JPro

KEBAIKAN

“Cikgu, boleh tak saya nak tukar kelas?”, Ahmad menyampaikan hasratnya kepada saya. Agak terperanjat saya mendengar permohonannya.

Saya merupakan seorang guru yang mengajar aliran Program Vokasional Menengah Atas (PVMA) di sekolah tempat saya mengajar. Pelajar aliran kemahiran ini kebiasaannya sinonim sebagai ‘pelajar kelas belakang’ ataupun ‘pelajar bermasalah’. Bahkan bidang yang ditawarkan adalah bidang Penyejukbekuan dan Penyamanan Udara, menjadikan semua pelajar di kelas ini adalah lelaki.

Sebagai guru perempuan dan juga guru kelas bagi aliran ini, secara jujurnya memang mencabar. Mengajar subjek ini sahaja sudah memerah kudrat, ditambah lagi dengan menguruskan semua pelajar lelaki menjadikan tugas saya semakin berat.

Namun saya bersyukur kerana digandingkan dengan seorang lagi guru perempuan dan dua guru lelaki yang sangat komited bagi mengajar bidang ini. Alhamdulillah, kami selari dalam mengendalikan subjek ini bersama.

MENGAJAR SEPERTI BIASA SEBAIKNYA

“Awak hantar permohonan pada Cikgu Lim”, saya membalas pertanyaan Ahmad. Sememangnya Ahmad memasuki aliran ini bukan atas pilihannya.

“Ahmad, bangun. Pergi bilik air basuh muka”, begitulah keadaannya pada awal bulan-bulan persekolahan. Ahmad kerap tidur di dalam kelas, tidak pasti sama ada kerana betul-betul mengantuk atau untuk menunjukkan protesnya. Ya, permohonan Ahmad untuk menukar aliran tidak diluluskan oleh Cikgu Lim kerana alasan yang diberikan hanyalah kerana dia tidak mahu balik sekolah lambat.

Sememangnya perlakuan begini dan seumpamanya kadangkala mengguriskan hati. Hatta, ada yang mencebik selepas hukuman, kami tetap hadapi dengan sabar dan matang. Dan beginilah kami sebagai guru bidang ini, menelan kepahitan yang dirasa dan terus memberikan sebaiknya.

Setiap pagi mesti akan dimulakan dengan senaman ringan, doa, bacaan Surah Al-Fatihah dan ayat kursi serta laungan “Safety First!” sebelum masuk ke kelas. Di dalam kelas, setiap peraturan dan pengarahan disampaikan dengan jelas serta hukuman melanggarnya dipersetujui bersama. Sebelum pulang, mereka dimestikan untuk bersalaman dengan guru-guru lelaki serta meminta maaf dan memohon agar meredhai ilmu yang telah diberikan.

Kami turut usahakan sesi-sesi luar silibus yang dapat menjadi nilai tambah bagi mereka seperti perkongsian daripada alumni yang telah berjaya, penulisan resume, menservis pendingin hawa dan menukar lampu yang rosak di sekolah serta banyak lagi.

BERUBAH UNTUK MENJADI LEBIH BAIK

Selain fokus pada penyampaian silibus, kami juga fokus pada pembentukan sahsiah. Hal ini kerana selain daripada ilmu, kami yakin bahawa kami turut bertanggungjawab untuk menerapkan nilai moral yang baik kepada mereka.

Kami berpegang kepada Falsafah Pendidikan Negara yang menyatakan bahawa pendidikan di Malaysia merupakan suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

Secara mudahnya, kami tekankan agar pelajar-pelajar kami sentiasa berusaha menjadi baik, sentiasa berusaha berbuat baik, sentiasa melaksanakan segala perkara sehabis baik dan sentiasa menyebarkan perkara yang baik. Dan kebaikan ini perlu dimulakan bukan hanya sehari, tetapi hari-hari.

Hakikatnya, bukankah perkara inilah yang kita semua usahakan untuk diri kita sendiri?

HADIAH KECIL HARI KEMERDEKAAN

“Kak Jue tahu tak? Hari ini Ahmad seorang sahaja yang hantar kerja rumah matematik”, kata Cikgu Salmi sambil tersenyum-senyum. Sememangnya dia telah awal menjangkakan bahawa pelajar-pelajar kelas saya tidak akan menyiapkan kerja rumah yang diberikan sempena cuti Hari Kemerdekaan. Namun apabila Ahmad menghantar kerja rumah yang telah siap, tentunya perkara ini menggembirakannya.

Alhamdulillah, kini semakin banyak respon positif yang kami terima. Kebanyakan guru-guru subjek SPM yang mengajar kelas saya menyatakan bahawa pelajar-pelajar kelas saya menunjukkan perubahan sikap yang baik. Lebih-lebih lagi Ahmad.

Dia tidak lagi tidur di kelas dan semakin menunjukkan minat bukan hanya dalam subjek Penyejukbekuan dan Penyamanan Udara, bahkan subjek-subjek yang lain juga.

Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik, apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.
Surah Fussilat (41): 34

Ya, benar sekali firman Allah ini. Dengan usaha kebaikan yang cuba kami laksanakan kepada pelajar-pelajar kami, mereka yang sebelum ini mempamerkan perlakuan tidak minat dan tidak hormat, kini menjadi semakin positif. Ahmad adalah salah satu buktinya.

BENIH KEBAIKAN KITA

Formula kebaikan, inilah ringkasan daripada apa yang disebutkan oleh Allah. Sesungguhnya kebaikan itu tidaklah sama dengan kejahatan. Kebaikan pasti akan menatijahkan kebaikan, ibarat bola yang dibaling ke dinding pasti akan melantun ke kita semula. Bahkan kebaikan mampu menukar lawan menjadi kawan.

Siapa yang menuai benih, pasti akan mengutip hasilnya. Kebaikan itu ibarat benih, hasilnya pasti akan dirasaikan bukan hanya kita bahkan orang lain juga. Sempena sambutan Kemerdekaan Ke-65 dan Hari Malaysia Ke-59 ini, ayuh kita #TeguhMembinaNegara dengan menyemai benih-benih kebaikan dengan sabar dan yakin.

Benih-benih ini sekarang berada di tangan saya dan di tangan anda, menunggu untuk disemai. Ayuh kita campakkannya bersama agar benih-benih ini dapat tumbuh dan memberikan manfaat. Dalam kiraan tiga, kita campakkanya bersama. 1, 2, 3!

“Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar (dari kebahagiaan dunia dan akhirat).”


Surah Fussilat (41): 35

 
 

Ditulis oleh

Siti Juwairiyah Binti Ali
Ahli Kluster Pendidikan,
Jabatan Profesional Muda, DPPM
Penulis merupakan pemenang tempat pertama dalam pertandingan penulisan sempena hari kemerdekaan anjuran JPro dengan tema #teguhmembinanegara.

18 September 2022