JPro

FORMULA UBAH, TEROKA, CIPTA, BERANI DAN HAD DALAM MENGAPLIKASIKAN NILAI KEMERDEKAAN DALAM KERJAYA

Kemerdekaan yang sering kita lewati saban tahun adakah dapat menyentuh hati-hati anak muda pada zaman kini? Apakah pengorbanan yang dapat kita berikan kepada negara agar menjadi simbol kemerdekaan dalam diri kita? Cukupkah sekadar kita hadir pada hari perarakan kemerdekaan sahaja dan berteriakan laungan “Merdeka”? Bagaimana pula dengan pekerjaan kita dan merdeka? Adakah kita masih terikat dengan corak pekerjaan yang lama? Iaitu mencari pekerjaan yang bertepatan dengan bidang pengajian semata-semata. 65 tahun negara merdeka, berapa banyak sumbangan kita kepada pembetukan ekosistem masyarakat yang aman dan harmoni?
 
Mari kita rungkaikan lima formula untuk merdeka dalam kerjaya iaitu ubah, teroka, cipta, berani dan had. Kebanjiran mahasiswa dan mahasiswi di pusat-pusat pengajian tinggi menyebabkan ramai daripada mereka yang terkandas dalam menempatkan diri di sektor pekerjaan. Anak muda kini masih tersepit di antara bidang pengajian dan kerjaya yang akan mereka perolehi. Sebagai contoh, anak muda yang menyambung pengajian dalam bidang pendidikan mengharapkan 100% pekerjaan dalam bidang pendidikan sehingga jika mereka tidap mendapat tawaran tersebut, mereka rasa tersepit dan masih menunggu tanpa mengambil peluang dalam bidang yang lain. Lantaran itu, bagi menjadi anak muda yang berjiwa merdeka kita haruslah mengubah pemikiran bahawa menyambung pengajian di institusi pengajian adalah satu proses menimba seberapa banyak ilmu dan pilihan kerjaya adalah berdasarkan keberanian kita dalam menceburi mana-mana sektor kerjaya yang memberi manfaat kepada negara khususnya. Para graduan sekarang perlulah menjurus kepada keberhasilan tenaga kerja yang kompeten, mahir dan bersedia dalam menceburi apa-apa bidang.
 
Seterusnya, kita hendaklah sentiasa meneroka pelbagai bidang untuk memenuhi keperluan pembangunan negara yang merdeka. Sebagai contoh, Ketika pandemik Covid-19 melanda dunia, kerajaan Malaysia terpaksa menimport vaksin daripada negara lain kerana negara kita belum menghasilkan vaksin sendiri. Kesannya, pelbagai persepsi dan persoalan dalam kalangan masyarakat kita berkenaan status halal vaksin tersebut, kesan sampingan dan sebagainya. Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, langkah penghasilan vaksin perlu menjalani proses penyelidikan dan pembangunan (R&D), kajian praklinikal, kajian klinikal dan pengilangan. Oleh itu, siapakah yang akan menjalankan semua langkah penghasilan tersebut jika bukan dalam kalangan anak muda yang berusaha bersungguh-sungguh untuk mengkomersialkan vaksin buatan negara sendiri tanpa mengharapkan negara lain dan sebagai persiapan untuk menghadapi krisis global yang akan datang.
 
Berani mencipta peluang pekerjaan sendiri sangat berkait rapat dengan kemerdekaan dalam memilih kerjaya seseorang. Memilih untuk tidak makan gaji dan waktu kerja yang terikat, bidang keusahawanan telah menjadi pilihan anak muda sekarang. Berdasarkan undian atas talian yang dijalankan Pusat Penyelidikan Poll UCSI pada 20 hingga 30 Julai 2020 lalu mendapati sebanyak 48 peratus daripada 858 responden bersetuju bahawa kehilangan pekerjaan adalah peluang untuk mereka berani bekerja sendiri. Pandemik yang melanda negera kita telah menyebabkan banyak sektor terpaksa “gulung tikar”. Ekoran itu Pandemik ini menjadi titik permulaan bagi ramai orang yang kehilangan pekerjaan dengan memberanikan diri menceburi pelbagai bidang perniagaan. Berdasarkan undian atas talian yang dijalankan Pusat Penyelidikan Poll UCSI pada 20 hingga 30 Julai 2020 lalu mendapati sebanyak 48 peratus daripada 858 responden bersetuju bahawa kehilangan pekerjaan adalah peluang untuk mereka berani bekerja sendiri. Strategi digital kini telah menjadi keutamaan dalam perniagaan kerana keupayaannya untuk menyampaikan maklumat produk, promosi dan pemasaran sesuatu produk dengan cepat. Oleh itu, tidak hairanlah ramai usahawan kini telah berjaya pasca pandemik kerana berjaya menguasai perniagaan di atas talian.
 
