Wilayah Persekutuan; Antara Keperitan Rakyat & Pembangunan Urbanisasi
1. Dikala Perdana Menteri mempertahankan langkah nepotisme dalam pelantikan anak sendiri sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan, ribuan warga kota metropolitan ini masih bertarung dengan kos sara hidup dan tekanan inflasi. Sehingga kini kita masih menunggu apakah dasar dan langkah Kerajaan baru ini dari sudut pelaksanaan yang lebih membumi dalam kita menghadapi tekanan inflasi dan kenaikan harga barang yang masih tidak kelihatan cahaya di hujung terowong.
2. Penduduk di Wilayah Persekutuan antara golongan yang paling terkesan dengan kenaikan harga barangan dan tekanan inflasi. Berikutan Paras Garis Kemiskinan (PGK) yang terbaru, keluarga berpendapatan RM2,208 dan ke bawah sebulan sudah dikategorikan sebagai miskin bandar. Kita dikejutkan lagi dengan dapatan pada tahun 2021 apabila dianggarkan 30,000 keluarga daripada 1.8 juta penduduk di ibu negara memiliki pendapatan di bawah PGK. Jumlah itu dikenal pasti di 178 lokaliti di sekitar Kuala Lumpur terutama membabitkan penghuni di Projek Prumahan Rakyat (PPR).
3. Pastinya hari ini setelah kita melangkah ke tahun 2023 bersama tekanan inflasi dan kos sara hidup yang semakin meningkat, golongan rentan di ibu kota akan semakin merasai kesannya. Saya kira Perdana Menteri bersama kerajaan barunya wajar membuang serta merta langkah nepotisme, reformasi yang tidak ditepati lagi populis, serang menyerang, saman menyaman dan mengeluarkan kenyataan yang tidak menggambarkan dirinya sudah berada di blok kerajaan untuk melihat isu-isu rakyat dengan lebih serius. Rakyat menunggu pengumuman dan berita baik daripada kerajaan di kala mereka bertarung dengan poket yang semakin nipis dan makanan di atas meja yang kian sirna.
4. Kota metropolitan ini juga menjadi saksi projek hartanah kediaman dibangunkan bagai cendawan tumbuh selepas hujan terutama kondominium dan pangsapuri yang hanya mampu dilihat tetapi tidak mampu dimiliki. Kebanyakan hartanah di ibu kota yang berharga antara RM500,000 sehingga RM1 juta adalah diluar kemampuan rakyat terutama golongan belia untuk memilikinya dengan tangga gaji yang rendah dan diluar kelayakan pembiayaan bank. Kita patut berasa bimbang apabila data pada tahun 2021 menunjukkan jumlah nilai hartanah siap tidak terjual mencecah sehingga RM22.48 bilion dan saya percaya angka tersebut masih belum berkurang secara signifikan sehingga kini.
5. Kerajaan yang terdahulu pernah melancarkan pelbagai inisiatif antaranya i-miliki atau House Ownership Campaign (HOC) bagi membantu mengurangkan beban kepada para pembeli. Perkara ini harus dilihat secara menyeluruh oleh Kerajaan daripada sudut pemaju, pelabur, pembeli, premium tanah kerajaan negeri serta Kanun Tanah Negara. PAS sendiri melalui gagasan Dokumen Hijau pernah melancarkan beberapa cadangan berkenaan isu perumahan ini melalui kaedah Musyarakah dan Sukuk Al-Ijarah sejak tahun 2018 bagi kerana memandang isu perumahan ini sebagai isu asasi kemanusiaan.
6. Akhirul kalam, Selamat Hari Wilayah kepada sekalian warga kota yang membanting tulang membangunkan ekonomi kota raya. Tidak lupa juga kepada mereka yang tinggal di luar kota tetapi berperanan besar dalam limpahan ekonomi kota metropolitan ini pada waktu siang kerana datang bekerja dengan segala jerih payah kesesakan dan kesibukannya. Anda memang wira!
Ditulis oleh
Najwa Hidayah Amir,
Pengarah Ameerah Wilayah Persekutuan
Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan
Ahli Kluster Ekonomi & Kewangan JPro
2 Februari 2023