JPro

AMANAH

Selaku seorang yang beragama Islam, apapun posisi kerjaya kita , tetaplah mengaplikasikan tatacara dan garis panduan yang dituntut dalam Islam . Apa kaitan Islam dengan kerjaya? Ya Islam menuntut penganutnya amanah dalam apa jua perkara termasuklah dalam kerjaya kerana betapa besar pengaruhnya dalam kehidupan kita. Cukuplah perkataan ‘amanah’ itu sendiri dapat mewakili segala hal-hal kecil yang dituntut untuk kita pelihara.
 
Bekerja satu ibadah. Bukan sekadar mengisi masa, yang kemudiannya apabila cukup bulan terima bayaran. Segala amalan bermula dengan niat. Betapa sempurnanya Islam itu apabila meneliti sesuatu perbuatan dari sekecil dan sehalus perkara iaitu niat. Permulaan niat yang baik bakal mengembangbiakkan keberkahan didalam sesuatu urusan dari sepanjang proses ia bermula hinggalah disaat menuai hasilnya. Apabila Allah redha dengan perbuatan kita, Allah berkati atas rezeki yang kita perolehi. Allah telahpun menjamin akan rezeki manusia, namun ada bezanya rezeki yang berkat dan tidak berkat. Semuanya berkait dengan bagaimana jalan mulanya kita tempuh!
 
Berkecimpung dalam dunia pendidikan sangat menuntut sikap disiplin yang tinggi dalam mengurus masa dan tingkahlaku. Untuk mendisiplinkan seorang murid, seorang guru itu perlu terlebih dahulu mendisiplinkan dirinya kerana mendidik bukan hanya tertumpu kepada kemahiran intelektual, namun nilai akhlak dan adab perlu diadunkan bersama bagi melahirkan generasi yang produktif berjiwa Rabbani. Maka dengan itu, jangan sesekali memandang enteng akan tugasan mendidik!
 
Seringkali saya mengevaluasi diri, mencari titik kelemahan dalam cara mendidik untuk diperbaiki kerana sedari betapa besarnya amanah yang sedang dipikul tika ini .Mendidik bukan tentang memandaikan manusia, tetapi untuk ‘memanusiakan manusia’. Sasaran saya adalah ingin melahirkan insan yang berilmu dan beramal soleh. Ilmu dunia dan ilmu akhirat itu seiringan. Menonjol hanya pada salah satunya sahaja bererti ‘tempang’dan tidak sempurna. Anak didik kita pada hari ini adalah bakal pemangku negara. Jika tidak dicorak dan dibaja sekarang, maka bila lagi?
 
Murid yang mempunyai sahsiah dan keperibadian yang murni adalah klon atau hasil cetak dari kepribadian ibubapa dan guru yang memimpin. Justeru itu, acap kali saya menekan diri supaya senantiasa tajdid niat saat disapa kemalasan dan sikap acuh tak acuh sepanjang dimedan ini. ‘Bagaimana aku ingin melahirkan insan yang kompeten, inovatif dan berdedikasi sedangkan aku lalai dalam prinsip. Hanya pandai berkata-kata dan tinggi suara sahaja tidak mengubah apa-apa wahai Liyana!’ ibarat ‘tin yang kosong’, apabila diketuk, kuat sekali bunyinya namun isinya tiada!’ Monolog dalamanku yang tajam benar-benar membarakan api kesungguhan dalam diri!.
 
Apa pula kaitannya anak didik dengan negara? Terkadang kita terleka, bangsa berpecah kerana jurang hubungan dengan tuhan. Anak muda yang bakal memangku negara pada esok hari, kini sedang bermaharajalela menyambut riang anasir luar yang merosakkan diri mereka dalam senyap. Justeru disinilah kenyataan pahit yang dampaknya besar dimata saya. Betapa pentingnya peranan dan tindakan kita semua terhadap fenomena yang sedang berlaku ini. Segeralah kita melakukan anjakan paradigma demi mencapai kemaslahatan bersama untuk dikemudian hari. Ayuh atur langkah membantutkan apa jua perkara yang bakal mengganggu gugat kemakmuran negara yang sedang kita nikmati dan warisi dari keringat dan darah para pejuang tanah air terdahulu.
 
خَيْ ر النا س أَنفَع هم للنَّا س
Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat untuk orang lain.
 
(Hadith Riwayat Ath-Tabrani)
 
Pentingnya ilmu beserta hubungan rohani. Kerana ilmu dan amal itu seperti baja yang menyuburkan tanaman. Suburkan sifat memberi didalam diri sebelum mengharap orang lain menuruti. Begitu juga di medan ini, memaknai tujuan adalah keutamaan sebelum mengamal dan menyebarkan. Mahu mendapatkan hasil yang bagus, perlu dijaga kualiti dan tumbesarannya dengan baik. Kerana tunjangnya bermula dari bawah! Pasakkan niat mengajar untuk menyebarkan manfaat kepada manusia lain, ajari pula murid belajar untuk menyebarkan manfaat buat ummah. Tidak semestinya perlu menjawat jawatan tertinggi baru boleh sebarkan manfaat kepada orang lain. Ruang lingkup kehidupan ini luas dan bergaris halus. Cari peluang untuk menebar bakti!
 
Akhirulkalam, pembangunan negara hakikatnya memerlukan campur tangan bersama. Ingatlah bahawasanya keterlibatan kita dalam sekecil-kecil perkara amat memberi pengaruh luar biasa dalam jangka masa panjangnya. Berganding bahulah demi kemakmuran negara. Cari, gali dan baiki sisi yang tercela agar tidak terjerat dibelit jajahan mereka yang gila kuasa. Allah memilih kita di medan ini pasti ada asbabnya. Waima berbeza bidang, namun kita masih di tanah yang sama, Malaysia tercinta.. Pahlawan dahulu kala sedikit berbeza dengan pahlawan era digital. Mujahadahnya berbeza namun tujuannya sama! Amanahlah dengan taklifan yang diberi. Perhalusilah dari akar umbinya. Majulah ummah untuk negara!

Ditulis oleh

Liyana Shuhada
Penulis merupakan peserta dalam pertandingan penulisan sempena hari kemerdekaan dan hari Malaysia anjuran JPro dengan tema #teguhmembinanegara.

15 September 2022