JPro

RMKe-12: PERANAN TRANSFORMASI DIGITAL & PENJANAAN SEMULA EKONOMI

Pandemik COVID-19 telah merancakkan usaha transformasi digital dalam semua aspek kehidupan masyarakat dan urus tadbir kerajaan, yang sebelumnya masih belum mampu dilaksanakan secara meyeluruh.
 
Kebiasaan baharu yang telah mengubah cara masyarakat berhubung dan menguruskan kehidupan juga secara tidak langsung telah memaksa syarikat, perniagaan dan badan kerajaan untuk mengadaptasi model operasi yang menggunapakai teknologi digital. Contohnya, dalam penggunaan aplikasi elektronik seperti e-dagang dan e-wallet.
 
Menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia, pada tahun 2020, pendapatan untuk e-dagang dicatatkan telah meningkat sebanyak RM896.4 bilion, dengan peningkatan sebanyak 32.7% berbanding 2019.
 
Sebuah kajian daripada ‘MasterCard Impact Study 2020’ turut mendedahkan bahawa Malaysia telah mendahului negara-negara Asia Tenggara dalam penggunaan e-wallet yang mencapai 40% berbanding Filipina 36%, Thailand 27% dan Singapura 26%.
 
Pandemik COVID-19 juga telah mengubah persekitaran tempat kerja dengan menjadikan amalan bekerja jarak jauh atau bekerja dari rumah semakin diterima pakai oleh pekerja mahupun majikan dalam pelbagai sektor.
 
Seiring dengan keperluan norma baharu tersebut, perlunya bagi syarikat, perniagaan dan badan kerajaan untuk mengadaptasi konsep virtual dan paperless workplace dengan memperkenalkan teknologi kolaborasi atas talian, teknologi penyimpanan awan, menukarkan operasi secara manual kepada sistem automasi berkuasa AI dan mengintegrasi teknologi blockchain dan IoT bagi operasi syarikat pembekal dan pengeluar.
 
Sebagai contoh, industri kesihatan dengan penggunaan teknologi telekesihatan atau teleperubatan telah berkembang dengan pesat ke arus perdana dalam beberapa minggu sewaktu pandemik. Adaptasi teknologi digital ke dalam sistem kesihatan telah menjadi tulang belakang dalam usaha untuk mengekang penularan COVID-19. Penghantaran barangan runcit dan restoran digital turut dilihat mengalami perkembangan evolusi dengan kelajuan yang sama.
 
Dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) oleh Perdana Menteri YAB Dato’ Sri Ismail Sabri pada 27 September 2021 yang lalu, terdapat tiga tema utama yang menjadi fokus Malaysia menjelang 2025 adalah untuk (1) menjana semula ekonomi, (2) memperkukuh keselamatan, kesejahteraan dan inklusiviti serta (3) melonjakkan kemampanan.
 
Manakala, empat pemangkin dasar yang telah dikenalpasti adalah;
 
– membangunkan bakat masa hadapan,
– mempercepat penerimagunaan teknologi dan inovasi,
– menambah baik ketersambungan dan infrastruktur pengangkutan serta
– memperkukuh perkhidmatan awam.
 
RMKe-12 berobjektif untuk Malaysia mencapai status negara yang makmur, inklusif dan mampan menjelang 2025. Sebanyak RM400 bilion bakal diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan dengan sasaran pertumbuhan antara 4.5%-5.5% pada tahun 2021-2025.
 
Melalui tema 1, dapat dilihat tumpuan akan diberikan kepada usaha untuk merancakkan pertumbuhan industri strategik dan berimpak tinggi bagi menghasilkan produk dan perkhidmatan yang bernilai tambah tinggi, memperluas pasaran global dan bagi menarik pelaburan berkualiti.
Industri-industri yang telah disenarai penting adalah seperti industri elektrik dan elektronik (E&E), perkhidmatan global (GS), aeroangkasa, kreatif, pelancongan, halal, biojisim serta aktiviti pertanian pintar.
 
Usaha kerajaan untuk menjana semula ekonomi dengan menarik pelabur asing atau Foreign Direct Investment (FDI) dijangka akan mampu meningkatkan peluang pekerjaan dan merangsang ekonomi dalam negeri bagi impak jangka masa pendek.
 
Walau bagaimanapun, menurut United Nations Conference on Trade and Development (UNCTAD), pertumbuhan ekonomi hasil rangsangan FDI adalah bergantung pada tahap pembangunan negara tuan rumah (host country) dan kualiti modal insan (human capital) negara terbabit.
 
Negara tuan rumah dengan tahap pembangunan dan kualiti modal insan yang tinggi akan memperoleh lebih banyak kesan limpahan (spillover-effects) positif daripada pemindahan teknologi FDI. Sebaliknya, negara tuan rumah yang mempunyai tahap pembangunan dan kualiti modal insan yang rendah pula bakal berdepan dengan ancaman kesan negatif FDI.
 
Oleh itu, seiring dengan usaha untuk menarik pelabur asing, Malaysia perlu turut giat meningkatkan kualiti dan kemahiran modal insan yang mempunyai literasi digital, berkemahiran dan berdaya inovasi tinggi. Dalam usaha untuk merealisasikan misi menjana semula ekonomi, sistem pendidikan berperanan untuk merevolusi pembangunan modal insan berkemahiran 4IR.
 
World Health Organization (WHO) telah mengeluarkan amaran bahawa COVID-19 tidak akan hilang dalam tempoh terdekat dan masyarakat perlu menerima hakikat untuk meneruskan kelangsungan hidup dengannya. Malaysia perlulah mengambil peluang ini untuk melonjakkan taraf pendigitalan negara bagi mencapai status negara makmur, inklusif dan mampan menjelang 2025.
 
 
Rujukan:
1. Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). 2021. KENYATAAN MEDIA BAGI PRESTASI PENGGUNAAN ICT DAN E-DAGANG OLEH PERTUBUHAN 2020 & SUKU TAHUN PERTAMA 2021.
2. Izwan Ismail. 2021. E-wallet use in Malaysia growing. News Strait Times.
3. Dokumen Utama Rancangan Malaysia Kedua Belas. 2021. https://rmke12.epu.gov.my/bm.
4. United Nations Conference on Trade and Development (UNCTAD). 2015.

Ditulis oleh

Syafiqah Azmi
AJK Kluster Komunikasi & Media
Jabatan Profesional Muda, DPPM
Penulis merupakan ahli Kluster Komunikasi & Multimedia JPro dan juga mahasiswa pascasarjana kedoktoran dalam bidang ekonomi dan perniagaan.

30 September 2021