JPro

HUJAH BALAS TULISAN FAIZ FADZIL MENGENAI ULASAN | TUJUH KEGAGALAN PAS DI TIGA NEGERI

1. Saya tidak pasti sejauh manakah penasihat sdr. Faiz Fadzil menasihati beliau untuk mengambil angka-angka tertentu bagi tujuan merendahkan kemampuan pihak lawan, sedangkan pada masa yang sama banyak bukti jelas menunjukkan sebaliknya.

 

2. Cukup untuk menjawab hanya beberapa perkara sahaja bagi menunjukkan bahawa cara sdr. Faiz melihat angka-angka ini bukan sahaja meleset, bahkan terpesong daripada maksud yang sebenar.

 

3. Pertama, sumbangan saiz ekonomi tiga negeri di bawah PAS kepada KDNK Malaysia kecil berbanding saiz negeri iaitu Kedah sebanyak 3.4%, Kelantan (1.8%) dan Terengganu (2.5%). Kesimpulan sdr. Faiz, PAS gagal mengembangkan ekonomi negeri.

Ahli dan pakar ekonomi di seluruh dunia menilai prestasi ekonomi melalui perkembangan KDNK yang dinilai pada setiap tahun, bukan peratus sumbangan KDNK sesebuah negara kepada dunia ataupun benua.

Lihat sahaja kepada laporan, pandangan dan jangkaan yang dikeluarkan secara berkala oleh institusi antarabangsa seperti Bank Dunia, IMF dan sebagainya. Apa yang menjadi fokus mereka adalah peratus PERTUMBUHAN KDNK, bukannya SUMBANGAN KDNK sesebuah negara.

Jika dilihat kepada laporan DOSM sekalipun, sumbangan KDNK setiap negeri di Malaysia adalah KONSISTEN untuk suatu jangka masa yang lama. Contoh seperti beberapa tahun terakhir (2015-2020), sejauh manakah peratusan sumbangan ini meningkat walaupun bagi negeri Selangor dan Pulau Pinang?

                 2015   2016   2017   2018   2019   2020
Selangor  22.8    22.9    23.2     23.7    24.2    24.3
P. Pinang   6.6      6.7       6.7       6.7      6.6       6.9
Johor          9.3      9.5       9.5       9.6      9.4       9.5

Jika sifir yang sama digunakan, maka semua pentadbiran setiap negeri di Malaysia tidak pandai menguruskan ekonomi kerana peratusan ini tidak berkembang walaupun SATU PERATUS.

Sepatutnya, apa yang menjadi ukuran prestasi ekonomi setiap negeri adalah berpandukan kepada PERKEMBANGAN PERATUSAN KDNK. Adakah ia menarik atau menurun. Contohnya bagi tiga negeri ini:

                2018  2019  2020  2021  2022
Kedah        4.0      4.5    -1.8     3.2      7.2
Kelantan    2.7      5.5    -1.2     2.4      4.3
Terengganu 2.5   3.3    -5.7     3.7      5.9

Kenapa angka-angka ini tidak digunakan oleh Faiz? Kerana beliau tahu, angka-angka ini adalah bukti jelas betapa pengurusan ekonomi negeri di bawah PAS menunjukkan tren peningkatan yang signifikan saban tahun walaupun tahun 2020 semua pihak terkesan akibat pandemik.

 

4. Kedua, berkenaan kemiskinan mutlak. Menurut Faiz, PAS gagal membasmi kemiskinan apabila Kedah dan Kelantan mencatatkan rekod Kadar Kemiskinan Mutlak antara yang tertinggi di Malaysia masing-masing dengan 8.8% dan 12.4%.

Angka ini merupakan statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Ekonomi yang menujukkan data pada tahun 2019. Jika lihat secara lebih terperinci, Kadar Kemiskinan Mutlak bagi Kedah dan Kelantan pada tahun 2016 masing-masing adalah pada kadar 14.3% dan 19.5%.

