Kedah Catat Pelaburan Tertinggi Negara

Pelaburan ialah suatu perniagaan yang dibuat ke atas sesuatu aset untuk mencapai peningkatan nilai dalam suatu jangka masa tertentu. Ia memerlukan pengorbanan beberapa aset semasa seperti masa, wang dan usaha.

Dalam kewangan, tujuan pelaburan adalah untuk menjana pulangan daripada aset yang dilaburkan. Pulangan terdiri daripada keuntungan pendapatan atau kerugian yang direalisasikan daripada penjualan harta atau pelaburan, peningkatan modal yang tidak direalisasi (atau susut nilai), atau pendapatan pelaburan seperti dividen, faedah atau pendapatan sewa.

Pulangan juga mungkin termasuk keuntungan atau kerugian mata wang akibat perubahan dalam kadar pertukaran mata wang asing.

1. Sebanyak 20 hingga 25 peratus pendapatan negara Malaysia datangnya daripada sumber pelaburan. Bagi negara-negara maju, peratusan pendapatan daripada sumber pelaburan sekitar 18-20 peratus. Bagi negara-negara jiran pula, Indonesia mendahului dengan 30-32 peratus diikuti oleh Thailand (23%), Vietnam (23-24%) dan Singapura (21-25%).

2.Di dalam fasa COVID-19, jumlah pelaburan asing yang masuk ke rantau Asia adalah yang paling tinggi iaitu sebanyak USD 535 bilion pada tahun 2020 berbanding USD 516 bilion pada tahun 2019. Dalam kalangan negara di Asia Tenggara, Singapura berada di tempat pertama dengan jumlah Pelaburan Langsung Asing (FDI) sebanyak USD 120 bilion jauh meninggalkan negara-negara jiran lain seperti Indonesia (USD 25 bilion), Vietnam (USD 16 bilion), Malaysia (USD 9 bilion) dan Filipina (USD 8 bilion).

3. Pada 2020, projek infrastruktur tenaga jatuh sebanyak 40 peratus kepada USD 27 bilion, iaitu yang terendah bagi tempoh lapan tahun. Asia adalah satu-satunya rantau yang berkembang baik dalam bilangan dan nilai projek berkaitan tenaga. FDI bagi rantau Asia di dalam projek tenaga boleh diperbaharui (Renewable Energy, RE) meningkat kepada USD 33.4 bilion pada 2020 berbanding USD 30.7 bilion pada 2019. Walaupun industri RE hanya merangkumi 2% daripada jumlah pelaburan di Malaysia, projek berkaitan RE semakin meningkat saban tahun terutama berkaitan dengan tenaga solar.

4. Bagi konteks nasional, jumlah pelaburan yang diluluskan oleh Malaysia ada naik turunnya sejak lima tahun terdahulu. Dengan kehadiran pandemik COVID-19 sejak akhir 2019 yang merunsingkan seluruh dunia, Malaysia turut terjejas sama ada daripada sudut ekonomi, kesihatan mahupun sosial. Berikut adalah jumlah keseluruhan pelaburan yang diluluskan oleh Malaysia:
2016- RM 207.9 bilion
2017- RM 197.1 bilion
2018- RM 201.7 bilion
2019- RM 207.9 bilion
2020- RM 164.0 bilion
2021- RM 107.5 bilion (Bagi tempoh Januari sehingga Jun)

5. Negara maju yang sentiasa menjadi pelabur utama di Malaysia adalah Jepun, Belanda, Amerika Syarikat dan China, manakala Singapura dan Indonesia adalah dua negara jiran yang turut menjadi antara pelabur utama di negara ini. Bagi tahun 2021, Singapura berada pada kedudukan teratas dengan jumlah pelaburan sebanyak RM 43.5 bilion, diikuti oleh Korea Selatan (RM 6.3 bilion) dan Belanda (RM5.1 bilion).

6. Pelaburan terbahagi kepada dua, iaitu pelaburan domestik (DDI) dan pelaburan asing (FDI). Malaysia sentiasa didominasi oleh pelaburan domestik dengan peratusan melebihi separuh daripada jumlah keseluruhan pelaburan. Namun begitu, lima tahun kebelakangan ini, hanya pada tahun 2018 dan 2021 sahaja pelaburan asing melebihi pelaburan domestik sehingga mencapai 2/3 jumlah pelaburan.
2016: DDI (72%), FDI (28%)
2017: DDI (72%), FDI (28%)
2018: DDI (34%), FDI (66%)
2019: DDI (60%), FDI (40%)
2020: DDI (60%), FDI (40%)
2021: DDI (42%), FDI (58%)

7. Pelaburan biasanya berlaku di negeri-negeri maju yang membangun seperti Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor. Para pelabur lebih mengharapkan keuntungan yang lebih tinggi jika pelaburan dibuat di negeri-negeri ini. Namun, tahun 2021 mengejutkan ramai pihak apabila Kedah menjadi negeri yang paling banyak meluluskan pelaburan iaitu berjumlah RM57.1 bilion, diikuti oleh juara bertahan Selangor (RM13.3 bilion) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM11.9 bilion).

8. Jumlah pelaburan di Kedah ini didominasi oleh FDI berbanding DDI, dan ia adalah antara bukti keberkesanan usaha kerajaan negeri melalui projek Invest Kedah Berhad. Hasilnya, sebanyak 1/3 peluang pekerjaan yang terhasil daripada keseluruhan projek pelaburan di Malaysia terletak di negeri Kedah.

9. Berdasarkan kajian yang telah dibuat, pendapatan per kapita negeri Kedah tidak menunjukkan peningkatan yang signifikan apabila masih berada pada kedudukan ke-13 di antara semua negeri di Malaysia sejak 1970 sehingga tahun 2000. Justeru, dengan jumlah pelaburan yang besar pada tahun 2021, ia diharapkan dapat meningkatkan taraf hidup rakyat daripada pelbagai sudut sama ada ekonomi, politik dan sosial bermasyarakat.

10. Kejayaan negeri Kedah membuktikan bahawa dengan usaha yang tepat dan konsisten, sesebuah kerajaan negeri mampu meningkatkan prestasi ekonomi negeri dan rakyatnya tanpa mengira status semasa negeri tersebut. Usaha ini sangat penting dalam memastikan Malaysia dan rakyatnya dapat hidup dalam suasana yang aman dan harmoni.

 

Sumber: 

1. MIDA: https://www.mida.gov.my/

2. Hasnah Ali & Sanep Ahmad (2009), “Why Poor Regions Remain Poor: Evidence from Malaysia”. 

3. Sinar Harian: https://www.sinarharian.com.my/article/183972/EDISI/Pelaburan-Kedah-cecah-RM571-bilion-lebihi-sasaran

Asyraf Salleh,
AJK Kluster Ekonomi dan Kewangan, JPro

Penulis merupakan ahli Kluster Ekonomi & Kewangan Jabatan Profesional Muda (JPro), DPPM. Beliau juga adalah seorang Pegawai Penyelidik dan mempunyai Ijazah Sarjana dalam bidang Ekonomi.