JPro

AKU, AIFA DAN THALASSEMIA

Namaku Arbisi dan aku adalah sel darah merah di dalam tubuh seorang gadis periang bernama Aifa. Aku ditugaskan untuk membawa oksigen dari paru-paru hingga ke seluruh badan. Tanpa aku, sel-sel badan tidak dapat menghasilkan tenaga dengan sempurna disebabkan ketiadaan oksigen yang mencukupi.
 
Untuk makluman, Aifa merupakan seorang pesakit Beta Thalassemia Major. Thalassemia adalah penyakit kurang penghasilan hemoglobin di dalam sel darah merah di mana hemoglobin ini merupakan sejenis protein yang mengangkut molekul oksigen di dalam darah.
Kekurangan hemoglobin yang normal ini menyebabkan Aifa menjadi cepat penat dan keadaan ini sememangnya menjejaskan kehidupan Aifa sebagai remaja yang aktif serta perjalanannya mengejar cita-cita sebagai seorang doktor pakar.
Malah, pernah suatu hari Aifa jatuh pitam kerana lambat mendapatkan transfusi darah disebabkan jadual sekolah yang agak padat. Mujurlah rata-rata rakyat Malaysia adalah terdiri daripada masyarakat yang budiman dan sanggup menderma darah kepada insan seperti Aifa. Beliau tidak lagi risau tentang kekurangan stok darah walaupun memerlukan transfusi darah hampir setiap bulan.
 
“Terima kasih para penderma darah. Anda hero kami.”
 
Hantaran beliau di aplikasi ‘facebook’ menaikkan semangat lagi penderma tetap untuk terus menderma darah setiap tiga bulan. Tidak kurang juga pembaca yang tersentuh hati lalu ingin mencuba prosedur menderma darah ini.
 
Aifa ditawarkan untuk menjalani ‘stem cell transplantation’. Prosedur ini membolehkan badan Aifa untuk menghasilkan sendiri hemoglobin yang normal sekaligus tidak memerlukan untuk beliau menjalani transfusi darah lagi. Prosedur tersebut telah berjaya dan kualiti kehidupan dan kesihatan Aifa semakin baik. Alhamdulillah.
 
Tahun demi tahun berlalu, Aifa kini sudah bergelar pakar perubatan transfusi. Beliau pula yang mengetuai dan mengaturcara program derma darah di negeri penyu ini. Setiap pek darah yang didermakan akan disalurkan pula kepada mereka yang memerlukan seperti Puan Asia yang kehilangan darah ketika bersalin, Pak Mat yang mengalami pendarahan akibat kemalangan serta Adik Fadhil yang mengalami penyakit kuning yang teruk.
 
Memang benar, derma darah menyelamatkan nyawa. Dan nyawa yang diselamatkan itu pula yang memberi manfaat kepada orang lain. Pahala yang berantai-rantai dan mengalir sentiasa. Sebagaimana Aifa pula menggunakan nikmat kesihatan atas sumbangan para dermawan untuk terus memberi sumbang bakti.
 
Dan aku menjadi saksi.
 
Kerana aku, sel darah merah Dr. Aifa.

Ditulis oleh

Ahmad Nouman Amru
Kluster Kesihatan,
Jabatan Profesional Muda, JPro
Ahmad Nouman Amru merupakan Pegawai Perubatan di salah sebuah hospital di pantai timur. Beliau memenangi pertandingan menulis artikel sempena Hari Penderma Darah Sedunia, anjuran Kluster Kesihatan, Jabatan Profesional Muda (JPro) DPPM

15 Jun 2021