JPro

5 BUKTI KESILAPAN AMIRUDDIN SHARI PERTIKAIKAN MANIFESTO PN SELANGOR

Caretaker Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Amiruddin Shari (DSAS) dalam podcast Kelaur Sekejap menyatakan bahawa PN tidak mempunyai kesungguhan terhadap pembangunan dan pembugaran (perkembangan) ekonomi apabila hanya mampu menawarkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Selangor bernilai RM2 bilion dan menarik pelabur luar berteknologi tinggi.

Adakah benar hanya itu tawaran ekonomi di dalam manifesto PN?

Jom kita lihat analisis ringkas antara manifesto PHBN dan PN.

1| TAWARAN PN BERKAITAN EKONOMI LEBIH BANYAK DARI PHBN

Jumlah tawaran berkaitan pembangunan ekonomi di dalam manifesto PHBN merangkumi sebanyak 16 daripada 53 tawaran (30.2%) manakala perkara yang sama di dalam manifesto PN pula adalah sebanyak 49 daripada 112 tawaran (43.8%).

PN bukan sahaja mempunyai jumlah tawaran yang lebih banyak berbanding PHBN, bahkan ia turut merangkumi hampir separuh daripada keseluruhan tawaran di dalam manifesto PN.

2| TAWARAN PN LEBIH FOKUS TERHADAP INDUSTRI MASA HADAPAN

PN dilihat lebih terkehadapan dalam perancangan membugarkan ekonomi Selangor apabila memberi fokus terhadap industri masa hadapan bernilai tinggi seperti tenaga boleh diperbaharui, pusat data serta mengoptimumkan penggunaan AI dan robotik.

Manakala fokus pembugaran ekonomi dalam manifesto PHBN pula hanya bersifat umum seperti menyediakan fasiliti untuk pelaburan seperti pembinaan jajaran rel di utara dan selatan Selangor serta mewujudkan perbandaran baharu.

3| PEMBUGARAN EKONOMI MELIBATKAN SEMUA GOLONGAN TERMASUK WANITA, OKU & WARGA EMAS

Antara bukti kesungguhan PN dalam membugarkan ekonomi negeri Selangor adalah dengan melibatkan dan memberi peluang kepada semua golongan termasuk golongan wanita, OKU dan warga emas yang boleh dilihat melalui tawaran di dalam Tunjang 2 (Sejahterakan Kehidupan Rakyat) dan Tunjang 5 (Wanita Teras Masyarakat & Ekonomi Negeri).

Manakala bagi PHBN pula, pembangunan ekonomi negeri disasarkan secara umum tanpa melibatkan golongan tertentu secara terperinci melainkan kumpulan anak muda, belia dan mahasiswa.

4| PN LEBIH MENITIK BERATKAN KEPENTINGAN ILMU DALAM MEMBUGARKAN EKONOMI SUPAYA LEBIH LESTARI

DSAS menyatakan bahawa PHBN ingin menjadikan ilmu pengetahuan sebagai sumber tarikan kepada program ekonomi. Jika dilihat di dalam manifesto, ia mungkin berkaitan dengan 3 tawaran ini;

(i) 10,000 latihan TVET kepada anak muda, kerjasama dengan Apple, Siemens, Festo, dan Dassault Systemes;
(ii) 200,000 peserta Program Tuisyen Rakyat Selangor percuma kepada pelajar sekolah rendah dan menengah, serta;
(iii) Kelas belajar bahasa percuma seperti Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, Tamil, Jepun, dan Korea.

Dalam perkara yang sama, manifesto PN dilihat lebih menitikberatkan kepentingan ilmu pengetahuan dalam membugarkan ekonomi apabila menyediakan tawaran berikut;

(i) Memperkasa kolej dan universiti milik Kerajaan negeri seperti Universiti Selangor (UNISEL), INPENS International College dan Universiti Islam Selangor (UIS) sebagai peneraju pendidikan tinggi dan penyelidikan bagi ekonomi masa hadapan;
(ii) Menubuhkan Pusat Kajian Industri Masa Hadapan bagi memastikan pembangunan industri masa hadapan Selangor yang dinamik dan mampan;
(iii) Mewujudkan Zon Khas Latihan Kemahiran berteknologi tinggi bagi memenuhi keperluan ekonomi masa hadapan dengan jalinan kolaborasi strategik antara Kerajaan negeri dan industri.

5| PN FOKUS PENYELESAIAN ISU EKONOMI SECARA TERUS, TERPERINCI & BOLEH DIUKUR

Antara faktor penting dalam membugarkan ekonomi adalah dengan menyelesaikan sesuatu isu secara terus, terperinci dan boleh diukur (specific & measurable). Apabila Selangor mencatatkan penurunan di dalam sektor pertanian pada tahun 2022 dengan penguncupan sehingga 1.6%, PHBN hanya meletakkan sasaran umum di dalam manifesto iaitu memfokuskan usaha pembangunan ekonomi kepada industri pertanian model. Namun, PN beranggapan isu ini perlu diselesaikan untuk tempoh masa yang lebih lama, maka PN menawarkan untuk mewujudkan Hab Mega Makanan bagi meningkatkan hasil pengeluaran melalui insentif bernilai RM150 juta.

KESIMPULAN

Manifesto adalah janji yang mesti ditunaikan sebaik mungkin oleh pihak yang memenangi Pilihan Raya. Sebagai contoh, PN melalui PAS Terengganu bukan sahaja telah berjaya membuktikan kesungguhan dan kesabaran dalam menunaikan kesemua 20 manifesto dalam tempoh masa lima tahun, bahkan turut berjaya meningkatkan prestasi ekonomi negeri, mengurangkan pengangguran serta menambah peluang pekerjaan.

Jom semua pengundi, buat pilihan yang tepat pada 12 Ogos nanti.

 

Ditulis oleh

Asyraf bin Salleh
Ahli Kluster Ekonomi dan Kewangan,
Jabatan Profesional Muda, DPPM
Penulis mempunyai Ijazah Sarjana di dalam bidang Ekonomi dan merupakan seorang pegawai penyelidik yang berkhidmat di Terengganu Darul Iman.

9 Ogos 2023