, ia tak boleh terlampau tinggi. US Federal Reserve pun hanya tetapkan 2% inflasi sebagai satu nilai yang baik.
2. Kenapa terjadinya inflasi?
Secara umumnya, inflasi terjadi bila permintaan (demand) melebihi bekalan (supply). Bila situasi ini berlaku, kita boleh jangka kenaikan harga barang dan perkhidmatan. Contohnya seperti telur yang merupakan antara ‘makanan wajib’ kebanyakan rakyat Malaysia. Bila ramai nak beli telur, dengan bekalan dalam pasaran terhad, ia akan menyebabkan kenaikan harga telur.
3. Macam mana permintaan boleh melebihi bekalan?
i) Apabila pasaran menghadapi gangguan secara mengejut kepada supply sesuatu barangan atau servis, ia mengakibatkan supply berkurangan sedangkan demand tidak terjejas. Sebagai contoh, situasi perang telah mengakibatkan gangguan pengeluaran minyak terutamanya apabila melibatkan negara pengeluar minyak. Natijahnya, harga bahan api meningkat. Ia dinamakan sebagai Cost-push inflation.
ii) Ekonomi berkembang apabila semakin banyak rakyat berbelanja. Namun situasi ini perlu dikawal sebaiknya. Peningkatan perbelanjaan akan menyebabkan lebih banyak jumlah wang di dalam kitaran ekonomi seterusnya meningkat kadar inflasi sesebuah tempat. Demand pull inflation ini sangat berkait dengan bekalan duit (money supply) ke dalam pasaran dan ia boleh dikawal oleh Bank Negara Malaysia melalui perlaksanaan Dasar Semalaman (OPR).
iii) Faktor ketiga yang jarang dibincangkan adalah jangkaan (expectation) masyarakat. Dengan ketakutan kepada inflasi, kelas pekerja menginginkan gaji yang lebih tinggi untuk mengekalkan kuasa beli mereka, mengakibatkan wage inflation. Melihat kepada kenaikan kos pekerja, syarikat pula akan terus menaikkan harga barangan dan perkhidmatan mereka sehingga memburukkan lagi kadar inflasi. Situasi ini dipanggil wage-price spiral.
Penutup
Inflasi merupakan topik hangat sejak kebelakangan ini. Ia merupakan cabaran utama ekonomi global, sepertimana kaji selidik yang dijalankan oleh agensi-agensi ekonomi di peringkat antarabangsa. Jadi, sangat penting kita sebagai rakyat untuk memahami sedikit sebanyak mengenai topik ini.
Ditulis oleh
Ahli Kluster Ekonomi dan Kewangan
Jabatan Profesional Muda DPPM
23 Februari 2023