Sukuk Prihatin dan Tabung Harapan Malaysia

PENDAHULUAN

Sejak 2018, rakyat di negara ini dimomokkan dengan jumlah hutang negara yang tinggi dan berpotensi menjadikan Malaysia sebuah negara yang bankrap. Namun begitu, berdasarkan statistik semasa, hutang negara pada ketika ini masih berada di bawah paras had statuori hutang yang dibenarkan oleh Perlembagaan Malaysia, iaitu 55%.

Berikut adalah jumlah hutang negara dan peratusan hutang tersebut berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi lima tahun terakhir:

Jika dibandingkan peratusan hutang negara dengan KDNK, kebanyakan negara maju mempunyai hutang yang melebihi 100%. Contohnya seperti Amerika Syarikat yang mempunyai hutang sebanyak 104.3% berbanding KDNK negara tersebut, Itali (132.2%), Singapura (113.6%) dan Jepun (237.1%).

Umum mengetahui bahawa hutang seperti ini diperlukan oleh sesebuah negara untuk digunakan bagi kos operasi atau pembangunan di dalam negara. Walaupun begitu, penulisan kali ini bukan ingin difokuskan perihal hutang negara, tetapi medium unik yang telah dilancarkan oleh Kerajaan Malaysia.

 

TABUNG HARAPAN DAN SUKUK PRIHATIN

Pada 30 Mei 2018, Kerajaan Pakatan Harapan telah melancarkan kutipan Tabung Harapan Malaysia dengan menggunakan akaun Maybank di atas nama Jabatan Akauntan Negara, bagi mendapatkan sokongan dan simpati rakyat untuk membantu kerajaan menyelesaikan hutang negara yang diwarwarkan telah mencecah sehingga RM 1 Trillion atau 80.3% berbanding KDNK pada tahun 2017.

Bagi Kerajaan Perikatan Nasional pula, di bawah pelan PENJANA, Menteri Kewangan telah melancarkan Sukuk Prihatin, suatu instrumen pelaburan patuh Shariah pertama yang menggunakan platform digital dan saluran perbankan secara atas talian seperti JomPAY dan DuitNow, bagi membuka peluang kepada rakyat untuk memberikan sumbangan dalam membangunkan negara pasca COVID-19.

PERSAMAAN ANTARA TABUNG HARAPAN DAN SUKUK PRIHATIN

Walaupun kedua-dua inisiatif ini dilancarkan oleh pemerintah Kerajaan Malaysia yang berbeza, namun terdapat tiga persamaan di antara keduanya.

A. KONSEP
Konsep yang digunakan di dalam kedua-dua inisiatif ini adalah bersifat sukarela. Tiada elemen paksaan kepada rakyat yang ditetapkan oleh pihak Kerajaan. Konsep ini bertepatan dengan konsep sedekah yang sangat digalakkan di dalam Islam, dan ia merupakan suatu amalan dalam ajaran Islam yang dijanjikan dengan ganjaran Akhirat yang banyak, bertepatan dengan firman ALLAH SWT di dalam Al-Quran yang banyak menekankan kebaikan bersedekah. Terdapat 39 ayat Al-Quran yang menceritakan tentang perihal bersedekah, antaranya:

1. Surah Al-Baqarah, ayat 3:

ٱلَّذِينَ يُؤۡمِنُونَ بِٱلۡغيۡبَِ ويُقِيمُونَ ٱلصَّلوٰةَ ومِمَّا رزقۡنٰهُمَۡ يُنفِقُونَ
Maksud: “(Orang yang Bertaqwa) ialah orang yang beriman dengan perkara ghaib, mendirikan solat dan memberikan sedekah dari bahagian yang direzekikan kepada mereka.”

