JPro

KUSTA; PENYAKIT DUNIA KUNO YANG MASIH MENGGETAR JIWA

SAH! Penyakit yang dinamakan Kusta itu masih wujud! Malahan kes-kes jangkitan di Malaysia dicatatkan terdapat peningkatan pada tahun-tahun terakhir ini. Bahkan penyakit itu menjangkiti penghuni kota raya hutan batu dan bukannya orang pedalaman atau tempat terpencil.

Malahan kes yang satu itu disebut memang pengunjung tetap klinik Kesihatan sebagai seorang warga Penyakit Tidak Berjangkit (kencing manis, darah tinggi dan sebagainya) tetapi para perawat dan doktor tidak dapat mengenalpasti mahupun mendiagnosis kusta itu di peringkat awal atas sebab kurangnya pengetahuan di kalangan warga Kesihatan sendiri!

Itulah serba sedikit bagaimana bertalu-talu akalku disentap sejak mendaftarkan diri sebagai sukarelawan pasukan petugas LAKAR – Latihan, Kesan, Analisa, Rawat dan Rujuk. Program ini dijalankan khas untuk Penyakit Kusta. Ketika Latihan diberikan dan statistik ditunjukkan aku tergamam melopong, owh baru ku tahu!

___________________________________________________________________________

Kusta ini penyakit zaman dahulu kala, zaman kuno, kan?

عن أنس – رضي الله عنه – : أنَّ النبيَّ – صلى الله عليه وسلم – كَانَ يقول : “ اللَّهُمَّ إنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ ، والجُنُونِ ، والجُذَامِ ، وَسَيِّيءِ الأسْقَامِ” . رواه أَبُو داود بإسناد صحيحٍ

Ertinya: Diriwayatkan dari Anas -radliyallahu anhu- bahawa Nabi Muhammad salallahualaihi wasallam berdoa: “Ya Allah, aku berlindung daripada-Mu dari sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit buruk”. Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Dawud dengan sanad sahih.

Di dalam kitab Kristian, The Holy Bible, New International Version NIV. Luke 5:12

12 While Jesus was in one of the towns, a man came along who was covered with leprosy. When he saw Jesus, he fell with his face to the ground and begged him, “Lord, if you are willing, you can make me clean.”

13 Jesus reached out his hand and touched the man. “I am willing,” he said. “Be clean!” And immediately the leprosy left him.

Diterjemah daripada Bahasa Yunani (Greek) kepada Leprosy, perkataan asal dalam Yunani adalah bermaksud penyakit kulit (umum). Teks dalam Bahasa Yunani pula bersusur galur daripada Kitab Talmud dan Hebrew Bible Yahudi yang turut mengandungi gambaran tentang penyakit kulit itu.

Istilah Kusta dalam Bahasa Melayu pula dikatakan berasal daripada perkataan Sanskrit “Kustha”. Perkataan ini telah digunakan di Alam Melayu sejak kurun ke-7, berdasarkan sejarah Sanskrit dan Agama Hindu yang dibawa masuk ke Nusantara daripada India. Dalam manuskrip perubatan kuno Hindu pula ada dicatat deskripsi tentang sejenis penyakit kulit seperti kusta.

__________________________________________________________________________________

Bukankah Kusta sudah pupus, sudah terbasmi, tidak wujud lagi di dunia moden sebagaimana penyakit Cacar Air (small pox); atau sekurang-kurangnya sudah terbasmi di kebanyakan tempat di dunia seperti polio?

Di peringkat dunia, Himpunan Kesihatan Sedunia (World Health Assembly) telah mengisytiharkan Kusta terhapus sebagai masalah kesihatan global pada 2000. Itu bermaksud bagi setiap 100,000 populasi manusia terdapat kurang daripada 1 kes Kusta (Resolusi 44.9). Walaubagaimanapun, Badan Kesihatan Sedunia (WHO) mencatatkan terdapat 120 negara yang masih mencatatkan kes baharu berjumlah lebih 200,000 kes setiap tahun.

Berdasarkan apa yang kita tahu, penyakit kusta hanya tersebar ke benua Amerika pada tahun-tahun pengembaraan Eropah ke benua itu di abad-abad terkemudian. Penyakit jarang-jarang berlaku di sana. Akan tetapi, dilaporkan bilangan kes jangkitan Kusta di Amerika Syarikat AS telah meningkat sekali ganda sejak sedekad lalu terutama di wilayah Tenggara negara itu. Jumlah kes Kusta yang dilaporkan Program Kebangsaan Hanson’s Disease (nama lain kusta) AS pada 2020 sahaja adalah 159 kes baru, kebanyakan di wilayah Florida.

Di Tanah Airku Malaysia, kes penyakit kusta baharu mencatatkan peningkatan iaitu daripada 142 kes pada tahun 2021 kepada 164 kes tahun 2022, yakni peningkatan sebanyak 15.5% . Pada tahun 2020, jumlah bilangan kes kusta di Malaysia adalah sebanyak 181 kes. Perlu di ambil perhatian, rawatan Kusta mungkin sehingga bertahun-tahun lamanya. Di daerah operasiku pula disebut terdapat 1 kes baharu tahun 2022 dan ditambah 2 lagi kes baharu dijumpai pada tahun 2023. Kerana itu kami laksanakan LAKAR, mahu kesan lagi kalau ada.

__________________________________________________________________________________

Alahai, makin bertambah pula bilangan kes kusta. Kena buat pengasingan pula lah, ya? Perlu hantar pesakit ke Perkampungan Kusta di Sungai Buloh itu kan?

