JPro

3 MITOS DAN FAKTA MENGENAI RABIES BERSEMPENA HARI RABIES SEDUNIA

Pada 2 November 2019, Malaysia digemparkan dengan sebuah berita kematian seorang kanak-kanak yang pada mulanya hanya mempunyai gejala sakit tekak kemudian disahkan positif anjing gila dan disyaki mendapat jangkitan dari anjing peliharaannya yang dibenarkan bebas bermain bersama anjing liar dan tidak divaksin. Kematian seterusnya berlaku pada bulan Mac 2020 di Sibu melibatkan kanak-kanak berusia 5 tahun dan pada Mei tahun yang sama juga berlaku kematian melibatkan warga emas di bandar yang sama. Namun, adakah ini antara kes terawal penyakit anjing gila (rabies) di Malaysia?

Pada tahun 1999, kes terakhir rabies dalam haiwan dan manusia telah membebaskan Malaysia dari penyakit virus itu. Kementerian Kesihatan Malaysia mengesyaki wabak penyakit anjing gila itu berasal dari Kalimantan Barat di Indonesia kemudian merebak ke Sarawak. Kematian pertama yang diakibatkan oleh virus berlaku di Bahagian Serian, Sarawak telah dilaporkan pada 4 Julai 2017 melibatkan dua kanak-kanak. Sehingga Disember 2020, sebanyak 30 kes penyakit anjing gila dan 28 kematian telah dilaporkan.

Persoalannya, virus apakah yang menyebabkan kadar kematian begitu tinggi dan adakah kerajaan telah berusaha sedaya upaya mencegah dan mengawal perebakan wabak penyakit bawaan zoonotik ini. Rabies merupakan sejenis penyakit zoonotik yang disebabkan oleh jangkitan virus dari genus Lyssavirus yang boleh menjangkiti kesemua jenis mamalia. Perubahan kelakuan, gejala kerosakan saraf, lumpuh adalah gejala klinikal yang kerap dikesan dan yang lazimnya berakhir dengan kematian.

Rabies boleh berjangkit melalui beberapa cara, antaranya ialah luka gigitan, luka terbuka pada kulit atau melalui permukaan mukosa dari air liur, cairan atau tisu tubuh yang terjangkit. Tempoh inkubasi penyakit ini boleh mencecah sehingga 6 bulan, dan tempoh jangkitan di dalam haiwan domestik karnivor pula mungkin seawal 15 hari sebelum gejala awal yang muncul dan ianya berakhir apabila haiwan / manusia terjangkit itu mati.

Terdapat pelbagai mitos yang berlegar dalam masyarakat kita masa kini kerana kekurangan kesedaran dan pendedahan dari sumber yang betul. 

Antara mitos selalu di pegang oleh masyarakat adalah :

Mitos 1 :
Rabies tidak mengancam nyawa atau membawa maut kepada manusia.
Fakta 1 :
Rabies selalu mengancam nyawa dan boleh mengakibatkan kematian jika luka gigitan tidak segera dicuci dan vaksinasi pasca pendedahan tidak diberikan tepat pada waktunya sesuai dengan keperluan kesihatan awam.

Mitos 2 :
Haiwan peliharaan dalam rumah tidak perlu diberi vaksin.
Fakta 2 :
Sama seperti haiwan peliharaan lain, kucing, anjing, dan musang di dalam rumah juga harus diberi vaksin.

Mitos 3 :
Sekiranya kita digigit oleh anjing yang diberi vaksin, kita tidak memerlukan vaksin rabies manusia selepas pendedahan.
Fakta 3 :
Walaupun anjing itu diberi vaksin terhadap rabies, kita tetap harus berjumpa doktor untuk rundingan kesihatan. Doktor akan menilai luka gigitan dan memberi nasihat mengenai keperluan vaksin pasca pendedahan. Sekiranya kita tidak mendapatkan rawatan perubatan, kita akan mempertaruhkan nyawa sendiri.

Justeru itu, marilah kita sama-sama meningkatkan tahap kesedaran dan pengetahuan mengenai penyakit rabies. Hari Rabies Sedunia juga disambut setiap tahun pada tanggal 28 September bersempena hari kematian pencipta vaksin anti rabies pertama dari negara Perancis bernama Louis Pasteur.

Selamat Hari Rabies Sedunia
Rabies : Fact, Not Fear

Ditulis oleh

Zahiruddin Zaki,
Kluster Kesihatan,
Jabatan Profesional Muda, JPro
Penulis merupakan ahli Kluster Kesihatan JPro dan juga pengamal kesihatan persekitaran.

28 September 2021