JPro

KEMERDEKAAN DI RUMAH SENJA

Sejak pemergian ibu dua tahun yang lalu aku menjadi insan paling sunyi. Segala yang aku lakukan terasa kosong dan hambar. Perasaan ibarat daun-daun kering yang gugur ke bumi.
 
Pada masa itu, Covid-19 datang melanda membuatkan semua bungkam dan kebingungan. Wabak terus menular bahaya membawa petaka di wajah hiba. Menjerkah tenteram jiwa sehingga ramai yang telah terkorban dan pulang ke negeri abadi.
 
Aku terpaksa menerima hakikat koronavirus dijebak terkena tidak tertolak. Sujud pasrah di titik ibadah apabila insan-insan yang ditarik nyawa itu adalah ibu sendiri. Air mata nestapa menemani saban hari sehingga dirasakan putus bicara upaya usaha.
 
“Ya Allah, aku akan terus bina semula keyakinan. Aku hamba yang pasrah.” Aku menelan segala kepedihan dan kerinduan setia kali ingatkan arwah. Cuba bertasbih pasrah di pangkal kejadian.
 
Aku memerlukan tugu kekuatan di saat rapuh. Dorongan saat hampir berhenti di separuh perjalanan takdir. Hanya doa yang keluar dari bibir tiap kali mengucap kata.
 
Sunyi yang membengkak rasa bernanah bicara itu terus menjadi sepi makna yang tak sanggup aku lukis. Seolah-olah dunia tiada penghuni apabila ayah mengikuti langkah ibu menemui pencipta.
 
“Banyak kisah yang tidak mampu aku ucap. Kenapa aku ditimpa ujian ini? Aku ingin merdekakan hati ini dengan cara tersendiri.”
 
Aku meluah bersama seribu sepi. Perlahan-lahan. Pedih, membengkak dan bernanah apabila memikirkan setiap kali tentang rumah tua itu yang langsung tidak berpenghuni.
 
Paling aku terkesima apabila adik-beradik yang lain seolah-olah tidak ingin menjejakkan kaki ke rumah tempat ibu dan ayah membina keluarga penuh kehangatan, cinta dan kasih sayang. Semua ini adalah anugerah terindah dan harapan yang sentiasa mekar untuk dikenang.
 
“Kenapa lama tidak pulang ke kampung? Akak masih lagi menetap di Malaysia. Bukannya di Amerika?”
 
Aku melontarkan kata-kata agar merentap tangkai jantung. Setiap kali berbicara dengan Kak Rosni. Setiap kali isu pulang ke desa.
 
Bagi aku, mereka lupa daratan. Perbuatan itu seolah-olah menghina arwah yang pernah membesarkan, mendodoi mereka. Menepuk hingga lena. Menidurkan dalam kelambu di rumah papan yang menunggu masa menyembah bumi itu.
 
“Akak kena balik rumah keluarga mentua. Ada kenduri. Pada hari merdeka nanti.” Kak Rosni membalas membuatkan aku sekadar mendengar dan menelan kata-kata itu.
 
Aku cuba menetapkan hati dan jiwa untuk mendekatkan adik-beradik walau jauh dan dekat. Lebih-lebih lagi sedar, Hari Kebangsaan sudah memasuki tahun ke 65. Tapi setiap kali merdeka, negara akan cuti umum. Kenapa susah sangat untuk pulang ke kampung halaman menjengah rumah arwah.
 
“Takkan tanggal 31 Ogos pun tidak memiliki hati dan perasaan untuk jenguk rumah tempat tumpah darah. Sebab mak dan ayah sudah tidak ada?” Aku membalas marah lantas meletakkan talian. Geram. Di manakah mereka letakkan akal waras.
 
Sebagai insan yang berlonggok timbunan sejarah di rumah itu, aku berusaha pulang seperti biasa. Menyambut merdeka bersama ‘bayangan’ insan tersayang.
Konflik perasaan kedua juga timbul apabila isteri dan anak-anak ingin cuti bersejarah di rumah datuk dan nenek mereka. Aku menahan rasa. Perasaan ketika itu ibarat gunung berapi yang sedang menggelegak dan ingin menumpahkan lahar pedih.
 
Tiada apa yang lebih membahagiakan aku selain memasuki halaman rumah berbumbung zink itu bersama mengembalikan seribu satu kenangan. Dari zaman kanak-kanak, remaja, dewasa semua bermain di depan mata. Tertayang bangga telah ibu dan ayah siapkan rumah untuk anak-anak berteduh. Lantas memegang amanah mendewasakan menjadi warga bijak sana. Hingga tahun-tahun berlalu tanpa lelah kudrat buta hakikat.
 
