JPro

AKU SEORANG PENDIDIK

Menjadi seorang pendidik merupakan kerjaya pilihan diri ketika ini. Dengan berlatar belakangkan ijazah sarjana muda, aku percaya bahawa diluar sana pasti banyak peluang kerjaya yang jauh lebih baik dan sesuai dengan keperluan kewangan poket sendiri. Namun aku punya alasan tersendiri untuk duduk di profession ini. Bak kata Mutiara “kerja seorang guru tidak ubah seperti kerja seorang petani yang senantiasa membuang duri serta mencabut rumput yang tumbuh di celah-celah tanamannya”.
 
Pengukuhan di sektor pendidikan sesebuah negara menjadikan negara maju dan berupaya melahirkan anak bangsa menjadi insan yang terbaik. Seterusnya, ia juga mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. Melalui Pendidikanlah perpaduan sesama masyarakat majmuk dan berbilang kaum dapat dijayakan dan ini mencapai kemakmuran dan keharmonian negara. Justeru, kesatuan melalui pendidikan berupaya memperteguhkan rakyat untuk taat setia kepada negara.
 
Pendidikan membawa tamadun dan kemajuan kepada semua lapisan masyarakat, baik dari usia kanak-kanak sehinggalah dewasa. Disini aku nukilkan pesanan dan motivasi buat guru atau pendidik yang sama-sama berjuang bersamaku sebagai pembakar semangat untuk terus berjuang membina dan melahirkan anak bangsa untuk menjadi insan yang terbaik.
 
Pertama, sebagai seorang pendidik, kita bertanggungjawab mempamerkan dan menunjukkan teladan yang baik kepada anak didik. Sentiasa mengucapkan dan memberikan kata-kata yang positif dan membina. Menunjukkan akhlak yang mulia untuk diteladani dengan memberi teguran, bersikap adil, berkepimpinan dan mengajarkan nilai-nilai murni. Di dalam Al-Quran Allah menyebut, firmannya :
 
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِيْ رَسُوْلِ اللّٰهِ اُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَنْ كَانَ يَرْجُوا اللّٰهَ وَالْيَوْمَ الْاٰخِرَ وَذَكَرَ اللّٰهَ كَثِيْرًاۗ
 
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”
(Surah Al-Ahzab : 21)
 
Aku menyeru kepada barisan pendidik yang sebaris denganku untuk kita sama-sama cuba menjadi seorang muslim yang baik pada peribadi dan akhlak dengan menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh ikutan yang terbaik.
 
Kedua, terus belajar dan tidak berhenti menuntut ilmu. Membudayakan ilmu dengan membaca, memerhati, berkarya, memberi idea, bertukar fikiran dan mencari pengalaman baru. Ilmu adalah sangat luas tapi tidak terbanding dengan ilmu Allah. Umpama ilmu kita setitik sahaja air di laut berbanding ilmu Allah. Guru yang berkesan adalah mereka yang menguasai pengetahuan dan kemahiran untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Teruslah mengali ilmu sesuai dengan hadith :
 
طلب العلم فريضة على كل مسلم
 
“Menuntut ilmu itu wajib ke atas semua muslim”
(HR Ibnu Majah)
 
Ketiga, jadilah guru yang berwawasan dan bermatlamat. Dalam melahirkan modal insan yang cemerlang, banyak aspek yang perlu dicakna bagi mencapai hasil pembelajaran berpandukan pendidikan islam. Sentiasa memastikan aqidah dan iman anak didik sentiasa berlandaskan syariat agama. Usah membatasi pada ilmu dunia sahaja tetapi ilmu akhirat juga. Mendorong anak didik mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan mengkaji ilmu sains atau matematik bukti kebesaran Allah SWT.
 
Sebagai penutup, kerjaya sebagai seorang pendidik bukan mudah terutama pada era generasi zaman ini yang semakin berani dan terdedah dengan dunia teknologi yang semakin canggih. Di tambah bebanan kerja dan tekanan daripada pelbagai pihak. Tidak dinafikan suntikan motivasi dan peringatan sentiasa diperlukan oleh mereka yang bekerja di profession ini. Semoga dengan nukilan ini sedikit sebanyak mampu menyuntik semangat para pendidik untuk tidak jemu menjadi pendidik kepada anak bangsa tanah air tercinta.

Coretan oleh seorang guru PASTI :

Asma Diyana Binti Abd Jalil
Penulis merupakan peserta dalam pertandingan penulisan sempena hari kemerdekaan dan hari Malaysia anjuran JPro dengan tema #teguhmembinanegara.

17 September 2022