JPro

KEMBALIKAN ASPIRASI SEKOLAH KEBANGSAAN, TUNGGAK UTAMA PERPADUAN

Baru-baru ini seorang pendakwah Cina-Muslim, Saudara Firdaus Wong telah memuat naik sebuah gambar lama Tun Samy Vellu dan Datuk Khalid Yunus memanjat Kedutaan Indonesia untuk mengibarkan Jalur Gemilang dalam laman facebooknya. Aksi tersebut dilakukan sebagai tanda protes mereka terhadap konfrontasi yang telah dilancarkan oleh Presiden Soekarno pada 17 September 1963. Lebih menarik, sesetengah netizen memberi komen berpandangan bahawa semangat patriotisme merentas warna kulit dan bahasa ini adalah buah daripada pendidikan sekolah kebangsaan yang dibentuk untuk menyatukan masyarakat majmuk di Tanah Melayu.

Melihat kepada sejarah, penubuhan sekolah vernakular sebenarnya jauh sekali membawa agenda ke arah perpaduan kaum. Apabila British dengan dasar pecah dan perintahnya mengasingkan tiga kaum utama di Tanah Melayu; Melayu, Cina dan India, mengikut jenis pekerjaan, geografi, dan sistem pendidikan, perkara tersebut telah menyumbang kepada berlakunya polarisasi di antara kaum.

Perlu diteliti bahawa permasalahan utama dalam sistem pendidikan sekolah vernakular bukanlah hanya atas faktor bahasa pengantara ibunda yang diguna pakai. Sekolah vernakular asalnya tertubuh adalah untuk mengekalkan identiti bangsa kaum Cina dan India agar tidak terpisah dari negara asal mereka setelah dibawa masuk oleh penjajah ke Tanah Melayu.

Semasa era sebelum kemerdekaan, silibus, buku dan guru-guru bagi sekolah vernakular ini telah diambil dan diperoleh daripada negara asal kaum Cina dan India. Silibus pendidikan yang berkiblatkan negara asal ini pastinya membawa bersama budaya, identiti dan idealogi yang akhirnya tidak akan dapat melahirkan satu identiti bangsa kebangsaan terhadap negara yang didiami walaupun setelah memperoleh kerakyatan yang sah.

Setelah sekolah kebangsaan ditubuhkan, sekolah-sekolah vernakular juga masih terus dikekalkan oleh kerana protes daripada Masyarakat Cina dan India yang tidak bersetuju sekolah vernakular dihapuskan. Hanya sebilangan kecil sahaja dilihat telah memilih untuk melanjutkan pelajaran di sekolah kebangsaan yang majoriti pelajarnya adalah kaum Melayu.

Keadaan ini menyebabkan interaksi dan integrasi di antara kaum gagal berlaku secara menyeluruh. Malahan, persaingan dan jurang pendidikan yang besar telah menyemai sifat keakuan dan perkauman yang destruktif. Bila mana persefahaman dan ruang tolak ansur tidak dapat dipupuk dalam medium pendidikan, akhirnya banyak siri-siri perselisihan dan pertembungan di antara kaum telah tercetus sehinggakan ke hari ini.

Sekolah kebangsaan yang telah ditubuhkan oleh kerajaan adalah satu inisiatif untuk memupuk perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat majmuk di negara kita. Akhir-akhir ini terdapat banyak cadangan agar Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil dijadikan sebagai matapelajaran wajib di sekolah seperti matapelajaran Bahasa Melayu. Dengan cadangan ini, masyarakat berharap agar rakyat di masa hadapan dapat berbicara secara fasih dalam ketiga-tiga bahasa tersebut.

Namun, segelintir pihak berpendapat cadangan tersebut adalah satu usaha untuk menghilangkan penguasaan bahasa ibunda kaum Cina dan India dan dianggap sebagai satu tindakan menghasut ke arah perpecahan kaum.

Adalah satu perkara yang pelik apabila cadangan ini dianggap sebagai satu tindakan menghasut. Bukankah ini satu usaha untuk memartabat dan mengiktiraf Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil sebagai bahasa yang diguna pakai oleh masyarakat Malaysia sekaligus menyuburkan persefahaman di antara kaum?