2. Surah Al-Baqarah, ayat 261:

مَّثلَُ ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ أمۡولهُمَۡ فِي سبِيلَِ اللّهِ كمثلَِ حبَّةَ أنۢبتتَۡ سبۡعَ سنابِلَ فِي كُلَِ سُنۢبُلةَ ماْئةَُ حبَّةَ
وَاللّهُ يُضَاعِفُ لِمن يشآءَُ
Maksudnya: “Perumpamaan sedekah yang dikeluarkan oleh orang-orang yang membelanjakan hartanya di jalan Allah adalah seperti sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir benih, pada tiap-tiap butir terdapat 100 biji. Dan Allah melipat gandakan ganjaran bagi sesiapa yang Dia kehendaki..”

3. Surah Al-Anfal, ayat 60:

وما تُنفِقُواَْ مِن شيۡ ءَ فِي سبِيلَِ اللّهِ يُوفََّ إِليۡكُمَۡ وأنتُمَۡ لَأ تُظۡلمُونَ

Maksudnya: “Apa sahaja yang kamu sedekahkan pada jalan Allah nescaya akan dibalas dengan kecukupan kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya.”

B. TUJUAN

Kedua-dua inisiatif Tabung Harapan dan Sukuk Prihatin mempunyai matlamat umum yang sama, iaitu membantu negara dalam memastikan kedudukan kewangan negara ke arah yang lebih baik. Perkara ini masing-masing diumumkan oleh Perdana Menteri ke-7 bagi Tabung Harapan, manakala bagi Sukuk Prihatin diumumkan oleh Menteri Kewangan, YB Tengku Zafrul.

Walau bagaimanapun, secara terperincinya, tujuan bagi kedua-dua inisiatif ini adalah berbeza. Tabung Harapan digunakan untuk membayar sebahagian dari hutang Kerajaan manakala Sukuk Prihatin akan dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang COVID-19 untuk membiayai langkah-langkah yang diumumkan dalam pakej rangsangan ekonomi dan rancangan pemulihan Kerajaan untuk menangani krisis COVID-19. Contoh langkah-langkah tersebut termasuk perbelanjaan perubatan yang berkaitan dengan COVID-19, pembiayaan atau pemberian bantuan untuk perusahaan mikro dan kecil dan sederhana terutama pengusaha wanita, dan pemberian geran penyelidikan untuk penyakit berjangkit.

C. PENDANAAN AWAM YANG DIURUSKAN OLEH KERAJAAN

Tabung Harapan dan Sukuk Prihatin boleh disamakan seperti pendanaan awam yang kebiasaannya dilakukan oleh organisasi bukan kerajaan (NGO) dan persatuan-persatuan awam. Namun begitu, kedua-dua inisiatif ini adalah pendanaan awam di Malaysia yang dimulakan dan diuruskan oleh Kerajaan Malaysia sendiri melalui Kementerian Kewangan.

PERBEZAAN ANTARA TABUNG HARAPAN DAN SUKUK PRIHATIN

A. SENTIMEN DI SEBALIK PENUBUHAN
Walaupun kedua-dua inisiatif ini mempunyai tujuan yang sama, iaitu mengumpul sokongan rakyat dengan membantu kewangan negara, namun sentimen di sebalik setiap dari keduanya adalah berbeza.

Tabung Harapan diwujudkan selepas naratif negatif yang dimainkan oleh pihak pemerintah Kerajaan berkenaan dengan jumlah hutang negara Malaysia yang bernilai sehingga RM 1 Trillion. Naratif ini bertujuan untuk menarik simpati dan perhatian rakyat supaya lebih ramai membantu negara di dalam kemelut kewangan yang melanda.

Bukan itu sahaja, bahkan banyak bantuan dan insentif kerajaan sebelumnya dihapuskan, dibekukan dan dikurangkan dengan menggunakan naratif yang sama. Contohnya seperti bantuan one-off yang ditukar dari BRIM kepada BSH dikurangkan untuk kategori bujang dari RM 450 kepada RM 100, insentif program MyBrain untuk pembiayaan pasca siswazah yang dibekukan, membatalkan projek-projek mega yang membawa keuntungan di masa depan dan banyak lagi. Tindakan seperti ini seolah-olah telah membenarkan naratif hutang negara yang tinggi yang dimainkan sejak dari awal pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan.

