JPro

BAGAIMANA ULAMA MENGEKANG KEMARAAN PENGARUH BRITISH DI KELANTAN

Peranan dominan ulama dan golongan alim dalam pentabdiran kesultanan Kelantan tidak boleh disangkal. Namun tidak ramai yang sedar akan kebijaksanaan dimainkan golongan ini dalam mengekang kemaraan pengaruh penjajah di negeri ini. Peranan mereka seolah-olah cuba dikecilkan.
Kelantan adalah negeri yang sangat berkait rapat dengan kerajaan payungannya yakni Pattani, sepanjang abad ke-15 sehingga abad 19 satu corak yang sama dapat diperhatikan iaitu golongan alim ulama merupakan antara faktor besar dalam mencorakkan warna politik Pattani-Kelantan.
 
Kejatuhan Pattani pada 1830 telah menyebabkan peranannya sebagai pusat kegiatan Islam mula diambil alih oleh Kelantan.
 
Kelantan mencapai tahap kemuncak dalam perkembangan Islam apabila bermulanya Dinasti Long Yunus pada abad ke-18. Long Yunus telah melantik para ulama memegang jawatan Muwain yakni pembantu. Meskipun ulama tidak lagi menjadi wakil seperti mana era Pattani-Kelantan, namun dari sudut perkembangan dan pengukuhan syiar Islam masih berjalan dengan berkesan.
 
Para ulama berkaliber yang terdidik di Pattani dilantik sebagai penasihat dan guru agama istana, melalui pengaruh ulama ini kedudukan Kelantan sebagai pusat keilmuan Islam mula berkembang dengan kemunculan sekolah-sekolah Pondok.
 
Yang paling utama berlaku proses pelaksanaan syariat serta pemerkasaan undang-undang menerusi usaha berikut:
 
i)Pengukuhan mahkamah syariah 
ii) Mewujudkan jawatan pentadbir agama, mufti dan kadi
iii) Pembentukan hubungan Sultan dengan ulama Makkah.
 
Inilah yang dikatakan sebagai zaman kemuncak perkembangan Islam di Kelantan,namun kedatangan British pada 1903 telah mengikis kedudukan undang-undang Islam apabila mahkamah syariah dipinggirkan dan undang-undang British dilaksanakan.
 
Tempoh pendudukan British dalam yang lama ini juga mula membawa kesan buruk kepada Kelantan. Kemunduran nilai dapat diperhatikan di Kota Bharu apabila maksiat mula berkembang. Aktiviti pelacuran judi, pusat hiburan berjalan dengan giat sehinggakan Kota Bharu mendapat jolokan Paris Of Malaya.
 
Namun dalam keadaan campur tangan British, hasil kebijaksanaan Sultan Muhamad IV dab Dato’ Menteri Che Hassan Mohd Salleh yang melantik ulama muda bernama Haji Nik Mahmud Nik Ismail sebagai Penolong Setia Usaha Sulit Sultan Kelantan berjaya mengimbangi kerosakan yang dibawa oleh Penasihat British waktu itu J.E Bishop.
 
Tahun 1911 – 1945 memperlihatkan kelahiran beberapa tokoh ulama dalam pentabdiran Kelantan seperti Tok Kenali, Dato Lela Nik Muda serta Dato Perdana Nik Mahmud selaku Perdana Menteri Kelantan. Antara kejayaan utama mereka adalah penubuhan Majlis Agama Islam Kelantan MAIK yang berperanan menguruskan hal ehwal Islam di Kelantan sekaligus menaikkan semula peranan ulama dalam negeri Kelantan.
 
Selain itu, Dato Perdana Nik Mahmud telah berperanan besar dalam pengukuhan institusi Islam seperti
 
i) meningkatkan pentadbiran masjid di seluruh negeri
ii) mengukuhkan pengurusan zakat
iii) Menubuhkan sekolah bawah MAIK
iv) Menubuhkan penerbit MAIK
v) Menjadikan Masjid Muhammadi sebagai pusat pendidikan tinggi Islam
vi) Menubuhkan Jamek Ismaili Merbau sebagai institusi bertaraf pengajian tinggi pertama di Malaya.
 
