JPro

DENDENG NYET BERAPI KHAIRUL AMING. RnD SETAHUN, JUALAN 3 MINIT: SISI PANDANG SEORANG JURUTERA

Tahniah diucapkan kepada Khairul Aming (KA) kerana berjaya menjual produk keduanya Dendeng Nyet sebanyak 80,000 pek hanya dalam masa 3 minit 39 saat!

Sebelum tu saya bukanlah peminat tegar KA. Namun sebagai seorang jurutera, berasa terpanggil untuk berkongsi dari sudut teknikal apa yang boleh kita pelajari daripada bisnes beliau ini.

1. PRODUK LOKAL, PASARAN GLOBAL

KA asalnya orang Klate, kilang pun dibina di Kota Bharu, majoriti pekerjanya tentu berasal dari kalangan pekerja tempatan dan sudah pasti memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat disana.

Namun saya terfikir banyak kali kenapa dia menghasilkan produk yang bukannya berasal daripada negeri Cik Siti Wan Kembang.

Dalam dunia bisnes, menghasilkan produk baru yang diluar kebiasaan bukanlah sesuatu yang mudah. Malah ianya mampu menjadi berisiko sekiranya tersalah langkah.

Namun, keluar dari kelompok kebiasaan inilah yang perlu kita pelajari. KA membina personal brandingnya selama lapan (8) tahun lebih sebelum dia menjual produk, jadi sudah tentu dia mengambil kira pelbagai faktor. Tak hairanlah apabila dia menjual apa-apa produk, peminat akan tetap membelinya.

Beliau berkomunikasi secara ‘live’ tanpa menggunakan loghat Kelantan, menghasilkan video masakan yang high resolution, juga produk yang merentasi batas kenegerian. Semuanya itu kerana produk lokal yang pasarannya global.

2. TEMPOH MASAK RND

KA sangat memahami dalam menghasilkan sesuatu produk baru, sudah tentunya memerlukan tempoh masa yang lama untuk menjadikan produk barunya bukan sahaja sedap dan berkualiti, bahkan dapat menampung kapasiti yang diperlukan agar dapat memenuhi permintaan pelanggan.

Beliau yang berlatar belakang pendidikan kejuruteraan tentunya memberi kelebihan dengan memantau sendiri keadaaan mesin dan fasiliti kilangnya yang diperlukan, tanpa mengharapkan kepada third party ataupun orang luar.

Berbeza dengan segelintir owner atau influencer yang tergesa-gesa ingin hasilkan produk baru, kerana kejarkan sales, hasilnya menjadi separuh masak kerana kurangnya feasibility study atau pun risk management terhadap produk tersebut. Akhirnya produk kurang berkualiti dan dihujani dengan kecaman follower.

3. TRANSPARENSI

Sesuatu yang saya suka dengan KA ini ialah dia transparensi dengan segala macam bentuk dalam bisnes dia, baik dari segi sales, menjawab feedback customer, setup machine dan akhirnya proses hasilkan produk.

Kaedah sebegini agak berbeza dengan kaedah konvensional yang sedia ada sebelum ini dimana usahawan bersifat agak tertutup dalam soal isu dalam rumah tangga.

Hasilnya, masyarakat kini lebih ‘trust the process’ berbanding output semata mata kerana personal branding itu memberi kesan yang lebih berbanding product branding.

4. 4M – MAN, MACHINE, METHOD & MATERIALS

Dalam industri hasilkan sesuatu produk, sudah tentu owner perlu mengambil kira 4M analysis ini. Ia amatlah penting dan bagi saya KA sangat memahami dan mengaplikasi keempat-empat elemen ini.

Hal ini dapat kita lihat dalam video-video beliau dimana beliau sangat menjaga kebajikan pekerjanya dengan memberi bonus dan trip melancong ke tempat peranginan. Siap tempah kapal mewah lagi.

Beliau juga amat teliti dalam setiap mesin yang diubahsuai supaya mampu tampung kapasiti yang tinggi, dengan nilaian investment mencecah 2 juta. Bahan asas makanannya juga dipilih dan berkualiti.

Selain itu, dengan 2 buah kilang besar beroperasi sudah tentu perlu ada SOP tertentu dan menjaga amalan 5S agar kilang sentiasa dalam keadaan kemas dan bersih.

Cukuplah setakat itu komen saya yang tak seberapa ni, niatnya bukanlah nak promosi saudara Khairul Aming , namun berasa bangga ada anak muda sebegini dan kita masih memerlukan lebih ramai usahawan seperti ini dimasa akan datang.

Jangan dipandang pada sales dia pada 3 minit 39 saat semata-mata, tanpa usaha selama 1 tahun maka ia tak akan berhasil.
Salute!

Ditulis oleh

Faiz Razali
Jurutera Rekabentuk
Kluster Kejuruteraan
Jabatan Profesional Muda, DPPM
Penulis merupakan ahli Kluster Kejuruteraan JPro, Jabatan Profesional Muda (JPro) DPPM. Beliau juga seorang Jurutera Rekabentuk di salah sebuah syarikat swasta, sering berkongsi penulisan berkaitan dunia kejuruteraan dan dakwah di media sosial.

6 Februari 2024