Namun begitu, di dalam penubuhan Sukuk Prihatin, tiada naratif negatif yang dibawa oleh pihak Kerajaan samada melalui Kementerian Kewangan ataupun Perdana Menteri sendiri. Selain mengumumkan bantuan dan program yang bersifat one-off serta pinjaman tanpa faedah seperti di dalam Pakej Rangsangan Ekonomi PRIHATIN dan PENJANA, Menteri Kewangan sentiasa memberikan maklum balas bahawa kedudukan kewangan negara pada ketika ini adalah kukuh dan stabil.

Selain itu, Sukuk Prihatin juga mempunyai satu manual yang dinamakan sebagai ‘Pek Pengetahuan Sukuk Prihatin’ yang berjumlah 61 muka surat menerangkan secara terperinci bagaimana Sukuk Prihatin ini akan berfungsi, kepada siapa, untuk siapa dan sebagainya. Ini menunjukkan bahawa selain membuka peluang penyertaan daripada rakyat, Kerajaan juga mendidik rakyat supaya celik ilmu pengetahuan di dalam setiap tindakan yang dilakukan.

B. JANGKA MASA INISIATIF DAN JUMLAH KUTIPAN

Jangka masa ini terbahagi kepada dua. Jangka masa kutipan dari rakyat dan jangka masa penggunaan wang dari kedua-dua platform tersebut. Bagi Tabung Harapan, jangka masa yang dibuka untuk menderma adalah sehingga 31 Disember 2018.

Namun begitu, bekas Menteri Kewangan pada ketika itu telah melanjutkan tempohnya sehingga 14 Januari 2019. Ini bermakna, jangka masa Tabung Harapan dibuka adalah selama 9 bulan, 2 minggu, 2 hari. Tempoh perlaksanaannya pula tiada kerana dana kutipan awam ini dirancang dan telah digunakan untuk membayar sebahagian hutang 1MDB yang berjumlah RM 1.7 Billion.

Jumlah kutipan yang berjaya dikutip melalui Tabung Harapan adalah bernilai RM 205,491,219.36.

Bagi Sukuk Prihatin pula, memandangkan ia adalah suatu instrument pelaburan patuh Shariah yang diterbitkan oleh Kerajaan, maka ia perlu dilanggan menggunakan platform digital dan memerlukan pengesahan selama 14 hari bagi mengikut kriteria-kriteria yang telah ditetapkan. Tempoh langganan Sukuk Prihatin hanyalah selama sebulan dan ia bermula pada 18 Ogos 2020 serta berakhir pada 17 September 2020. Tempoh perlaksanaannya pula adalah selama 2 tahun sebelum instrumen Sukuk ini mencapai tahap kematangannya.

Sukuk Prihatin telah mencapai jumlah langganan sebanyak RM 666 juta, melebihi sasaran permulaannya yang berjumlah RM 500 juta. Menurut YB Tengku Zafrul, Kerajaan akan membesarkan saiz Sukuk Prihatin ini, selari dengan jumlah langganan yang diterimanya.

C. KELEBIHAN KEPADA PENYUMBANG

Di dalam Islam, tiada apa yang sepatutnya diharapkan daripada amalan bersedekah melainkan ganjaran pahala yang akan dimanfaatkan di akhirat kelak. Penyumbang Tabung Harapan diberikan pelepasan cukai setara dengan jumlah yang didermakan. Selain itu, penyumbang juga disifatkan sebagai rakyat yang mempunyai sikap patriotisme tinggi kepada negara.

Bagi Sukuk Prihatin yang bersifat pelaburan jangka panjang, sudah tentu ada pulangannya. Menurut manual Sukuk Prihatin, setiap penyumbang akan diberikan pengecualian cukai, dikembali jumlah asal yang disumbang selepas dua tahun dan keuntungan pada kadar tetap 2% setahun yang akan diberikan pada setiap tiga bulan dalam tempoh dua tahun.