Peranan ulama dalam mengekang pengaruh penjajah juga dapat dilihat menerusi peranan Tok Kenali yang bertindak menerusi institusi pendidikan seperti Masjid Muhammadi dan Pondok Tok Kenali, hasilnya lahir ratusan pondok dan generasi pelapis ulama baharu.
 
Tok Kenali juga berusaha mengekang pengaruh penjajah melalui penubuhan Jamiyat Asriah institusi politik pertama di Kelantan iaitu pada 1915, penubuhan institusi ini yang berfokus kepada perbahasan isu umat Islam merintis penubuhan lebih 30 badan politik di Kelantan pada kemudiannya.
 
Alumni-alumni sekolah MAIK seperti Abdul Kadir Adabi, Maulana Abdullah Noh, As’ad Shukri Haji Muda menubuhkan badan-badan politik. Seperti Kelab Putera, Setiawan Belia, Dewan Bahasa Melayu dan Kelab Suara Muda.
 
Selain berjuang menerusi institusi pendidikan dan pergerakan intelektual penentangan secara bersenjata juga turut dipelopori ulama. Penentangan Tuan Guru Haji Hassan Munas (Tok Janggut) yang menyahut seruan jihad oleh Khilafah Turki Uthmaniah telah melakukan pemberontakan terhadap British pada Mei 1915. Dakwaan bahawa Tok Janggut menentang British kerana faktor kutipan cukai sebenarnya salah sama sekali, perkara ini dibuktikan oleh kajian Prof Dr Nik Anuar Nik Mahmud.
 
Gagasan sekularisme yang menjadi kerosakan utama dibawa British seterusnya mendoktrin pemisahan Islam dalam kehidupan seharian berjaya dikekang asbab usaha ulama di negeri Tanah Serendah Sekebun Bunga ini.
 
Ia dapat dilihat menerusi peranan Tok Kenali dalam menanam kesedaran politik Islam apabila keluaran pondok Tok Kenali menjadi pejuang kesedaran politik Islam dalam kalangan masyarakat. Maulana Abdullah Noh seorang ulama yang bertapak di Pasir Puteh, Machang dan Pasir Mas berjaya menjadikan ketiga-tiga kawasan ini tapak Kebangkitan politik Islam contohnya menerusi Hizbul Muslimin.
 
Golongan ulama juga berperanan menghidupkan biah agama dalam kehidupan masyarakat. Apa yang mereka ajarkan mereka buat sehingga menjadi ikutan masyarakat awam sepertimana dilakukan oleh Tok Kenali dan Maulana Abdullah Noh.
 
Meskipun Kelantan digasak dahsyat dengan campur tangan British dalam pentabdiran negeri namun usaha para alim ulama mengekang kemaraan mereka telah berjaya memastikan kedudukan Islam dan perkembangannya tidak malap bahkan institusi agama di Kelantan terus subur sehingga gelaran Serambi Mekah terus sinonim dengan Kelantan.
 
Sebagai generasi pewaris negara yang berdaulat kita sewajarnya mencontoh usaha gigih nenek moyang kita dalam berjuang melawan arus penjajahan. Jangan menyerah sebelum adanya usaha dari diri kita sendiri. Kini, penjajahan dalam bentuk alaf baru iaitu serangan pemikiran terus menular, maka menjadi tugas kita sebagai anak muda memastikan penjajahan dalam bentuk serangan pemikiran ini dapat kita lawan sehabisnya.
 
Sumber : Kelantan, Islam, Ulama dan Politik oleh Dr Mohd Fadli Ghani

Ditulis oleh

Ahmad Uthman Che Abd Aziz
Pelajar Perubatan,
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Penulis merupakan antara peserta pertandingan penulisan sempena hari kemerdekaan anjuran JPro dengan tema #IniBenderaKita.

1 September 2021