JPro

JOM KENALI CAT, ACCA DAN CA

Baru-baru ini terpapar berita 2 orang pelajar UiTM tersenarai sebagai 10 pelajar terbaik dunia CAT dan ACCA.
 
Tahniah diucapkan kepada kedua-dua mahasiswa tersebut iaitu Putera Aiman dan Fatin Najwa. Semoga kejayaan ini menjadi sumber inspirasi kepada semua yang sedang menduduki atau dalam perancangan menyambung pelajaran di peringkat profesional.
Antara bidang/kursus profesional perakaunan yang ditawarkan ialah CAT, ACCA, CIMA, ICAEW dan sebagainya, tertakluk kepada kelayakan minimum untuk mendaftarkan diri.
 
Jadi apa itu CAT?
 
CAT ialah singkatan kepada Certified Accounting Technician (CAT). CAT ialah kursus profesional yang boleh diambil terus oleh pelajar lepasan SPM (inisiatif lain selain daripada ‘education path ‘ yang biasa). Ia juga dikira sebagai ‘fast track’ untuk menyambung pelajaran di peringkat ACCA. Nama lain bagi untuk CAT ialah Foundation in Accountancy (FIA).
 
ACCA pula?
 
ACCA ialah singkatan kepada Association of Chartered Certified Accountant (ACCA). Ia merupakan badan perakaunan professional antarabangsa yang mempunyai ibu pejabat di London.
 
Pada hari ini, ACCA telah mendapat pengiktirafan oleh 180 buah negara termasuk Malaysia. ACCA adalah organisasi perakaunan antarabangsa yang berkembang pesat dengan keahlian hampir 200,000 dan mempunyai 486,000 pelajar di seluruh dunia, seiring dengan motto mereka iaitu “The Global Body For Professional Accountants”.
 
Sebagai kursus profesional yang diiktiraf di seluruh dunia serta mengandungi isi kandungan pembelajaran yang terkini seiring dengan kehendak industri, kelayakan ACCA adalah jalan terbaik untuk membina kerjaya dalam bidang perakaunan dan kewangan.
 
ACCA juga berfungsi sebagai platform yang memberi latihan kepada pelajar perakaunan dan menawarkan sijil kelayakan atau gelaran Chartered Accountant (Akauntan Bertauliah).
 
Kelebihan memiliki CA
 
Pemegang gelaran Chartered Accountant ini adalah antara gelaran yang berprestij dan mempunyai permintaan tinggi oleh kebanyakan syarikat di seluruh dunia, serta diberi keutamaan untuk mendapatkan pekerjaan atau jawatan penting di dalam sesebuah syarikat.
 
Adakah mereka yang belajar prinsip perakaunan semasa SPM sahaja yang layak belajar/bekerja dalam bidang ini? Jawapannya ialah TIDAK. Pelajar jurusan selain daripada pelajar prinsip perakaunan juga boleh mendaftar kursus perakaunan bermula daripada Diploma (untuk belajar asas perakaunan), seterusnya menyambung ke peringkat yang lebih tinggi.

Ditulis oleh

Nurdinie Irdina binti Zainal
Kluster Ekonomi & Kewangan
Jabatan Profesional Muda, DPPM
Penulis merupakan Accounting Executive (Junior) di sebuah syarikat swasta di Pulau Pinang.

9 Februari 2021