JPro

ANDAI ITU TAKDIRNYA

“Mak…sudah lah itu mak. Jangan lah mak menangis lagi… Diah tak sanggup melihat mak bersedih. Diah reda dengan kehendak-Nya mak… Ini takdir Diah. Diah reda mak…,” ujar Diah lembut kepada ibunya, Mak Jah yang masih terpukul dengan keadaannya. Perit sungguh hati ibu tua itu untuk menerima kenyataan bahawa anaknya telah menjadi lumpuh kekal.
 
Mak Jah memandang anaknya dalam-dalam. Kedua-dua tangannya memegang bahu Madiah.“Apa lah dengan nasibmu kelak anakku?,” luah hati kecilnya. Air matanya berderai laju. Tangis esaknya tidak dapat ditahan lagi di katil nombor 19, Wad Dahlia, Hospital Slim River.
 
Mak Jah merangkul erat-erat tubuh Diah. Diah sangat mengerti hatinya seorang ibu mana mungkin dapat menerima kenyataan bahawa anaknya yang normal menjadi lumpuh dalam sekelip mata dan bergelar Orang Kelainan Upaya (OKU) dalam sekelip mata. Air jernih di kelopak matanya hanya menunggu masa untuk tumpah namun, segera dia menyekanya. Dia harus kuat di depan ibunya. Dia tidak mahu menambahkan lagi kesedihan ibunya itu. Ibunya sudah cukup terpukul dengan keadaannya sekarang.
 
“Mak…Diah reda mak. Ini ujian daripada-Nya. Mak janganlah menangis lagi…,” ujar Madiah lembut.
 
Lama Mak Jah memeluk Diah. Dia seakan-akan tidak mahu melepaskan pelukannya itu. Hatinya berasa tidak tenang memikirkan kemungkinan lain yang bakal menimpa anaknya itu. Kata-kata Doktor Faiz masih terngiang-ngiang di telinganya.
 
“Setelah dijalankan MRI, saya dapati anak mak cik telah patah tulang pinggul. Otot piriformis anak mak cik rosak teruk kerana tersepit lama di dalam kereta. Kemungkinan besar anak mak cik akan… lumpuh kekal. Saya… minta maaf mak cik,” ujar Doktor Faiz lagi.
 
Mak Jah menelukup tangan ke mukanya. Dia tidak mampu bersuara tatkala mendengar keputusan ujian MRI Madiah. Hanya air mata jernih menjadi peneman setianya sejak tiga bulan lalu. Air jernih itu semakin laju membasahi pipi tua yang berumur lebih dari separuh abad itu.
“Sabar lah mak cik. Banyakkan lah berdoa kepada-Nya” ujar Doktor Faiz lagi.
 
“Macammana aku hendak beritahu Diah perkara ini? Dapatkah dia menerima kenyataan ini? Bagaimana dengan kariernya nanti? Diah baru merasai nikmat bekerja selama dua tahun. Semangatnya masih berkobar-kobar,” gerutu Mak Jah lagi.
 
Mak Jah menyeka air mata di pipinya. Dia berjalan menuju ke katil Madiah. Hatinya serba salah.“Dapatkah Madiah menerima kenyataan ini?,” Mak Jah mengomel sendiri.
 
Madiah menunggu khabar gembira daripada ibunya. Khabar tentang keadaannya. Sudah hampir tiga bulan dia ‘berkampung’ di Hospital Slim. Dia begitu merindukan gelak tawa anak-anak muridnya. Minah, Syasya, Siti. Murid-murid 1 Kenanga itu memerlukan khidmatnya. Mereka semua dahagakan ilmu. Anak-anak Perkampungan Orang Asli Pos Tenau Ulu Slim itu begitu istimewa di hati Madiah. Mereka sudah mula mengenal huruf, sudah mula tahu mengeja suku kata. Madiah ingin segera berada di sekolah mengikuti perkembangan anak-anak istimewanya itu membaca. Rasa puas sebagai seorang guru tiada taranya tatkala melihat kejayaan anak-anak murid mencapai sesuatu yang diharap-harapkan.
 
Madiah sangat rindukan suasana pada musim buah. Anak-anak Sekolah Kebangsaan Pos Tenau Ulu Slim tidak lokek berbagi pelbagai buah kepadanya. Durian, rambutan, duku, langsat. Mereka sangat menghargai para pendidik yang rela bersusah payah menyumbang tenaga dan bakti di perkampungan Orang Asli yang serba daif itu. Jalannya masih tanah merah, berbukit-bukit, jauh di pedalaman.
 
