JPro

GENERASI ISLAM YANG MERDEKA

Di dalam lipatan sejarah, negara kita pernah dijajah berkali-kali. Tempoh penjajahan yang berlaku bukan sekejap akan tetapi memakan masa ratusan tahun. 446 tahun kita dijajah oleh kuasa asing, bermula dengan penaklukan Portugis ke atas Kerajaan Islam Melayu Melaka sehinggalah ke British yang pada akhirnya bersetuju untuk menyerahkan Tanah Melayu kepada rakyatnya untuk ditadbir dan memerintah.
 
Kemerdekaan dan kebebasan yang kita nikmati dan kecapi sehingga hari ini bukanlah dengan nilaian percuma. Berapa banyak sudah darah merah yang sudah mengalir di bumi bertuah ini, demi kesenangan kita kini? Sudah berapa banyak juga harta dan wang yang sudah dipertaruhkan untuk memenangi sebuah Kemerdekaan? Berapa ramai sudah Pahlawan yang gugur dalam perjuangan ini untuk bebas dari belenggu penjajah? Berapa banyak pula air mata yang telah mengalir demi kecintaan mereka terhadap tanah air kita? Cuba kita renung dan fikir sedalamnya.
 
Berkat perjuangan, kegigihan dan kesatuan nenek moyang kitalah, nikmat kebebasan dan kemerdekaan hari ini turut sama kita kecapi. Kita warga generasi muda perlu bersyukur dan berbangga dengan pencapaian generasi terdahulu demi memerdekaan Tanah Melayu daripada penjajah. Sewajarnya kita generasi hari ini, perlu memanfaatkan setiap inci nikmat kebebasan dan kemerdekaan ini untuk diisi dengan agenda pembangunan modal insan,integriti dalam pentadbiran, Pendidikan holistik, sistem ekonomi islam dan sebagainya. Usah biarkan usaha dan pengorbanan “Pahlawan” terdahulu menjadi nukilan di buku-buku sejarah semata. Generasi kinilah yang mencorak masa depan sesebuah negara.
 
Tidak dapat dinafikan, tugas dan peranan individu serta masyarakat hari ini makin menggunung cabarannya. Pelbagai aliran baru muncul di arus perdana menjadikan setiap daripada kita kian tergugat dengan peredaran zaman ini. Maka perlu untuk kita menyiapkan para generasi muda hari ini dengan sebaiknya. Antara yang terlibat untuk memainkan peranan besar dan penting adalah para pendidik.
 
Generasi hari ini, khasnya generasi muda perlu untuk diperbetulkan konsep dan fahaman tentang erti sebenar kemerdekaan dan kebebasan. Konotasi Merdeka yang kita fahami hari ini terlalu jauh tersasar dari maknanya yang sebenar. Merdeka bukan beerti kita bebas, bebas pula bukan beerti kita boleh berbuat sesuka hati dalam kehidupan kita. Di sinilah bukti besar tetang peri pentingnya tugas warga pendidik untuk mengatasi kemelut yang melanda generasi muda kini. Sayyidina Ali r.a pernah berpesan; Generasi hari ini adalah cerminan kepimpinan masa hadapan sesebuah negara. Generasi muda perlu mempersiap diri untuk mengisi kemerdekaan dan memaknai erti sebenar sebuah kebebasan.
 
Hari ini kita melihat, bagaimana anak-anak muda begitu taksub mengagungkan budaya dan fahaman-fahaman isme yang secara jelasnya bercanggah dengan panutan kita. Ramai yang mulai hilang nilai-nilai moral dalam kehidupan serta goyah jati diri. Meninggalkan adab dan adat yang menjadi identiti bangsa bertuhan. Kecanduan generasi muda terhadap media sosial, teknolgi dan lain-lain menyebabkan mereka mudah terdedah dengan fahaman-fahaman yang tidak jelas dan memesongkan. Ini merupakan salah satu penjajahan milenia yang perlu untuk kita perangi sehabis daya. Penjahan minda dan penjarahan akal inilah yang sukar untuk dielakkan oleh generasi hari ini.
 
