JPro

KEMALANGAN TREN LRT DI LALUAN KLCC-KG.BARU : 3 INFO OPERASI TREN YANG PERLU DIKETAHUI

Siapa yang pernah naik LRT, pasti maklum bahawa tiada pemandu yang mengawal tren. Keseluruhan tren dikawal oleh sistem automatik yang telah ditetapkan pada tren. Kelajuan, stesen berhenti, tempat perlu laju, tempat perlu perlahan; semuanya telah ditetapkan.
 
Jadi bagaimana tren automatik ini berfungsi?
 
Sistem yang mengawal pergerakan tren automatik ini dipanggil Signalling System (Sistem Persemboyanan). LRT Jajaran Kelana Jaya menggunakan Full CBTC Signalling System. Sistem ini boleh dapatkan jarak paling optimum dan selamat antara dua tren berdasarkan kelajuan, jarak berhenti serta lain-lain. Salah satu komponen CBTC ini adalah Automatic Train Protection. Antara fungsinya adalah Obstacle Detection – tren akan menekan Emergency Brake secara automatik apabila berlaku perlanggaran.
 
Manakala Convensional Signalling System pula, tren belakang akan jarakkan antara satu sama lain pada jarak yang tetap (Fix Block). Antara contoh Conventional Signalling System yang digunapakai di negara kita adalah ‘Axle Counter’ dan ‘Track Circuit’.
 
Manakala fungsi Operation Control Center (OCC) adalah untuk mengawasi semua sistem tren berjalan lancar. Termasuklah mengawal dari sudut pertukaran landasan dan fungsi keselamatan.
 
Antara 3 soalan popular:
 
1. Sistem LRT adalah automatik tapi bagaimana kemalangan masih boleh berlaku?
 
Pasti kita mempunyai 1001 persoalan. Macam mana sistem Malaysia yang sudah canggih masih mempunyai ‘faulty’?
 
Berdasarkan maklumat media, tren LRT yang bertembung semalam, satu daripada tren tersebut adalah tren manual (tren yang dikawal oleh pemandu) tanpa penumpang. Tren tersebut sedang berada dalam Degraded mode (Bypass Automatic Train Operation).
 
Terdapat banyak kategori Degraded mode. Paling rendah tren dikawal secara manual oleh pemandu (Transit Officer) dan tren ini tidak dapat dikesan dalam Signalling Sistem. Kemungkinan, on-board Signalling System ada masalah.
 
Maka pergerakan tren secara manual dengan komunikasi suara radio antara pemandu tren (Transit Officer) dan Operation Control Centre. Di Operation Control Centre, kawalan secara remote dikendalikan oleh Traffic Controller dan segala operasi perlu dapatkan authorisation dari Chief Controller untuk menyingkirkan human error.
 
2. Bagaimana tren yang kosong dan dipandu manual boleh beroperasi di line trek yang sedang aktif beroperasi?
 
Dalam kenyataan YB Menteri Pengangkutan semalam, tren tidak berpenumpang dipandu dari Pocket Track. Pocket Track ini merupakan kawasan menunggu di antara trek yang kebiasaannya digunakan untuk menempatkan train yang rosak bagi mengelakkan operasi tren lain terjejas.
 
Tren dalam degraded mode boleh bergerak bersama tren lain, tetapi dengan prosedur yang ketat. Tren dalam degraded mode bergerak lebih perlahan dari kelajuan biasa, pemandu dan Control Centre perlu sentiasa melaporkan situasi dan pergerakan tren yang dipandu.
 
3. Bagaimana kerja-kerja menyelamat dilakukan apabila berlaku kemalangan di dalam terowong?
 
Apabila perlanggaran tren berlaku, Control Center akan mengaktifkan butang Emergency Stop Plunger untuk menghentikan pergerakan semua tren di seksyen trek yang terlibat. Traction Power Supply juga akan diputuskan bagi memastikan keselamatan penumpang dan staf penyelamat dari punca kuasa High Voltage di trek.
 
Tren akan menggunakan kapasiti bateri untuk menghidupkan lampu dan air-cond di dalam tren. Tunnel Ventilation System dan Tunnel Lighting System akan diaktifkan bagi membantu dan memandu penumpang keluar ke station terdekat. Daripada tempat kemalangan, penumpang yang keluar perlu melalui laluan pejalan kaki di sisi terowong. Berdasarkan makluman dari pihak Bomba & Penyelamat, penumpang yang terlibat dalam kemalangan semalam berjalan sejauh 100m dari tempat kejadian ke Stesen LRT KLCC.
 
Alhamdulillah, Train Derailment tidak berlaku dalam insiden semalam (tren terbabas dari trek). Tren mengaplikasikan brek kecemasan ‘obstacle detection’ untuk kurangkan impak perlanggaran. Kelajuan Automatic Train Operation 40kph dan kelajuan Degraded Train 20kph mengikut kenyataan Menteri semalam.
 
Walau apa pun kemungkinan punca kepada kejadian, paling penting sekarang adalah marilah kita sama-sama mendoakan kesembuhan kepada mangsa yang terlibat. Pastinya kecederaan fizikal bahkan mental mereka mengambil masa untuk sembuh. Kehidupan seharian juga turut terjejas dalam masa kita semua kini sedang menghadapi pandemik Covid-19 dan menjalani PKP 3.0.
 
Semoga mangsa tabah menghadapi dugaan dan semoga Malaysia sentiasa dilindungi Allah dari bencana. Insiden ini seharusnya mengingatkan kita bahawa walau sehebat manapun sistem kejuruteraan ciptaan manusia, tiada yang sempurna melainkan Allah S.W.T.
 
LRT – Light Rail Transit
CBTC – Communication Based Train Control
 

Disediakan oleh

Ts. Safwan Hashim, Irfa Athikah & M Hanafi

Kluster Kejuruteraan,
Jabatan Profesional Muda, JPro

Penulis-penulis merupakan jurutera dan ahli Kluster Kejuruteraan JPro yang berkhidmat dalam Industri Pengangkutan negara.

25 Mei 2021