Madiah teringat kenangan saat pertama kali ditempatkan di sekolah itu. Teksi dari Pekan Kuala Slim menurunkan Madiah di simpang jalan utama sahaja.
 
“Saya turunkan cikgu di sini sahaja, Jalan merah yang sempit dan berbukit-bukit tidak sesuai untuk kenderaan ‘biasa-biasa,” ujarnya sambil tersenyum.
“Hanya lori pikap yang keluar-masuk menggunakan jalan itu. Orang tempatan memanggil lori pikap itu sebagai ‘Hailak’. Dalam jam 3.30 petang nanti, sampai lah ‘Hailak’ itu. Cikgu boleh tunggu di pondok depan itu,”tambahnya lagi sambil tangannya menunjukkan sebuah pondok menunggu.
 
“Jam 3.30 petang. Ah, sekarang baru jam 1.40 petang. Dua jam lagi tu!”
 
Madiah menunggu di pondok usang beratapkan zink yang semakin uzur itu. Sesekali dia menjeling telefon pintar di tangannya yang baru diambil di dalam beg sandangnya.
 
“Hah,liputan talian masih tiada lagi?”, omelnya di dalam hati.
 
Hatinya berbaur risau memikirkan sekiranya berlaku perkara yang buruk kepadanya. Maklum lah tempat ini begitu asing kepadanya. Beratus-ratus kilometer dari kampung halamannya di Kelantan. “Jika berlaku sebarang kecemasan, bagaimana hendak dihubungi jika tiada liputan talian?,” omelnya
lagi.
 
Debuan-debuan tanah merah mengiringi perjalanan Madiah ke sekolah perkampungan Orang Asli. Rasa takutnya dibuang jauh-jauh demi mendidik anak bangsa Malaysia. Itu lah kali pertama Madiah menaiki kenderaan pacuan empat roda ‘Hailak’ yang dipanggil oleh penduduk kampung, mendaki bukit-bukit. Tenang dan sunyi sepanjang jalan.
 
“Cikgu, smartphone tak berfungsi di sini cikgu!Memang tak dapat tarik line! Cikgu mesti gunakan telefon biasa-biasa sahaja. Telefon hitam putih macam ini, 2G!Baru ada line cikgu!Saya ada satu yang lama… cikgu boleh lah guna dahulu buat sementara waktu. Penting ini untuk berhubung dengan orang kampung! Risau mereka nanti, cikgu dah sampai ke belum? Keadaan cikgu di sini macammana? Ambil lah cikgu…,” kata guru besar sambil menghulurkan telefon bimbit Nokia 3310. Ada beberapa ikatan getah urat di telefon itu. Madiah mengangguk tanda faham. Telefon yang dihulurkan diambil. Rasa segan dibuang jauh-jauh. Dia ingin segera memberitahu ibunya tentang ketibaannya di sekolah dengan selamat.
 
“Patutlah iPhone 5G aku dari tadi tiada liputan talian. Rupanya telefon 2G sahaja,”. Madiah tersenyum sendirian. Hati Madiah berbunga saat melihat ibunya datang menghampiri ke katilnya. Impiannya hanya satu iaitu untuk segera keluar dari hospital dan pergi ke sekolah seperti biasa, mendidik anak-anak Orang Asli Pos Tenau Ulu Slim.
 
“Ah, betapa aku merindukan semua saat manis itu,” luah hati kecil Madiah.
 
Semangat juang Madiah masih tinggi, masih sama seperti mula-mula dia mendapat surat tawaran menjadi seorang guru. Walaupun kini dia terpaksa ‘berehat seketika’, setelah menerima surat cuti sakit selama setahun daripada Jabatan Pendidikan Negeri, dia tidak sabar untuk kembali bertugas. Madiah perlu mendapatkan rawatan intensif di hospital pakar neurologi di Kota Bharu.
 
Madiah ‘terpaksa’ mengucapkan selamat tinggal kepada semua warga Sekolah Kebangsaan Pos Tenau Ulu Slim kerana dia akan dipindahkan ke sekolah yang berdekatan dengan rumahnya di Kelantan selepas tamat tempoh cutinya nanti. Berat hatinya untuk melangkah pergi begitu sahaja tanpa bersemuka empat mata namun… apakan daya andai itu takdirnya.
 
Apa yang pasti, semangat patriotiknya tidak akan pernah luntur walau di mana dia ditempatkan, walaupun dia kini berkerusi roda, dia rela berbakti demi anak bangsa tercinta.

Ditulis oleh

Mohd Azmi Bin Yusoff
Penulis merupakan peserta dalam pertandingan penulisan sempena hari kemerdekaan dan hari Malaysia anjuran JPro dengan tema #teguhmembinanegara.

19 September 2022