Maka benarlah, tugas dan peranan yang dipikul di pundak warga pendidik amatlah besar dalam mendepani kemelut yang melanda global masa kini. Peri pentingnya untuk para pendidik mengulang ingat tentang kebenaran sejarah yang cuba diluputkan dalam ingatan anak bangsa kita. Usaha sama untuk mempergiat dan mempertahan sejarah perlu dilaksanakan di setiap peringkat Pendidikan. Bermula di Pendidikan Rendah, tinggi dan tertinggi. Kita perlu menyemai dan membaja generasi hari ini dengan kebenaran sejarah agar mereka lebih menghargai dan memaknai erti sebenar kebebasan, perjuangan dan kemerdekaan.
 
Kerajaan dan badan bukan kerajaan perlu memainkan peranan utama untuk terus mengorak langkah dan melaksanakan anjakan paragdigma nikmat kebebasan hari ini dapat dikekalkan untuk generasi akan datang. Perkasa program yang boleh memperkukukuh jati diri anak muda, supaya semangat patriotik dapat disemai identiti bangsa dan agama terus terpelihara.
 
Teringat penulis pada satu program yang pernah dilaksanakan oleh kerajaan pada suatu ketika dulu, Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang menurut penulis sangat baik dan berkesan untuk menjadi salah satu wadah pemantapan jati diri dalam kalangan generasi muda. Program seperti ini juga mampu untuk mengelakkan para belia untuk terlibat dalam gejala yang tidak sihat malah dapat menambah keyakinan diri, kesetian kepada negara dan kepatuhan terhadap undang-undang negara. Tun Mahathir Muhamad pernah berpesan tugas kita adalah menyediakanmasa depan yang terbaik untuk remaja kerana mengisi kemerdekaan itu lebih sulit daripada menuntutnya.
 
Namun demikian yang sangat ditakuti masa kini adalah generasi yang semakin jauh dari agama. Amalan-amalan kerohanian yang dulunya suci dan tidak terkait dengan anasir luar telah mula dicemari oleh fahaman liberal, sekularisme dan atheism yang menjadikan agama hanyalah terpakai dalam situasi tertentu sahaja. Perkara ini menjadikan generasi hari ini beranggapan bahawa agama hanyalah sekadar simbol kerohanian sahaja. Dilaksanakan atau ditinggalkan tidaklah memberi apa-apa kebaikan dan mudarat bagi penganutnya. Komposisi intelektual dan kerohanian perlu dilestarikan di dalam sistem pendidikan rendah mahupun tinggi agar ‘Output’ yang dilahirkan suatu hari nanti bukanlah sebuah mesin tanpa rohani semata-mata.
 
Akhirnya, tugas warga pendidik masa kini adalah dengan menekuni anak bangsa dengan kepentingan mencintai ilmu. Konsep pembelajaran sepanjang hayat usah dicanang sebagai slogan intelek semata, pembudayaan dan pemerkasaan ilmu perlu diberi perhatian khusus. Hal ini supaya kita bukan sehaja melahirkan golongan intelektual yang kreatif malah kritis terhadap permasalah-permasalah baru yang semakin mencabar di samping melatih generasi mudah untuk menghadapi satu proses meningkatkan IQ dan EQ yang tinggi agar tidak mudah terpengaruh dengan ancaman-ancaman yang merosakan agama, bangsa dan negara kita sendiri.
 
Beberapa pesan ringkas yang menarik untuk dikongsi, Ibnu Umar berkata:
 
“Didiklah anakmu dengan pendidikan adab yang baik, kerana sesungguhnya kelak kamu akan ditanya tentang anakmu; Bagaimana dahulu kamu mendidiknya, dan apa yang kamu ajarkan kepada mereka? Begitu pula anakmu, kelak ia akan ditanya tentang bakti dan ketaatannya kepadamu”
 
Begitu juga pesan Luqman al-Hakim:
 
“Sesungguhnya kehidupan kita ibarat sebuah kapal yang belayar di lautan dan telah ramai yang karam di dalamnya, belayarlah dengan kapal Taqwa, muatannya adalah Iman sedang layarnya adalah Tawakal kepada Allah S.W.T. Nescaya kamu tidak akan karam di dalamnya”

Ditulis oleh

Mohammad Fathi Yakan Bin Yahya
Penulis merupakan pemenang saguhati dalam pertandingan penulisan sempena hari kemerdekaan anjuran JPro dengan tema #teguhmembinanegara.

14 September 2022