Usrah KKj – Membina Negara Merdeka

Bersempena dengan bulan kemerdekaan pada tahun ini, Kluster Kejuruteraan (KKj) JPro telah mengadakan sebuah usrah bersama naqib jemputan, Ustaz Nadir Al-Nuri. Melalui tajuk Membina Negara Merdeka, banyak sejarah dan pengalaman di bumi Palestin yang telah dikongsikan oleh Ustaz Nadir kepada kita. Usrah yang berlangsung selama hampir 3 jam terasa berlalu dengan sangat pantas. Berikut adalah di antara pengajaran yang boleh diambil dan diperhati berkenaan isu di Palestin.

Boleh dilihat dalam kalangan masyarakat kini, ramai yang semakin berani untuk menyuarakan sokongan terhadap isu-isu berkaitan Palestin. Namun, sokongan tersebut tidak lebih hanyalah atas dasar simpati terhadap nasib yang menimpa saudara seagama. Hakikatnya, mempertahankan Palestin adalah peranan setiap Muslim dan berkait rapat dengan tuntutan aqidah. Kita seharusnya mendalami apakah isu sebenar yang dihadapi oleh Palestin dan rakyatnya.

Apabila Palestin dilanda konflik dan peperangan, sering kita lihat banyaknya penulisan, siaran video, program dan aktiviti yang dianjurkan bertujuan untuk mengutip dana dan manyalurkan bantuan kepada Palestin. Namun, sebaik sahaja keadaan menjadi reda, isu Palestin bagai di angin yang lalu. Tahukan kita, pencerobohan ke atas Masjid Al-Aqsa itu berlaku pada setiap hari selagi mana bumi Al-Aqsa berada di bawah pemerintahan Yahudi. Bukan sahaja pada ketika tercetusnya konflik dan peperangan.

Mengimbau kembali peristiwa hitam Holocaust yang membawa kepada pembunuhan beramai-ramai jutaan orang berbangsa Yahudi oleh tentera Nazi, bertitik tolak peristiwa tersebut, bangsa Yahudi kini telah menjadi salah sebuah kuasa besar yang berpengaruh. Sebaik sahaja Yahudi mula menjajah Palestin, mereka sudah mempunyai strategi dan persediaan yang lengkap untuk memerintah Palestin seperti penubuhan kementerian, sumber kewangan, kelengkapan tentera dan lain-lain lagi. Bukannya baru mahu menyusun kerajaan dan pemerintahan.

Orang yang memusuhi islam cukup berstrategi dan terancang, seolah-olah mereka sedang bermain permainan catur. Mereka tahu buah apa yang perlu untuk digerakkan. Namun begitu, orang islam apabila berdepan dengan musuh, kita umpama bermain bola. Apabila pihak musuh ke kanan, kita pun akan ke kanan. Keadaan ini seperti pesan sahabat “Kebatilan yang tersusun akan mengalahkan kebenaran yang tidak tersusun”. Oleh itu, pentingnya untuk kita meningkatkan penghayatan kemerdekaan dan tidak mudah terpengaruh dengan strategi musuh.

Mereka yang hadir pada usrah tersebut pasti akan bersetuju bahawa terdapat banyak lagi ilmu yang telah dikongsikan oleh Ustaz Nadir. Semestinya penulisan serba ringkas ini tidak mampu untuk merangkumkan segala isi perbincangan. Namun begitu, mudah-mudahan melalui penulisan ini kita akan terus beriltizam dan berusaha untuk membina negara merdeka!

AJK Kluster Kejuruteraan,
Kluster Kejuruteraan JPro DPPM