Ini bermakna, dalam tempoh 4 tahun (2016-2019), Kedah berjaya menurunkan Kadar Kemiskinan Mutlak sebanyak 5.5% manakala Kelantan berjaya menurunkannya sebanyak 7.1%. Apa yang lebih menarik, dalam tempoh yang sama, Selangor berjaya menaikkan kadar kemiskinan mutlak daripada 0.8% (2016) kepada 1.2% (2019). Inilah ‘kejayaan’ sebenar bagi Faiz. Tahniah!

Faiz juga perlu tahu bahawa selain Kadar Kemiskinan Mutlak, kita juga ada Kadar Kemiskinan Relatif. Apakah bezanya?

Kemiskinan mutlak adalah keadaan di mana pendapatan isi rumah tidak mencukupi untuk menampung keperluan hidup asas iaitu makanan, perlindungan dan pakaian. Keadaan ini TIDAK BERUBAH mengikut pertumbuhan ekonomi. Kemiskinan relatif pula dikira berdasarkan pendapatan penengah isi rumah dan mengambil kira peningkatan taraf hidup yang meningkat mengikut pertumbuhan ekonomi. Justeru, kemiskinan relatif LEBIH RELEVAN untuk menjawab persoalan kos sara hidup dan perbezaan jurang kekayaan antara golongan kaya dan miskin di sesebuah tempat.

Statistik daripada Kementerian Ekonomi menunjukkan Kadar Kemiskinan Relatif bagi Kedah, Kelantan dan Terengganu mencatatkan angka yang rendah bagi tahun 2019 masing-masing pada kadar 10.9%, 9.9% dan 8.2%. Lebih menarik, angka ini menunjukkan penurunan yang signifikan berbanding tahun 2016 dengan Kedah mencatatkan kadar 15.9%, Kelantan (12.1%) dan Terengganu (10.2%).

Apa yang lebih mengejutkan, Selangor dan Pulau Pinang yang dibangga-bangga sebagai negeri yang kaya mempunyai Kadar Kemiskinan Relatif antara yang tertinggi di Malaysia apabila Selangor mencatatkan kadar sebanyak 15.3% manakala Pulau Pinang pula sebanyak 13.2%. Angka ini menunjukkan peningkatan yang ketara berbanding tahun 2016 apabila masing-masing mencatatkan Kadar Kemiskinan Relatif sebanyak 10.7% dan 6.6%.

Sekali lagi berdasarkan sifir Faiz, agenda kemiskinan bukanlah agenda PAS kerana jika ia adalah PAS, sudah pasti ketiga-tiga negeri ini akan berjaya menoktahkan kemiskinan!!

 

5. Cukup dulu beberapa perkara ini untuk menjawab tulisan sdr Faiz Fadzil. Suka untuk diakhiri tulisan balas ini dengan kata-kata Imam As-Syafie sebagai pedoman hidup:

“Aku mampu berhujah dengan 10 orang yang berilmu, namun aku pasti kalah dengan seorang yang jahil. Kerana orang yang jahil itu tidak pernah faham lamdasan ilmu”

“Sikap diam terhadap orang bodoh adalah suatu kemuliaan. Begitu juga diam untuk menjaga kehormatan adalah suatu kebaikan”.

 

Sumber rujukan:

1. https://www.gfmag.com/global-data/country-data/malaysia-gdp-country-report
2. https://www.worldeconomics.com/Share-of-Global-GDP/Malaysia.aspx
3. https://www.weforum.org/agenda/2022/01/global-economic-outlook-5-charts-world-bank/
4. https://www.ekonomi.gov.my/ms/statistik-sosioekonomi/pendapatan-isi-rumah-kemiskinan-dan-perbelanjaan-isi-rumah

Ditulis oleh

Asyraf bin Salleh
Ahli Kluster Ekonomi dan Kewangan,
Jabatan Profesional Muda, DPPM
Penulis mempunyai Ijazah Sarjana di dalam bidang Ekonomi dan merupakan seorang pegawai penyelidik yang berkhidmat di Terengganu Darul Iman.

26 Julai 2023