JPro

HARI KERJA SOSIAL SEDUNIA 2023 - ‘MENGHORMATI KEPELBAGAIAN MELALUI TINDAKAN SOSIAL BERSAMA’.

Hari Kerja Sosial Sedunia tahun ini akan disambut pada 21 Mac 2023 dengan tema ‘‘Menghormati Kepelbagaian Melalui Tindakan Sosial Bersama”.
Hari Kerja Sosial Sedunia disambut dengan tujuan:
 
1. Mengiktiraf sumbangan dan dedikasi pekerja sosial yang memperjuangkan hak kemanusian dan kesejahteraan manusia.
 
2. Meningkatkan kesedaran mengenai kerja sosial dalam masyarakat
 
3. Memperkenalkan tugas dan tanggungjawab pekerja sosial
 
Apakah yang dimaksudkan dengan kerja sosial?
 
Kerja sosial merupakan aktiviti profesional untuk menolong individu, kumpulan atau komuniti untuk meningkatkan atau memulihkan keupayaan mereka bagi mencapai kefungsian sosial dan seterusnya mampu mencapai matlamat masing-masing.
 
Kerja sosial berbeza dengan kerja sukarela mahupun kebajikan sosial. Sukarelawan bermaksud melakukan aktiviti menolong individu yang memerlukan tanpa terikat dengan prinsip, kaedah dan proses kerja. Manakala kebajikan sosial pula bermaksud suatu pemberian dalam bentuk kewangan, makanan atau pakaian kepada individu yang kurang bernasib baik.
 
Kerja sosial melibatkan kelayakan akademik dan merupakan satu kerjaya.
 
Di Malaysia kursus-kursus berkaitan kerja sosial di peringkat Diploma dan Ijazah Pertama yang ditawarkan oleh universiti awam dan swasta seperti pengurusan kerja sosial, psikologi kanak-kanak dan keluarga, pendidikan awal kanak-kanak dan sains sosial dengan pengkhususan dalam pengajian kerja sosial dan pembangunan manusia sebagai kelayakan akademik bagi Gred S29 atau S41.
 
Sehingga 11 Mac 2022, Jabatan Kebajikan Masyarakat mempunyai seramai 3,791 orang pegawai Skim Sosial (Skim S) yang menjalankan praktis kerja sosial.
 
Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKM) merupakan sebuah agensi sosial awam di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang ditubuhkan semenjak tahun 1946 lagi bagi tujuan menjaga kesejahteraan hidup masyarakat. JKM menyediakan pelbagai bentuk bantuan sosial dan perkhidmatan sosial kepada kumpulan sasar jabatan. Salah satu daripada perkhidmatan sosial yang disediakan oleh JKM adalah perkhidmatan kerja sosial. Khidmat kerja sosial ini disampaikan secara langsung oleh Pegawai-pegawai daripada JKM, yang terdiri daripada Pegawai Pembangunan Masyarakat Gred 41 hingga 54, Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat Gred 29 hingga 38, dan Pembantu Pembangunan Masyarakat Gred 19 hingga 26. Ketiga-tiga kategori perjawatan pembangunan masyarakat ini menyampaikan praktis kerja sosial dengan individu dan keluarga, praktis kerja sosial kumpulan dan praktis kerja sosial komuniti kepada pelbagai jenis klien JKM.
 
Selain JKM, Institut Sosial Malaysia (ISM) turut berperanan dalam pembangunan sosial negara. ISM merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang bertaraf Institut Latihan Awam. ISM berperanan sebagai sebuah pusat kecemerlangan dalam bidang kerja sosial dan pembangunan sosial yang mula beroperasi pada tahun 2002, Sebagai think tank kepada pembangunan sosial negara, ISM bukan hanya menawarkan program latihan yang berkualiti, tetapi turut menjalankan penyelidikan dan menghasilkan penerbitan yang terkini yang mengetengahkan isu-isu sosial sejagat.
 

Ditulis oleh

Ahmad Fathi bin Yusof
Timbalan Ketua Kluster Sains Sosial
Jabatan Profesional Muda, DPPM
Penulis merupakan ahli Kluster Sains Sosial dan merupakan Penolong Pegawai Tadbir, Institut Pemikiran Tok Guru (IPTG)

21 Mac 2023