Aku tidak ingin menjadi sebagaimana Kak Rosni. Sebagaimana adik Husna. Atau pun sekejam Abang Yusmainor. Seolah-olah ingin mengambus semua kenangan setelah arwah kembali ke bilik papan.
 
“Aku akan merdekakan rumah senja ini dengan cara tersendiri.” Aku tekad dengan sumpah dan janji. Semangat warga berdaulat. Aku mencari buluh untuk dipasang semua Jalur Gemilang sekeliling rumah. Bersama seribu kental. Jiwa dan raga. Aku akan buktikan pada nusa dan bangsa. Supaya rumah ini terus berseri, hidup, maju, aman dan merdeka.
 
Gejolak perasaan aku terus menebal saat mengenangkan jasa-jasa arwah sama-sama memasang Jalur Gemilang dengan penuh semangat. Mereka menghayati dan faham erti sebuah perjuangan.
 
Aku cuba mengumpul kanak-kanak yang bermain basikal tanpa tentu arah di sekitar kampung. Setiap daripada mereka diupah untuk menggantungkan Jalur Gemilang. Dalam masa yang sama aku terus terapkan dalam diri tentang Rukun Negara, perpaduan, perkauman dan jati diri serta kecintaan kepada negara.
 
“Melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Korang semua harus membesar dengan semangat patriotik sepanjang masa.” Aku meluah bangga atas luangan masa dan bakti yang mereka berikan.
 
Petang itu, mereka bertungkus-lumus menghias rumah. Sekelip mata, rumah arwah menjadi rumah yang penuh dengan Jalur Gemilang. Aku bangga, rumah tua ini adalah rumah pertama di kampung yang diserikan dengan kibaran Jalur Gemilang.
 
Aku akan menerangkan setiap kali bertanya, “Merah adalah membara semangat waja. Putih adalah bersih budi pekerti. Kuning berdaulat payung negara. Biru pula adalah perpaduan kita semua.”
 
“Merdeka!” Mazlan salah seorang kanak-kanak melaung keterujaan. Faham tentang warna-warna kehidupan.
 
Dalam masa yang sama, usaha penuh semangat ini mendapat perhatian daripada ketua kampung. Haji Zawawi bangga. Katanya aku bukan sekadar seorang pendidik. Tapi aku mampu mendidik kanak-kanak di kampung faham tentang erti sebuah pengorbanan.
 
Tibalah hari yang dinantikan. Saat negara menyambut Hari Kemerdekaan. Saat itu jugalah rumah yang dihias ternyata menarik ramai peminat. Dari kanak-kanak serta remaja akan berhenti tatkala melalui rumah ini. Mereka turut berswafoto dengan segala hiasan daripada barang terbuang yang aku bina.
 
“Alhamdulillah, anak muda. Saya bangga dengan apa yang dilakukan. Kamu mampu membangun nilai kemanusian. Tahun hadapan, saya akan kerahkan orang kampung untuk datang dan menghias. Rumah ini akan dijadikan rumah ikon merdeka di kampung kita.”
 
Aku berlapang dada mendengar luahan Haji Zawawi. “Saya bangga. Cikgu mengajar mereka tentang perpaduan dan ketaatan. Yang harus ada pada semua penduduk kampung.”
 
Saat itu ramai memenuhi rumah apabila barisan kanak-kanak mengibarkan jalur semangat. Turut melaungkan ‘Merdeka! Merdeka! Merdeka”.
Tidak cukup dengan itu, lagu Jalur Gemilang, Bahtera Merdeka, Tanggal 31 Ogos dan Negaraku dipasang di corong radio. Memang hari ini aku telah membawa semangat jiwa merdeka.
 
Aku berdiri megah. “Inilah kemerdekaan yang sebenar dalam diri. Aku akan membina negara.”
 
Hari mulia. Hari bahagia. Aku akan sambut dengan jiwa yang merdeka. Kemerdekaan di rumah senja. Bagai arwah ada dan tersenyum memandang semangat patriotik yang telah aku lakukan. Ia pasti menjadi sejarah.

Ditulis oleh

Ahmad Safarman Dollah
Penulis merupakan peserta dalam pertandingan penulisan sempena hari kemerdekaan dan hari Malaysia anjuran JPro dengan tema #teguhmembinanegara.

6 September 2022