 

RUMUSAN

Kesimpulannya, tindakan pihak Kerajaan dalam menangangi krisis kewangan negara samada dari Pakatan Harapan mahupun Perikatan Nasional wajar dipuji. Walaupun secara terperincinya, masih banyak yang perlu diperbaiki, memberikan didikan dan menarik penyertaan rakyat di dalam urusan negara adalah sesuatu yang baik. Namun begitu, pihak Kerajaan sewajarnya bersikap jujur di dalam memberikan maklumat dan info berkaitan Kerajaan. Sikap menipu, mengubah fakta dan mempolitikkan data dan maklumat penting bukan sahaja menimbulkan rasa benci kepada Kerajaan, bahkan turut menarik keluar pelaburan dan kepercayaan dari pelabur-pelabur luar seterusnya memberikan kesan negatif kepada kestabilan politik dan ekonomi Malaysia. Sesiapa pun yang menjadi Kerajaan, sepatutnya bertindak dengan bijaksana dan penuh berhikmah demi kepentingan negara dan rakyat. Allahu A’lam.

 

RUJUKAN

1. BERNAMA. (21 September 2020). Sukuk Prihatin Oversubscribed, Demand Hitting RM666mil: The Star Online. Retrieved from https://www.thestar.com.my/business/business-news/2020/09/21/sukuk-prihatin-oversubscribed-demand-hitting-rm666mil

2. Ida Lim. (20 August 2020). Sukuk Prihatin: How You Can Help Malaysia While Earning Something For Yourself: Malay Mail. Retrieved from https://www.malaymail.com/news/malaysia/2020/08/20/sukuk-prihatin-how-you-can-help-malaysia-while-earning-something-for-yourse/1895447

3. Kementerian Kewangan Malaysia. (18 August 2020). Sukuk Prihatin Knowledge Pack. Retrieved from https://penjana.treasury.gov.my/pdf/GOM_Sukuk_Prihatin_Knowledge%20Pack.pdf

4. KohilahَSekaran.َ(30َMayَ2018).َ‘TabungَHarapanَMalaysia’َUntukَRakyatَBantuَPulihَKewangan Negara – PM: Astro Awani. Retrieved from https://www.astroawani.com/berita-malaysia/tabung-harapan-malaysia-untuk-rakyat-bantu-pulih-kewangan-negara-pm-176848.

5. Malaysia Dateline. (7 August 2020). Wang Tabung Harapan Digunakan Bayar Hutang 1MDB, Kata Tengku Zafrul di Dewan Rakyat. Retrieved from https://malaysiadateline.com/wang-tabung-harapan-digunakan-bayar-hutang-1mdb-kata-tg-zafrul-di-dewan-rakyat/

6. Nadia Shaiful Bahari. (31 May 2020). Penyumbang THM Dapat Pengecualian Cukai – Guan Eng: Mstar. Retrieved from https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2018/05/31/pengecualian-cukai

7. Syahirah Syed Jaafar.َ(8َFebruaryَ2019).َTabungَHarapan’sَRM202.72mَtoَPayَFederalَDebt:َThe Edge Markets. Retrieved from https://www.theedgemarkets.com/article/tabung-harapans-rm20272m-pay-federal-debt.

8. Zanariah Abd Mutalib. (12 August 2020). Hutang, Tanggungan Liabiliti Negara Hujung Tahun RM1.264 Trillion: Berita Harian. Retrieved from https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/08/720373/hutang-tanggungan-liabiliti-negara-hujung-tahun-rm1264-trilion.

9. Zanariah Abd Mutalib. (16 May 2019). Dana Tabung Harapan Malaysia akan Diguna Bayar Hutang 1MDB: Berita Harian. Retrieved from https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/05/564653/dana-tabung-harapan-malaysia-akan-diguna-bayar-hutang-1mdb.

Asyraf Bin Salleh,
Kluster Ekonomi dan Kewangan JPro DPPM

Penulis merupakan Felo Penyelidik Terengganu Strategic & Integrity Institution (TSIS), Kluster Ekonomi dan Kewangan

Comments are closed.