Rekod Prestasi Kemenangan Islam Di Bulan Ramadan

Umumnya diketahui bahawa bulan Ramadhan merupakan simbol bulan kemenangan bagi umat Islam. Hal ini terbukti dengan banyaknya peristiwa kemenangan tentera Islam dalam perperangan dan juga pembukaan negara atau kota baru yang dicatat dalam lipatan sejarah.

Semoga ia memberi suntikan motivasi pada diri kita dalam menghadapi bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini.

Antara peristiwa penting yang berlaku di bulan Ramadhan berdasarkan sumber dari terbitan pejabat Mufti Wilayah seperti berikut:

1. Nuzul Al Quran (25 atau 17 Ramadhan) – Peristiwa memperingati turunnya al-Quran. Disini bermulanya titik permulaan kepada tamadun peradaban manusia yang keluar daripada cengkaman jahiliah kepada cahaya ketamadun Islam.

2. Perang Badar (kedua Hijrah) – Seramai 313 umat Islam yang tidak mempunyai kelengkapan perang yang sempurna, tetapi berjaya mengalahkan 1000 tentera musuh yang dipimpin oleh Abu Jahal yang lengkap bersenjata.


3. Pembukaan Kota Mekah (8 Hijrah) – Berlaku hasil daripada pencabulan perjanjian yang yang dimeterai antara Rasulullah s.a.w dengan puak Quraisy dalam Perjanjian Hudaibiyah. Hasilnya umat Islam dapat menakluki kota Mekah yang di dalamnya terdapat kiblat umat Islam.

4. Kedatangan rombongan Thaqif (9 Hijrah) – Kedatangan rombongan daripada Thaif ini menemui Rasulullah s.a.w untuk memeluk Islam


5. Perang al-Buaib (13 Hijrah) – Perperangan yang berlaku di Iraq di antara tentera Islam dan Parsi. Peristiwa ini berakhir dengan kemenangan besar diperolehi oleh tentera Islam dimana berjaya membunuh hampir 100,000 tentera musuh.

6. Pembukaan al-Nubah dan perjanjian al-Qibt (31 Hijrah) – Al-Nubah ialah kawasan diselatan Mesir yang mana kebanyakan penduduknya beragama Kristian. Pembukaan yang dilakukan oleh salah seorang sahabat yang bernama Abdullah bin Saad bin Abi Sarh.

7. Pembukaan semenanjung Rhodes (53 Hijrah) – Pembukaan ini dilakukan oleh Janadah bin Abi Umayyah pada bulan Ramadhan setelah menerima tentangan daripada Musyirikin yang merupakan lanun di lautan.

8. Penguasaan Kota Andalusia (91H) – Tariq bin Ziyad berjaya membuka kota Andalusia. Peristiwa ini menjadi mukaddimah kepada bertapaknya syiar Islam di negara Eropah sehingga merebak ke negara-negara yang lain.

9. Pembukaan bandar-bandar di Perancis (102 Hijrah) – Antara bandar yang dibuka ialah Touloise, Sabtamania dan Urbunah. Pembukaan ini berjaya dilakukan setelah kekalahan teruk yang dihadapi oleh tentera Perancis semenjak berperang dengan tentera Islam.


 
10. Perang Zallaqah (25 Ramadhan 479 Hijrah) – Berlakunya perperangan di Zallaqah iaitu suatu kawasan tanah rendah berhampiran Portugis. Dalam perperangan itu, tentera Islam dibawah pimpinan Yusuf bin Tashhfin berjaya mengalahkan tentera Perancis di bawah pimpinan Alfonso.


11. Perang Salib (584 Hijrah)
– Salahuddin Al-Ayyubi telah berjaya mengalahkan pasukan tentera Salib ketika di bulan Ramadhan. Mereka juga berjaya mengambil dan menguasai benteng Shafad.

12. Perang Ain Jalut (658 Hijrah) – Kerajaan Mamalik berjaya mengalahkan pasukan tentera Tartar Monggol di Ain Jalut. Penguasa Mesir, Qutuz juga mengalahkan tentera Monggol di Ain Jalut pada bulan Ramadhan.


13. Pembukaan negeri Armenia (673 Hijrah)
– Pembukaan ini adalah satu kemenangan yang besar kepada umat Islam keatas golongan Kristian Arman. Armenia adalah tempat yang amat strategik bagi pihak Rom.


14. Perang Shuqhub (2 Ramadhan 702 Hijrah)
– Punca berlakunya perperangan ialah kerana Qazan, cucu kepada Hulagu Khan ingin menghancurkan kerajaan Islam di Mesir. Sebelum perperangan berlaku, tentera Monggol telah memberi tamparan yang hebat kepada umat Islam dengan membunuh ramai tentera Islam. Akan tetapi, sifat tentera Islam yang cekal dan tidak berganjak akhirnya berjaya mengalahkan tentera Monggol sehingga mereka bersembunyi di celah-celah bukit dan berjaya memburu mereka hingga ke sungai Furat.


15. Pembukaan negara Bosnia Herzegovina (791 Hijrah)
– Negara Bosnia Herzegovina sebenarnya telah lama berada dibawah pemerintahan Islam di zaman khalifah Uthmaniah. Pemerintah mereka berjiwa pejuang dan banyak meneroka tempat baru di sebelah Eropah.


16. Perperangan tentera Mesir dan Syria mengalahkan Israel (1393 Hijrah) – Ini menjadikan pukulan hebat kepada tentera Israel sehingga mengheret kepada suatu perjanjian.

Semoga beroleh manfaat.

 

Sumber:
Majalah Manhaj 2.0, berjudul “Ramadhan: Disini Bermulanya Kemenangan” hasil tulisan SS Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan

Fais Ar Razaly,
Kluster Kejuruteraan JPro DPPM

Penulis merupakan AJK & ahli Kluster Kejuruteraan, JPro. Beliau merupakan Jurutera Rekabentuk di salah sebuah syarikat swasta di Malaysia. Beliau berminat dengan dunia penulisan dan sering berkongsi pengalaman di dalam bidang kerjaya dan juga dakwah.