Islam Memimpin Perpaduan

“Membaiki Ekonomi dan Tadbir Urus adalah antara item yang dibahaskan dalam Ucapan Dasar Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) pada muktamar yang telah berlangsung baru-baru ini. Saya tertarik dengan perkara ini kerana sangat berkait rapat dengan pertumbuhan dan kejayaan sesebuah negara.

Pada pandangan Islam, kejayaan ekonomi sesebuah negara menjurus kepada konsep pembangunan ekonomi dengan objektif utamanya adalah untuk mencapai kebajikan manusia berteraskan nilai moral yang tinggi.

Pendekatan doktrin ekonomi kapitalis yang sedang diamalkan di Malaysia pada hari ini harus dikaji semula. Sesuai dengan hasrat rakyat untuk melihat suasana ekonomi yang lebih baik, maka amat wajar sistem ekonomi Malaysia dikembalikan kepada fitrah ekonomi dengan mengamalkan sepenuhnya sistem ekonomi Islam seperti yang telah dibuktikan kejayaannya pada zaman Khalifah ‘Umar ibn ‘Abd al-‘Aziz (99–102 H / 818–820 M).

Oleh itu, PAS menawarkan idea menarik iaitu istiqamah dalam membangunkan sebuah “NEGARA BERKEBAJIKAN”, yakni berteraskan perkongsian ekonomi yang adil untuk semua rakyat di negara ini.

Beberapa langkah disarankan bagi memulihkan kembali kedudukan ekonomi negara iaitu:

1. Membetulkan falsafah ekonomi kepada yang lebih adil dan memakmurkan kehidupan sesuai dengan peranan manusia sebagai khalifah di muka Bumi.

2. Membetulkan pelaksanaan dasar ekonomi dengan bersendikan akhlak dan perkiraan dosa pahala, budaya integriti yang tinggi, serta mencegah berlakunya pembaziran, ketirisan, penyelewengan, dan rasuah.

3. Memanfaatkan sumber alam dan pendapatan negara secara mampan supaya khazanah negara dapat dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat, seterusnya merapatkan jurang golongan kaya dan miskin yang semakin melebar.

4. Menolak diskriminasi dan melaksanakan kebajikan kepada semua tanpa mengira kaum, fahaman politik, serta wilayah, sekaligus menolak amalan kronisme, nepotisme, dan monopoli yang menekan rakyat.

5. Membangunkan modal insan yang berkualiti dan berintegriti (al-Qawiy dan al-Amin) sebagai tunjang pembangunan negara yang terlatih dan berdaya saing.

Seterusnya, bagi solusi dalam membaiki tadbir urus, PAS memberikan penekanan kepada:

1. Bebas rasuah – telus dan berdaya saing dengan kritikan yang membina.

Keputusan yang dikeluarkan oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya baru-baru ini berkaitan 41 orang individu dan entiti yang menerima wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sekali lagi membuktikan PAS adalah bebas rasuah. Individu dan entiti yang disenaraikan sama sekali tidak berkaitan dengan PAS. Tahniah dan syabas untuk kepemimpinan PAS dan seluruh ahlinya!

2. PAS menyarankan agar suatu penilaian bebas dan menyeluruh dibuat melalui Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) atau Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen bagi meneliti setiap laporan dan syor yang dikemukan oleh Jabatan Audit Negara, SPRM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan juga Bank Negara Malaysia (BNM) demi mengukuhkan kedudukan kewangan dan kecekapan operasi bagi pihak Tabung Haji, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Majlis Amanah Rakyat (MARA), dan institusi ekonomi Bumiputera lain yang terpenting.

Auna Najiah Binti Ahmad,
Kluster Ekonomi dan Kewangan JPro DPPM

Penulis merupakan Mahasiswi PAS, Bidang Ekonomi Islam.

Comments are closed.