JPro

GENERASI SIFAR PEROKOK YANG TERKUBUR?

1. Masih segar dalam ingatan rakyat Malaysia khususnya petugas kesihatan akan peristiwa keramat pengecualian cecair vape dan nikotin daripada senarai Akta Racun 1952. (1)
 
2. Tindakan Menteri Kesihatan, YBM Dr Zaliha ini telah mendapat kritikan yang sangat hebat daripada pelbagai kumpulan dan NGO berkaitan kesihatan dan perubatan termasuklah Persatuan Perubatan Malaysia (MMA). Tindakbalas ini sudah boleh dijangkakan memandangkan tindakan KKM ini dilihat telah membuka ‘flood gate’ besar dalam industri tembakau dan vape negara. (2)
 
3. YBM Zaliha dan pasukan KKM telah memberikan justifikasi berkenaan tindakan ini. Menurut mereka, tindakan pengecualian ini bertujuan bagi memberi ruang untuk vape dicukaikan. Kawalan vape pula akan dikuatkuasakan menerusi akta tembakau yang dikatakan lebih holistik. (3)
 
4. RUU yang lebih holistik ini dilaporkan telah dilengkapkan dengan 23 cadangan pindaan terdahulu serta lima cadangan baharu yang turut merangkumi rokok elektronik iaitu vape. Inilah yang menjadi sumber keyakinan di sebalik tindakan berani KKM mengecualikan nikotin dari senarai racun. Namun, yang menjadi masalah besar adalah sehingga saat ini Undang-Undang (RUU) yang dikatakan lebih baik dan holistik itu masih gagal dibentangkan di parlimen apatah lagi diluluskan.
 
5. KKM sepatutnya melaksanakan pengecualian nikotin daripada senarai racun sekurang-kurangnya dalam tempoh yang dekat dengan kelulusan akta tembakau yang baharu. Apa yang berlaku sekarang adalah situasi yang begitu canggung apabila pengecualian diberikan tetapi tiada langsung kawalan terhadap jualan vape ini.
 
6. Kesannya dapat kita perhatikan sendiri dengan mata kita. Kedai vape rancak berkembang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Rata-rata yang membuka perusahaan vape ini pula sudah tentu anak muda Melayu Islam.
 
7. Perusahaan vape mempunyai potensi ekonomi besar di negara kita. Barangkali sebab itu YB Menteri Kesihatan begitu teruja melaksanakan pengecualian nikotin bagi tujuan percukaian ‘berlesen’ terhadap industri ini. Nilai industri runcit vape kini mencatatkan perkembangan yang amat memberansangkan. Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM) melaporkan pada Ogos 2023, nilai runcit industri ini telah meningkat sebanyak 53% bersamaan RM3.48 bilion berbanding RM2.27 bilion pada 2019. Ini jumlah yang cukup besar.(4)
 
8. Namun begitu, janganlah disebabkan keterujaan ini masa hadapan generasi muda kita dipertaruhkan. Ketagihan dan kesan kesihatan daripada gejala vape bukanlah sembarangan. Antara komplikasi utama daripada gejala vape adalah E-Cigarette or Vaping Product Use-Associated Lung Injury (EVALI) yang memerlukan purata kos rawatan mencecah RM150,000 bagi tempoh 12 hari kemasukan ke wad.(5).
9. Lagi menggerunkan implikasi negatif sebegini boleh melanda kumpulan kanak-kanak sekolah rendah kerana pengecualian nikotin daripada senarai racun racun membolehkan mana-mana vape yang mengandungi nikotin boleh dijual secara terbuka dan sah kepada sesiapa sahaja termasuk kanak-kanak.(6)
 
10. Sudah pasti langkah melaksanakan dasar yang tidak populis dan boleh dikatakan tidak menguntungkan ekonomi sukar dilaksanakan. Namun itulah realiti sebagai kerajaan dan pihak berkuasa yang bertanggungjawab. Dalam konteks industri tembakau dan rokok elektronik ini, unjuran beban sistem kesihatan negara dan ekonomi jangka masa panjang ternyata tidak menyebelahi industri ini. Maka apakah patut keuntungan jangka masa pendek menjadi fokus kita?
 
11. Sehingga kini usaha mewujudkan generasi sifar perokok kelihatan terus malap. Berita terakhir yang kita dengar berkenaan RUU ini adalah ia telah dibawa semula untuk penilaian oleh Jawatankuasa Pilihan Khas untuk perincian lebih lanjut. Apa yang hendak diperincikan lebih lanjut itu tidaklah pula dimaklumkan. Kita doakan agar usaha murni KKM yang telah sekian lama menyasarkan generasi sifar perokok menerusi pelbagai pelan strategik sejak bertahun lamanya dapat direalisasikan jua akhirnya.

Ditulis oleh

Zahiruddin Zaki,
Kluster Kesihatan,
Jabatan Profesional Muda, DPPM
Penulis merupakan ahli Kluster Kesihatan, JPro dan juga pengamal kesihatan Persekitaran.

13 September 2023