JPro

BAGAIMANA LANGKAH PEMBENIHAN AWAN MENGHASILKAN HUJAN?

Ekoran insiden pembakaran terbuka besar-besaran yang berlaku di negara jiran pelbagai kesan sampingan yang berlaku termasuklah kesihatan sebahagian rakyat Malaysia terjejas dan ekosistem terganggu.

Berikutan hal ini, Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengambil inisiatif untuk melakukan Operasi Pembenihan Awan (OPA) iaitu salah satu langkah bagi mengatasi masalah jerebu dengan mengaktifkan penurunan hujan.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, keupayaan untuk membentuk titisan awan yang lebih besar daripada molekul wap air yang sedia ada memerlukan ejen buatan, Cloud Condensation Nuclei (CCN) atau Pembenihan Awan. CNN mempunyai ciri-ciri higroskopik yang membantu untuk menarik, menyerap dan mengekalkan wap air di atmosfera. Garam biasa atau natrium klorida adalah salah satu contoh ejen higroskopik.

Tujuan utama pembenihan awan adalah untuk meningkatkan keberkesanan proses mikrofizik awan yang terlibat dalam pembentukkan titisan air hujan daripada molekul wap air yang sedia ada. Selepas titisan awan terbentuk, ia perlu mengembangkan saiznya kira-kira satu juta kali ganda untuk menjadi titisan hujan.

Dalam usaha untuk ini berlaku, titisan awan akan melalui proses pelanggaran-tautan berganda (perlanggaran antara titisan yang berbeza saiz akan menyebabkan titisan yang lebih besar terbentuk). Proses di mana titisan awan berlanggar dan bertaut ini membebaskan haba pendam, yang seterusnya akan menggalakkan lagi proses perlanggaran dan tautan ini.

Titisan awan hanya boleh bertaut atau bergabung jika ianya mempunyai caj elektrik bertentangan; jika tidak, ia hanya akan menolak antara satu sama lain. Apabila titisan awan semakin berkembang dan menjadi lebih berat, ia mulai jatuh menerusi awan. Titisan yang lebih besar akan jatuh dengan lebih cepat dan pada masa yang sama mengumpul titisan yang lebih kecil semasa ianya jatuh, ini menyebabkan titisan menjadi semakin besar dengan keamatan yang lebih tinggi dan turun sebagai hujan.

Di antara langkah-langkah OPA yang telah disusun oleh Jabatan Meteorologi bagi mengawal jerebu ialah:

1. Merancang untuk mengadakan OPA atas keperluan untuk menangani masalah pembekalan sumber air untuk kegunaan domestik dan industri, pertanian dan mengurangkan kesan jerebu.

2. Menganalisa keadaan atmosfera bagi menentukan tempoh kesesuaian untuk melaksanakan OPA.

3. Larutan garam Natrium Klorida (200kg NaCl) dicampurkan dengan 1500 liter air untuk dimasukkan ke dalam satu tangki OPA menggunakan empat tangki.

4. Kesemua tangki dimasukkan ke dalam pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) C130H. Pesawat akan berlepas sekiranya jarak ketampakan sesuai (minimum 500 meter). Pesawat memasuki awan yang dipilih kebiasaannya pada ketinggian 1500 – 2500 meter dari permukaan bumi.

5. Pengesanan lokasi pembentukan awan kumulus menara dan proses semburan larutan garam dimulakan di kawasan tersebut.

6. Ia akan menggalakkan pembentukan titisan awan. Jika beratnya mencukupi ianya mampu turun sebagai hujan.

7. Kebiasaannya hujan akan turun di antara 30 – 60 minit selepas pembenihan awan dilakukan.

OPA telah dilancarkan bermula 19 September 2019 untuk menangani isu jerebu walaupun terdapat banyak cabaran untuk menghasilkan kesan yang positif, jerebu dilihat semakin kembali reda. Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah Majilis berkata, OPA hanya akan dilakukan mengikut atmosfera serta kadar kelembapan dalam udara yang sesuai.

“Sekiranya arah angin tidak berapa membantu untuk buat pembenihan awan, kita tidak akan laksanakan (operasi) sebab nanti ia tidak akan efektif”, katanya.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu kenyataan beliau pada 18 September 2019 di Bernama berkata kerajaan mempunyai rancangan untuk mewujudkan pelan jangka panjang bagi menangani jerebu rentas sempadan yang melanda negara ini setiap tahun namun turut memerlukan kerjasama negara lain termasuk Indonesia. Jerebu tidak boleh dianggap sebagai suatu perkara normal yang dijangka berlaku saban tahun. Jerebu bukan sahaja membahayakan kesihatan malah turut merencatkan aktiviti-aktiviti ekonomi, sosial dan urus tadbir negara.

 

Rujukan dan bacaan tambahan:

1. Astro Awani. Proses Operasi Pembenihan Awan. http://www.astroawani.com/video-malaysia/infografik-proses-operasi-pembenihan-awan-1809602

2. Jabatan Metereologi Malaysia. http://www.moh.gov.my/index.php/pages/view/773

3. Pejabat Perdana Menteri Malaysia. https://www.pmo.gov.my/ms/2019/09/jerebu-kerajaan-akan-bertindak-terhadap-syarikat-malaysia-yang-sebabkan-jerebu/

4. Astro Awani. Pembenihan Awan dilakukan di Kawasan Bertambah Buruk. https://www.google.com/amp/www.astroawani.com/berita-malaysia/pembenihan-awan-dilakukan-di-kawasan-bertambah-buruk-217517%3famp=1

Ditulis oleh

Maryam Musa
Kluster Sains Teknologi,
Jabatan Profesional Muda, DPPM
Penulis merupakan ahli Kluster Sains dan Teknologi (KST), Jabatan Profesional Muda (JPro), DPPM.
 

27 September 2019