Kita sedar akan situasi di mana sekolah kebangsaan yang telah didominasi oleh kaum Melayu sejak sekian lamanya, banyak menerapkan aspek-aspek nilai Islam dalam membentuk identiti sekolah kebangsaan yang menjadikan ia dilihat eksklusif kepada kaum Melayu dan umat Islam sahaja. Hal ini telah menggugat kaum Cina dan India yang ingin mengekalkan kebudayaan dan identiti kaum mereka tanpa dicampuri unsur-unsur kebudayaan kaum dan agama yang lain.

Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 telah menjadi asas kepada takrifan identiti kebangsaan Malaysia dengan menggariskan tiga teras utama:
(1) Kebudayaan Kebangsaan Malaysia hendaklah berteraskan kebudayaan rakyat asal rantau ini,
(2) unsur-unsur kebudayaan lain yang sesuai dan wajar boleh diterima menjadi unsur Kebudayaan Kebangsaan,
(3) Islam menjadi unsur penting dalam pembentukan Kebudayaan kebangsaan.

Maka, istilah ‘Kebangsaan’ yang terpakai oleh negara ini selalu dilihat sangat sinonim dengan takrif Melayu-Islam. Sebagai rakyat Malaysia, masyarakat Cina dan India seharusnya bersifat terbuka dan menerima bahawa mereka adalah sebahagian daripada negara Malaysia yang terasnya adalah Melayu dan Islam. Namun begitu, teras kedua Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 turut meletakkan unsur-unsur kebudayaan lain yang sesuai dan wajar juga boleh diterima menjadi unsur Kebudayaan Kebagsaan.

Datuk Abdul Rahim Hashim, Naib Canselor Universiti Malaya (UM), sewaktu ucapannya dalam Kongres Maruah Melayu berkata, “Dunia pendidikan pula semakin mencabar. Pendidikan kebangsaan disaingi oleh pendidikan berasaskan kaum. Bahasa Melayu bukan lagi tonggak sehinggakan Falsafah Pendidikan Kebangsaan tercabar.”

Perlu difahami isi ucapan ini yang menerangkan dengan jelas dan pedas bahawa falsafah pendidikan kebangsaan bukan bermaksud pendidikan kaum Melayu sahaja, tapi pendidikan yang diintegrasi bagi semua kaum di Malaysia.

Hal ini kerana, istilah kebangsaan yang terpakai oleh negara ini turut meletakkan kebudayaan masyarakat Cina, India, Bumiputera dan lain-lain sebagai suatu Kebudayaan Kebangsaan. Sekaligus, memberi makna dan aspirasi yang besar kepada sekolah kebangsaan yang dibina untuk semua bangsa dan kaum di Malaysia bagi keharmonian negara. Seharusnya, inilah perspektif yang dilihat oleh setiap masyarakat di Malaysia.

Landskap pendidikan di negara ini perlu melalui suatu proses transformasi yang tidak lagi dibayangi oleh sistem pendidikan penjajah yang memecahkan. Satu polisi dan dasar pendidikan ke arah memperkasakan pendidikan kebangsaan yang tidak mengenepikan kepentingan penguasaan bahasa-bahasa ibunda kaum-kaum lain adalah satu cara untuk membina satu identiti kebangsaan dalam kalangan masyarakat.

Usaha ke arah memupuk perpaduan kaum perlulah disambut baik oleh semua pihak. Semua bentuk kepentingan politik atas keuntungan peribadi perlulah diketepikan kerana ia bukan sahaja bakal merugikan masyarakat, malah menimbulkan persengketaan di antara kaum.

Ditulis oleh

Syafiqah Azmi
Kluster Komunikasi & Media
Jabatan Profesional Muda, DPPM
Penulis merupakan ahli Kluster Komunikasi dan Media, Jabatan Profesional Muda (JPro) DPPM. Merupakan pelajar separuh masa pasca-siswazah di Universiti Islam Antarabangsa dan aktif di dalam dakwah dan penulisan.
 

23 Oktober 2019