Itu satu stigma, ya. Penyakit kusta ini kita tidak perlu terbawa-bawa stigma lama. Aku sebut kes-kes kusta di daerah operasiku di atas dirahsiakan identiti dan maklumat terperinci mereka. Daerah pun aku tak sebut, semuanya untuk elakkan stigma!

Hakikatnya Pusat Kawalan Kusta Negara di Sungai Buloh itu kali terakhir menerima pesakit baru pada tahun 1996, hampir tiga dekad lepas! Pada 1969 Program Kawalan Kusta Negara telah dilancarkan, yakni anda boleh dapatkan rawatan di mana-mana Klinik Kesihatan berdekatan kediaman tanpa perlu diasingkan di pusat pengasingan lagi. Seawal 1940an lagi ubat rawatan Dapsone telah ditemui untuk merawat penyakit ini, dan ditambah baik lagi dengan Multidrug Therapy (MDT) sejak 1985. Kesimpulannya sekarang ini, Penyakit Kusta adalah boleh disembuhkan dengan ubat dan Malaysia sudah diisytiharkan terbasmi Kusta mengikut definisi WHO seperti di atas sejak 1994 lagi. Malaysia boleh!

Tetapi awas, bagi yang didiagnosis kusta kena lah beringat untuk ikut rawatan ya, makan ubat tempoh satu hingga tiga tahun. Temujanji pantauan mungkin sehingga lima ke sepuluh tahun bagi kontak dan kes! Beringat itu!

__________________________________________________________________________________

Okey, Kusta boleh dirawat dan tidak perlu kuarantin ke isolasi ke. Tapi berjangkit kan penyakit ini…? Terangkanlah ciri-ciri penyakit ini…

Asasnya Kusta adalah jangkitan bakteria. Doktor Hansen telah menemui bahawa penyakit Kusta disebabkan oleh bakteria Mycobacterium Leprae kerana itu nama lain bagi Penyakit Kusta adalah Hansen’s Disease.

Penyakit lain yang mirip kusta adalah Tuberculosis TB yang disebabkan oleh Mycobacterium Tuberculosis, masyhur dengan jangkitan Batuk Kering di Malaysia. TB rawatannya memakan masa tiga hingga enam bulan atau lebih dan Kusta rawatannya memakan masa satu hingga tiga tahun! Sifatnya adalah jangkitan yang perlahan dan terselindung.

Kusta perlahan-lahan (insidiously) menyerang bahagian kulit pesakit, dan melibatkan saraf terutama bahagian muka, leher, kaki dan tangan. Kulit menjadi bertompok-tompok cerah (kadang-kadang keputihan kadang-kadang kemerahan) dan selalunya kawasan terlibat menjadi kebas kurang deria rasa. Saraf menjadi bengkak dan ketika pemeriksaan boleh dirasa dengan sentuhan jari (keadaan normal- tidak dapat dirasakan!). Setelah bertahun-tahun jangkitan kecacatan mula muncul (secara perlahan-lahan juga) selalunya melibatkan telinga (menjadi bentuk tidak sekata), mata (bulu kening menghilang), hidung (merata) ketikamana disebut Leonine Facies (muka seperti singa).

Kecacatan boleh melibatkan tangan dan kaki, yang menjadi bentuk janggal, luka-luka dan tiada deria. Apabila sudah ke sampai tahap kecacatan ini, kesannya kekal walaupun jangkitan bakteria itu sendiri dapat diselesaikan dengan rawatan ubat.

Cara jangkitan masih lagi menjadi perdebatan dan belum difahami sepenuhnya. Dipercayai kusta berjangkit dari seseorang kepada seseorang lain melalui lendir dan cecair pernafasan, iaitu setelah pendedahan bertahun-tahun juga (jangkitan juga perlahan-lahan). Kebersihan yang kurang dan ketahanan imuniti yang lemah menjadi faktor mudah berlaku jangkitan. Kusta dianggap endemik di Malaysia iaitu kumannya berada di mana-mana lokasi namun kadar jangkitannya adalah rendah.

__________________________________________________________________________________

Perlahan-lahan & Lama. Saya paham itu sahajalah, perlahan-lahan itu asyik diulang-ulang sahaja.

Iya, seringkali penyakit ini diabaikan daripada dikenalpasti. Bertahun-tahun kulit bertompok-tompok, bila jumpa doktor, dirawat sebagai panau! Sekali rawat tak menjadi dianggap sopak pula (vitiligo– kulit kekurangan pigmen bertompok-tompok, bukan kerana jangkitan bakteria). Bertahun-tahun sehingga mula saraf membengkak, muka jadi kulit tebal baru ada pakar kulit perasan; jangan-jangan kusta (?!) baharulah ujian calitan kulit dibuat untuk kenalpasti Kusta dilakukan. Jangan lambat begitu!

Boleh perlahan-lahan hadam, tapi jangan diabai, tetap waspada akan Penyakit Kusta. Penyakit zaman dahulu kala tetapi sekali jadi kes dikesan terketar-ketar jiwa dan akal, macam pengalaman saya!

Rujukan:
1. https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/leprosy
2. https://wwwnc.cdc.gov/eid/article/29/8/22-0367_article
3. https://www.sinarharian.com.my/article/242917/berita/nasional/kes-kusta-di-malaysia-meningkat

Ditulis oleh

Dr. Haikal Idris
Doktor Perubatan
Ahli Kluster Kesihatan,
Jabatan Profesional Muda, DPPM

Penulis merupakan ahli Kluster Kesihatan JPro dan merupakan doktor perubatan di salah sebuah hospital. Beliau sering memberi perkongsian kepada masyarakat tentang kerjaya dalam dunia perubatan menerusi media sosial.

27 Januari 2024