Kerjaya Doktor Selepas SPM: Apa Anda Perlu Tahu?

SPM penentu masa depan seseorang. Mungkin ini antara nasihat dan kata-kata yang kita pernah dengar masa belajar dahulu. Kebetulan hari ni, ada adik-adik yang akan terima keputusan SPM mereka. SPM tahun lepas menjadi satu sejarah baru dijalankan ketika pandemik, sekolah terpaksa ditutup ketika PKP dan semangat untuk belajar menjadi pudar merupakan cabaran-cabaran besar calon SPM tahun lepas.


Namun, bila bercakap mengenai cabaran, sebenarnya cabaran ketika SPM tidaklah terlalu besar berbanding cabaran ketika berada di universiti dan bekerjaya. Tidak dapat dinafikan keputusan SPM dan pemilihan bidang pengajian antara faktor yang menentukan keberjayaan seseorang dalam kerjaya masing-masing. Mungkin ada antara adik-adik calon SPM yang berminat untuk menyambung pengajian dalam bidang perubatan dan bercita-cita untuk menjadi seorang doktor.

Dalam dunia ni, terdapat pelbagai nama dan gelaran untuk ijazah perubatan. Secara umumnya terbahagi kepada dua sistem besar. Satu sistem tradisi dari UK yang menggabungkan ijazah perubatan dan pembedahan. Ada yang guna singkatan MBBS, MB ChB, MB BCh, MB BChir (Cantab), BM BCh (Oxon), BMBS. Kalau kami graduan Mesir guna MBBCh singkatan dari bahasa Latin-Medicinae Baccalaureus, Baccalaureus Chirurgiae.Dalam English bermaksud Medical Bachelor and Bachelor of Surgery. Kalau yang mengikut tradisi US akan guna MD yang bermaksud Doctor of Medicine (MD). Kalau di Malaysia graduan UM dan USM akan guna MD tapi graduan dari UIA akan guna MBBS.

Walaupun nama dan gelaran setelah ijazah berbeza-beza, namun sistem pengajaran dan pembelajaran lebih kurang sama. Ijazah perubatan di seluruh dunia akan dibahagikan kepada fasa pra klinikal dan fasa klinikal. Fasa pra klinikal, pelajar akan mempelajari asas ilmu sains perubatan daripada anatomi, physiologi, histologi, biochemistri, farmakologi, patologi, parasitologi dan microbiologi. Kalau nak terang satu-satu artikel ni akan jadi panjang, tapi inilah asas-asas ilmu perubatan yang perlu dikuasai oleh seseorang pelajar perubatan.

 

Setelah menghabiskan fasa pra klinikal ada yang 2 tahun, dan ada yang 3 tahun, pelajar akan beralih ke fasa klinikal. Pada fasa klinikal inilah pelajar akan buat tengok pesakit buat ward round bersama pensyarah dan mengikuti prosedur-prosedur dalam sesuatu bidang. Biasanya fasa klinikal subjek akan dibahagikan kepada Medical, Surgical, Peadiatric, Obstetric and Gynecologi dan Community Medicine. Itulah antara subjek-subjek penting yang akan diajar di setiap sekolah perubatan di seluruh dunia.

Habis 5 tahun atau 6 tahun ijazah perubatan, seseorang itu sepatutnya tidak boleh lagi digelar sebagai Doktor. Ini kerana seseorang doktor perlu berdaftar dengan MMC atau Majlis Perubatan Malaysia. Untuk mendapatkan pendaftaran penuh, seseorang doktor perlu menamatkan Housemanship selama 2 tahun. Housemanship merupakan satu fasa penting bagi seorang doktor, kerana fasa inilah yang akan menyediakan pengalaman dan ilmu untuk menjadikan seseorang doktor itu bersedia untuk berkhidmat kepada komuniti. Fasa inilah satu fasa yang mencabar kerana memerlukan kekuatan emosi dan semangat yang kental.

Kesimpulannya kejayaan dalam SPM adalah satu anak tangga untuk menjadi seorang doktor, namun pelbagai lagi tangga-tangga yang diperlukan untuk dilangkah bagi menjadi seorang doktor yang berjaya, berkhidmat dan menyumbang untuk agama, bangsa dan negara. Kalau ada masa dan idea, kita sambung lagi dengan cerita-cerita lain sebagai semangat kepada bakal-bakal doktor.

 

Dr Tengku Muhammad Fakhruddin, ,
Kluster Kesihatan Jabatan Profesional Muda DPPM - JPro

Penulis merupakan salah seorang ahli Kluster Kesihatan JPro dan juga seorang doktor yang sentiasa berkongsi pengalaman berkenaan kerjaya perubatan di media sosial