JPro

Activate Clubhouse – Peranan Kluster Kejuruteraan Sebagai Pasukan Pakar Dalam Membantu Kerajaan

1. Kluster Kejuruteraan dibawah Jabatan Profesional (JPro) DPPM telah berjaya menganjurkan satu Program Activate Clubhouse pada 15 Feb 2023. Program ini diadakan perbincangan bagaimana ahli-ahli kluster kejuruteraan dapat menyumbang kepakaran mereka untuk membantu kerajaan. Perbincangan di dalam program ini dipengerusikan oleh Ir. Ts Azhar seorang pensyarah dan panel yang terlibat adalah Dr Syukri, CEO syarikat berasaskan teknologi dan juga Ts. Razak, yang merupakan jurutera di salah sebuah syarikat pengeluaran.
 
2. Banyak perkara menarik yang telah dibincangkan dan antaranya ialah bagaimana Kluster Kejuruteraan dapat membuka peluang kepada ahli kluster untuk terlibat dalam pelan pembangunan kerajaan dan seterusnya dapat meningkat portfolio mereka yang terlibat. Selain itu, hasil perbincangan perkongsian semalam oleh Dr. Syukri dan Ts. Razak berpendapat kepakaran tempatan adalah sangat diperlukan untuk perancangan pembangunan sama ada diperingkat negeri ataupun negara.
 
3. Sebagai contoh, Ts Razak yang juga merupakan Pengarah JPro Negeri Kelantan memaklumkan, Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) sangat mengalu-alukan kepakaran tempatan bersama-sama dengan kerajaan negeri dalam pelan perancangan dan pelaksanaan pembangunan negeri. PMBK yang merupakan agensi korporat dan peneraju pelaburan strategik di negeri Kelantan didokong oleh 11 buah anak syarikat antaranya PMBK Sawit Sdn. Bhd., PMBK Development Sdn. Bhd., PMBK Az-zahab Sdn. Bhd., Kifaalah Sdn. Bhd., Kelantan Gold Trade Sdn. Bhd dan lain-lain lagi.
 
4. Ts Razak memaklumkan, hasil kerajaan negeri lebih berkesan untuk dipulangkan kepada rakyat tempatan jika ia didokong oleh pakar tempatan. Ini kerana, jika pelan dan pelaksanaan dilaksanakan sendiri oleh pakar tempatan, hasil yang diperolehi dalam bentuk urusniaga dan sebagainya dapat dinikmati sepenuhnya oleh rakyat Kelantan selain dapat membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan. Dr.Syukri berkongsi contoh
terbaik untuk penambahbaikan industri, iaitu yang kaedah diamalkan oleh Warwick Manufacturing Group (WMG). WMG mengganding pakar dari latarbelakang akademik, industry, dan kerajaan. Dengan kaedah ini sumber dapat dikongsikan antara pihak-pihak yang terlibat
 
5. Dr Syukri juga berpendapat keberkesanan pelan pembangunan kerajaan sama ada di peringkat pusat ataupun negeri adalah berpunca kepada kekurangan strategik teknikal. Ini kerana, asasnya pentadbiran di Malaysia ini diketuai oleh pasukan pengurusan yang mempunyai kekurangan pengetahuan teknikal yang mengakibatkan kekurangan keberkesanan sesuatu dasar atau projek dalam proses jangka panjang.
 
6. Oleh itu kesimpulannya, kerajaan sangat memerlukan tenaga pakar khususnya jurutera untuk terlibat samada di peringkat pembangunan polisi, dasar, dan juga pelaksanaan. Oleh itu, Kluster Kejuruteraan di bawah JPro amat mengalu-alukan penglibatan ahli-ahli PAS khususnya yang berlatarbelakang kejuruteraan untuk terlibat sama dalam usaha ini. Kluster Kejuruteraan akan terus mengadakan siri-siri perbincangan yang berterusan dengan pasukan yang terlibat dengan agensi-agensi kerajaan di peringkat negeri dan pusat dalam usaha membantu kerajaan dengan melibatkan pakar tempatan.
 

Ditulis oleh

Dr Khairul Azhar,
AJK Kluster Kejuruteraan,
Jabatan Profesional Muda, DPPM
Penulis merupakan ahli Kluster Kejuruteraan dan mempunyai PhD dalam bidang kejuruteraan mekanikal serta sekarang memegang jawatan sebagai seorang pensyarah di salah sebuah universiti awam di Malaysia.

20 Februari 2023