Intigriti dan etika dalam bekerja asas dalam sesebuah kerjaya terutama untuk jiwa yang merdeka. Intigriti dalam kaca mata Islam bermaksud sesuatu yang menuntut seseorang pekerja supaya sentiasa berwaspada dan bertanggungjawab ke atas apa yang dilakukan atau dibelanjakan kerana mereka akan disoal dan diperiksa bukan sekadar di dunia malahan di hari pembalasan. Antara halangan dan cabaran dalam mencapai intigriti adalah rasuah, khianat, pecah amanah, mengingkari janji dan berbohong. Jika kita telah mendapat kerjaya yang diimpikan, kita hendaklah menerapkan intigriti dan etika kerja dan berani untuk menolak perkara-perkara yang bertentangan dengan nilai-nilai Islam itu sendiri. Budayakan “Islam is the way of Life” daripada sekecil-kecil perkara sehingga kepada sebesar-besar perkara.Tidak dinafikan ada segelintir pekerja yang menggunakan waktu bekerja untuk keluar bersantai atau membeli belah. Bebaskanlah diri kita daripada sikap yang dicela semasa bekerja. Justeru, kefahaman, penghayatan dan kesedaran kepada nilai intigriti yang perlu diterapkan supaya dapat difahami secara keseluruhannnya.
 
Akhir sekali, bagi memerdekaan kerjaya kita, libatkanlah diri kita dalam komuniti masyarakat. Jangan kita hadkan bidang kerja kita dalam urusan pekerjaan sahaja. Masyarakat sekeliling adalah tanggungjawab bersama, kebersamaan kita dalam masyarakat dapat memupuk sikap perpaduan tidak mengira agama, bangsa dan fahaman politik. Sebagai contoh, banjir yang telah melanda Shah Alam baru-baru ini, ramai aktivis yang turun padang bagi menghulurkan bantuan. Mereka terdiri daripada pelbagai latar belakang pekerjaan yang hadir Bersama-sama berganding bahu . Kisah “Unsung Hero” Abang Viva atau nama sebenarnya Azwan Omar yang bekerja sebagai operator mesin sanggup memohon cuti kecemasan daripada majikannya demi menjalankan misi menyelamatkan mangsa banjir di Shah Alam. Walaupun bekerja sebagai operator mesin tetapi beliau mempunya jiwa yang besar untuk membantu orang yang dalam kesusahan tanpa mengira latar belakang. Begitulah contoh figura yang tidak mengehadkan kehidupannya bukan sekadar kerjaya semata-mata tetapi melibatkan juga diri dalam aktiviti masyarakat.
 
Bagi penutup kalam ini, marilah kita laungkan kalimah “Merdeka” dengan jiwa yang bersemangat pada 31 Ogos nanti. Patriotisme adalah ejen sosialisasi yang berkesan bagi mengekalkan kemerdekaan pada masa yang akan datang. Bebaskanlah diri kita untuk mendapat kerjaya yang diimpikan dan pada masa yang sama mencabarkan diri untuk mencipta peluang kerjaya sendiri. Merdekakan pemikiran dan keluarlah dari zon selesa. Tuntasnya di sini, semua rakyat Malaysia terutama anak muda pada masa kini adalah tonggak utama dan tulang belakang dalam memastikan negara kita agar terus merdeka dan berusaha menepis segala ancaman dari dunia luar. Seperti perumpamaan “sudah terhantuk baru terngadah” kita haruslah bersiap sedia dalam memenuhi keperluan segala sektor dalam negara kita. Semoga kita semua dapat menyumbangkan sepenuh tenaga kepada negara dan agama dan menjadi anak muda yang cekal dan hati yang ikhlas dalam membentuk generasi yang akan datang.
 
Rujukan :
1.Sinar Harian 20 Sept 2020.
2. Https://www/buletinfm.audio 24 Dis 2021

Ditulis oleh

Siti Sapiah binti Hudri
Penulis merupakan peserta dalam pertandingan penulisan sempena hari kemerdekaan dan hari Malaysia anjuran JPro dengan tema #teguhmembinanegara.

14 Ogos 2022