JPro

TENAGA BERBAHAYA 'KUNCINYA' LOTO

Baru-baru ini telah berlaku kes kemalangan maut akibat seorang pekerja tersepit pada jentera ‘spin chiller’ di sebuah kilang memproses produk ayam sejuk beku di Jalan Ayer Hitam, Batu Bahat. Kes ini berlaku ketika mangsa sedang menjalankan kerja-kerja pembersihan pada jentera ‘spin chiller’.
Kes tersepit di dalam jentera sebegini masih lagi berlaku. Adakah pekerja atau majikan gagal untuk mengenalpasti hazardnya dan mengawal risiko yang hadir? Jika melibatkan sebuah jentera yang beroperasi dengan terdapat bahagian yang bergerak (moving parts) bermakna terdapat tenaga berbahaya (hazardous energy) ada disitu.
 
Tenaga berbahaya yang dimaksudkan disitu ialah tenaga yang menggerakkan jentera seperti tenaga elektrik, graviti, hidraulik, pneumatik dan sebagainya. Merujuk kepada perundangan yang perlu dipatuhi secara amnya terdapat di bawah Peraturan-Peraturan (Pemagaran Jentera dan Keselamatan) Kilang dan Jentera 1970.
 
Secara spesifiknya kawalan yang perlu dilaksanakan ialah prosedur ‘Lock-Out, Tag-Out’ (LOTO). Prosedur LOTO juga adalah pemagaran walaupun ianya lebih bersifat pentadbiran (administrative). LOTO bertujuan untuk menghalang sesuatu jentera dihidupkan apabila penyelenggaraan sedang dijalankan ke atas jentera tersebut.
 
Oleh itu bagi membendung supaya kes sebegini tidak berulang pihak industri perlu melaksanakan prosedur LOTO. Langkah-langkah asas LOTO ialah:
 
1. Kenalpasti sumber tenaga berbahaya, potensi hazard dan semua peranti kawalan.
 
2. Memberi notifikasi dan makluman kepada pekerja yang terlibat.
 
3. Matikan semua alat kawalan operasi.
 
4. Asingkan semua peralatan atau sumber kuasa.
 
5. Kunci dan Tanda (LOTO) semua suis dan kawalan tenaga.
 
6. Bagi memastikan mesin tidak berfungsi, uji alat kawalan operasi. Tetap kawalan pada posisi ‘ON’. Pastikan tiada pekerja yang berdekatan sebelum memulakan ujian.
 
7. Kembalikan semua alat kawalan kepada posisi ‘OFF’ setelah pengujian.
 
8. Jalankan tugasan yang dikehendaki seperti penyelenggaraan.
 
9. Buka peranti kunci dan tanda (LOTO) hanya apabila peralatan telah siap dipasang sepenuhnya dan semua pekerja yang terlibat telah dimaklumkan.
 
Bayangkan apa yang akan terjadi kepada pekerja yang sedang menyelenggara atau membersihkan mesin yang sedang diselenggara itu sekiranya dihidupkan secara tiba-tiba oleh orang lain? Inilah situasi kemalangan yang kerap berlaku!
 
 
Rujukan:
Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994
Akta Kilang dan Jentera 1967
Peraturan-Peraturan (Pemagaran Jentera dan Keselamatan) Kilang dan Jentera 1970.
Implementation Strategy of LOTO Electrical System for Paper Industry, 2019.

Ditulis oleh

Ts. Shahronizam Noordin,
Kluster Kejuruteraan,
Jabatan Profesional Muda, DPPM
Penulis merupakan ahli Kluster Kejuruteraan JPro dan juga pengamal keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Beliau seringkali berkongsi ilmu berkaitan HSE menerusi ruangan di media sosial.

19 September 2021