JPro

IMPAK PKP KEPADA PERKHIDMATAN PENGHANTARAN

Perkhidmatan penghantaran barangan atau kurir tidak asing lagi dalam kehidupan masyarakat. Kurir adalah utusan atau orang suruhan yg menyampaikan berita dan lain-lain dgn cepat (Dewan Bahasa dan Pustaka, 2005). Mereka menghantar barang dengan berjalan kaki, menaiki basikal, motosikal, kenderaan, trak penghantaran, atau pengangkutan awam.

Pengenalan normal baharu dalam masyarakat akibat COVID-19 telah membuka lembaran baru bagi kegiatan ekonomi dalam negara. Perkhidmatan penghantaran menjadi lebih penting bagi menghubungkan antara satu peniaga ke peniaga yang lain, atau menghubungkan antara peniaga dengan pelanggan.

Impak Positif:

1. Mengurangkan risiko penyebaran penyebaran COVID-19.

Salah satu daripada mesej penting yang disampaikan oleh kerajaan adalah supaya semua rakyat kekal di rumah dan kurangkan aktiviti luar. Hal ini adalah sebab COVID-19 sebagai penyakit baru yang cepat merebak dan mudah berjangkit. Maka, penggunaan perkhidmatan penghantaran mampu untuk mencegah penularan wabak Covid-19.

Sebelum Hari Raya Aidilfitri, dilaporkan syarikat kurir seperti POSLAJU menerima 400,000 bungkusan setiap hari, berbanding 200,000 bungkusan pada tempoh awal Ramadhan (Wan Noor Hayati Wan Alias, 2020). Jelas perkhidmatan penghantaran membantu peniaga untuk meneruskan kelangsungan perniagaan mereka dalam tempoh PKP.

2. Barang keperluan sentiasa mudah diperoleh.

Istilah runner atau utusan merupakan konsep pekerjaan baru yang muncul sebelum krisis COVID-19. Mereka adalah orang yang mengambil servis penghantaran barangan sama ada barangan runcit mahupun barang keperluan lain. Jika di bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Lembah Klang, khidmat utusan ini menjadi suatu kebiasaan. Sebagai contoh, untuk penghantaran makanan sahaja terdapat beberapa syarikat yang menyediakan servis penghantaran seperti Foodpanda, Grabfood, McDelivery dan sebagainya.

Manakala untuk perkhidmatan penghantaran barang asasi ataupun dokumen penting, terdapat syarikat seperti Lalamove dan juga MrSpeedy yang membantu pelanggan mereka ketika situasi PKP. Kini, pelanggan tidak perlu lagi perlu hadir secara fizikal ke kedai atau pasar raya berhampiran untuk mendapatkan barangan keperluan harian, mahupun dokumen penting.

Impak Negatif :

1. Risiko kemalangan kepada pekerja perkhidmatan penghantaran.

Kebanyakan penghantar barangan menggunakan motosikal sebagai kenderaan untuk menghantar lambakan permintaan dan barangan kepada pelanggan. Oleh itu, risiko kemalangan perlu dihadapi oleh penghantar barangan setiap kali menjalankan kerja mereka. Hampir separuh daripada kematian akibat kemalangan jalan raya adalah melibatkan pengguna motosikal.

Pada tahun 2019, 1984 kematian direkodkan daripada jumlah keseluruhan 3071 kematian akibat kemalangan merupakan pengguna motosikal (Kementerian Pengangkutan Malaysia, 2019). Malah, syarikat perkhidmatan penghantaran penumpang melalui motosikal, Dego juga dihalang daripada beroperasi atas faktor keselamatan (Bernama, 2017).

2. Risiko jangkitan COVID-19 kepada pekerja perkhidmatan penghantaran barang.

Walaupun pekerja perkhidmatan barang bukanlah pekerja khusus dalam perkhidmatan kesihatan, tidak dinafikan golongan ini juga berisiko tinggi untuk dijangkiti COVID-19. Salah satu sebab ialah kerana ketidak bolehan pekerja dalam sektor ini untuk mengehadkan aktiviti luar dan pergerakan. Maka, pekerja perkhidmatan ini perlu berinteraksi dengan ramai orang dalam masa sehari.

Bukan itu sahaja, mereka juga perlu memegang barang-barang yang tidak diketahui status kebersihannya. Proses sanitasi barangan yang akan dihantar perlu dijalankan oleh syarikat penghantaran selain daripada pemeriksaan kesihatan berkala bagi pekerja di waktu penyebaran wabak COVID-19 ini.

Kesimpulan:

Virus COVID-19 telah mengubah amalan biasa yang telah dipraktiskan oleh masyarakat, baik dari sudut ekonomi mahupun sosial. Teknologi dilihat sebagai ruang untuk masyarakat meneruskan kelangsungan hidup, melalui aplikasi membeli belah dalam talian ataupun alternatif bekerja dari rumah. Perkhidmatan penghantaran barang dan dokumen menjadi lebih penting di saat-saat sukar ini kesan daripada perubahan yang dialami. Maka, harusnya langkah berhati-hati diambil bagi memastikan setiap ahli dalam masyarakat dilindungi, termasuklah hak-hak pekerja serta kesihatan masyarakat.

 

Rujukan:
1. http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=kurir
2. https://www.bharian.com.my/node/171444
3. http://www.jkjr.gov.my/…/func-startdown/141/lang,ms-my/
4. http://www.astroawani.com/…/dego-ride-tidak-dibenar…

Ditulis oleh

Ahli Kluster Sains Sosial
Jabatan Profesional Muda, DPPM
Penulis merupakan ahli Kluster Sains Sosial JPro. Tulisan diatas adalah berdasarkan sumber rujukan dan merupakan pandangan peribadi penulis.

15 Jun 2020