JPro

DR. BURHANUDDIN AL HELMY : 'THE UNSUNG HERO' DALAM PETA SEJARAH KEMERDEKAAN (SIRI I)

Sering kali kita melihat namanya terpahat di jalan menuju ke Taman Tun Dr. Ismail, terpampang di pintu masuk kolej kediaman Universiti Kebangsaan Malaysia. Tak dilupa juga namanya juga digazetkan di salah sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan di Taiping, Perak.

Namun siapakah beliau ini? Apa jasa beliau sehingga dikenang sedemikian rupa? Dr. Buhanuddin al-Helmy pernah dianggap sebagai ‘Bapak Kebangsaan Melayu’ oleh Ahmad Boestamam. Atas semangat Nasionalis dan konsisten menentang Imperialis penjajah, dia dianggap sebagai golongan ‘berhaluan kiri sederhana’ kerana menolak kemerdekaan Tanah Melayu oleh British.

Dato’ Seri Dr. Burhanuddin bin Muhammad Nur al-Hilmi atau dikenali sebagai Burhanuddin al-Helmy dilahirkan di Cangkat Tualang, Perak pada tahun 1911.

Bapanya, Muhammad Nor berasal dari Batu Sangkar, Minangkabau, Sumatera, Indonesia dan ibunya pula seorang berketurunan Arab. Beliau mendapat Pendidikan awal di Sekolah Melayu Behrang Ulu.

Kemudian pada tahun 1924, beliau dihantar bersama dengan adiknya ke Sekolah Agama Sungai Jambu, di Sumatera Barat. Di situlah beliau secara tak langsung terlibat dengan pengaruh Serekat Islam.

Kemudian beliau meneruskan pendidikan di Tanah Melayu di Pondok Pulau Pisang, Jitra, Kedah. Namun sistem pembelajaran di pondok agak kurang serasi dengan beliau.

Sikapnya yang lebih kritis dan tidak terikat dengan sistem hafalan semata-mata menyebabkan beliau berpindah ke sekolah yang lebih bersistematik iaitu di Madrasah Al-Masyhur Al-Islamiah, Pulau Pinang.

Di peringkat lebih tinggi pula, beliau menerima biasiswa untuk menyambung pelajarannya di India dalam jurusan Sastera dan Falsafah. Di sana senario politik yang gawat ingin menuntut kemerdekaan telah menyuntik semangat beliau untuk kembali berjuang di tanah air.

Ketika tamat pengajiannya, beliau bertugas sebagai seorang guru di Sekolah Arab Al-Juned, Singapura. Ketika itu juga beliau telah menuntut ilmu perubatan homeopati daripada Doktor Rajah.

Pengkhususan beliau dalam bidang homeopati menyebabkan beliau memperoleh kelulusan Doctor of Naturopathy di London dan kemudiannya membuka klinik di Johor Bharu dan Singapura.

Keunikan beliau ialah selain merupakan ahli tafsir al-Quran dan Hadis yang ulung serta mahir dalam sastera Arab, beliau juga mampu menguasai 7 bahasa dunia, antaranya bahasa Melayu, Arab, Urdu, Belanda, Inggeris, Perancis dan Jerman.

Bersambung…

 

Sumber Rujukan:

[1] Menyingkap semangat Dr Burhanuddin, Muthanna Saari (25 Oktober 2019)
https://www.sinarharian.com.my/article/53964/LIFESTYLE/Sinar-Islam/Menyingkap-semangat-Dr-Burhanuddin

[2] Dr Burhanuddin tokoh berjasa dalam sejarah, Dr Riduan Mohamad Nor (11 July 2020)
https://harakahdaily.net/index.php/2020/07/11/dr-burhanuddin-tokoh-berjasa-dalam-sejarah/

[3] Buku “Burhanuddin Al-Helmy, Suatu Kemelut Politik”, Ramlah Adam terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, 2017.

[4] Buku “Tokoh-tokoh Gerakan Islam Abad Moden”, Zainudin Hashim & Riduan Mohamad Nor, terbitan Jundi Resources, January 2009.

 

Ditulis oleh

Ts. Faiz Razali,
AJK Kluster Kejuruteraan,
Jabatan Profesional Muda (JPro), DPPM
Penulis merupakan pemenang tempat kedua dalam pertandingan penulisan sempena hari kemerdekaan anjuran JPro dengan tema #IniBenderaKita. Penulis juga merupakan ahli Kluster Kejuruteraan JPro dan juga seorang jurutera rekabentuk di salah sebuah syarikat dalam bidang kejuruteraan automotif.

30 Ogos 2021