JPro

MALAYSIA MERDEKA: PERJUANGAN YANG BERTERUSAN

Merdeka kali ini sedikit lain buat saya. Entahlah, mungkin kerana banyaknya perkara yang sedang berlaku di dalam negara ketika ini, membuatkan saya lebih banyak berhenti, memerhati dan berfikir tentang arah tuju negara kita ketika ini. Ditambah lagi suasana pandemik COVID-19 yang memaksa kita untuk mengawal pergerakan dengan cara lebih banyak duduk di rumah, memberikan lebih masa untuk saya berfikir. Sambil memerhati wajah anak-anak, saya menyingkap kembali perjalanan kemerdekaan dan pembentukan negara Malaysia.
 
KEMERDEKAAN PERSEKUTUAN TANAH MELAYU
 
Tanggal 30 Ogos 1957, tepat jam 6.30 petang telah menyaksikan turunnya bendera Union Jack di Padang Banda Hilir, Melaka merakam tanda berakhirnya penjajahan British di Melaka selama 133 tahun. Menginjak jam 12.00 tengah malam memasuki 31 Ogos, bendera Union Jack di Padang Kelab Selangor, Kuala Lumpur diturunkan dan dinaikkan pula bendera Persekutuan Tanah Melayu sebagai ganti. Peristiwa ini memahat simbolik rasmi tamatnya penjajahan British di Tanah Melayu.
 
Memasuki waktu pagi 31 Ogos 1957, Stadium Merdeka yang baru sahaja dirasmikan pada 30 Ogos 1957 mula dibanjiri orang ramai. Disaksikan oleh 20,000 pasang mata yang membanjiri Stadium Merdeka, kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu diisytiharkan secara rasmi tepat jam 9.30 pagi. Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Malayu telah dibacakan oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra seterusnya diikuti dengan laungan ‘MERDEKA’ sebanyak 7 kali dan disambut oleh ribuan rakyat yang hadir. Azan dikumandangkan petanda Islam sebagai agama rasmi persekutuan dan bendera Persekutuan Tanah Melayu dinaikkan dengan diiringi lagu ‘Negaraku’. 101 das tembakan meriam dilepaskan, bergetar semua jiwa yang mendambakan kemerdekaan ini.
 
USAHA PEMBENTUKAN MALAYSIA
 
Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia, juga dikenali sebagai Jawatankuasa Setiakawan Malaysia telah dibentuk hasil Mesyuarat Persatuan Parlimen Komanwel Cawangan Tanah Melayu. Jawatankuasa ini terdiri daripada perwakilan Tanah Melayu, Borneo Utara, Sarawak, Singapura dan Brunei dan dipengerusikan oleh Tun Mohammad Fuad Stephen. Jawatankuasa ini telah bermesyuarat sebanyak 4 kali dan pada mesyuarat yang terakhir bersetuju untuk mengemukakan memorandum kepada Suruhanjaya Cobbold yang ditubuhkan pada 17 Jun 1962 bagi meninjau pandangan penduduk Sabah dan Sarawak terhadap pembentukan Gagasan Malaysia. Dapatan laporan tinjauan ini mendapati 80 peratus penduduk Borneo Utara dan Sarawak menyokong penubuhan Malaysia.
 
Singapura turut mengadakan pungutan suara melalui Referandum Singapura yang dimulakan pada 1 November 1962. Hasil pungutan suara ini secara umumnya mendapati 71 peratus penduduk Singapura bersetuju dengan pembentukan Malaysia. Manakala pemberontakan di Brunei yang diketuai oleh A.M Azahari bersama Tentera Nasional Kalimantan Utara menjadi salah satu asbab penolakan Sultan Brunei ke dalam Malaysia, walau pemberontakan ini Berjaya dipatahkan.
Setelah selesai beberapa siri lagi perbincangan dan persetujuan, akhirnya Perjanjian Penubuhan Persekutuan Malaysia ditandatangani oleh wakil kerajaan British, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura untuk menubuhkan Malaysia pada 31 Ogos 1963. Namun tarikh ini terpaksa dianjakkan disebabkan laporan Setiausaha Bangsa-bangsa Bersatu yang hanya dapat disiapkan pada 14 September 1963. Maka, Malaysia akhirnya diisytiharkan pada 16 September 1963.
 
MALAYSIA MERDEKA
 
Pemasyhuran Malaysia telah disempurnakan oleh Tunku Abdul Rahman Putra dihadapan 30,000 hadirin yang bersama-sama meraikan hari bersejarah ini di Stadium Merdeka. Laungan “MERDEKA” sekali lagi dilaungkan oleh Tunku sebanyak 7 kali, diselang seli dengan laungan oleh rakyat Malaysia sekaliannya. Upacara ini ditutup dengan bacaan doa selamat oleh Mufti Negeri Sembilan.
 
PERSOALAN NILAI KEMERDEKAAN MALAYSIA
 
Proses kemerdekaan dan pembentukan Malaysia melalui banyak perkara dan melibatkan banyak pihak. Hakikatnya, perjuangan kemerdekaan ini telah pun berlaku lebih lama lagi dengan menyaksikan pengorbanan pada setiap rentas masa dan peristiwa. Namun, apakah perjuangan ini telah selesai setelah kemerdekaan digapai? Dan kini setelah 64 tahun kemerdekaan dan 58 tahun pembentukan Malaysia, adakah Malaysia telah benar-benar merdeka?
Jika diteliti, galur kemerdekaan yang dicapai hari ini adalah dengan kesatuan bersama. Lalu apakah keadaan kita pada hari ini masih menterjemahkan kesatuan tersebut secara holistik? Mengapa masih merayap syak wasangka di antara kaum, sensitiviti agama yang disagat oleh penganut yang lain, perebutan pusaka antara adik-beradik, posesif terhadap profesi dan posisi sahabatnya yang lain, jiran yang tidak mengenali jirannya yang lain, ketaasuban kepada perbalahan serta sikap sendiri-sendiri yang melahirkan ekspresi ‘kubur lain-lain’? Ambil sahaja cancelled culture yang berasal daripada Barat, kini dibentangkan di tengah-tengah masyarakat kita dikalangan pengguna media sosial. Seakan tidak bersempadan sehingga meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-2 di Asia sebagai buli siber.
 
NILAI KESATUAN MALAYSIA
 
Merdeka antara lain adalah keadaan kita untuk kembali kepada nilai bangsa dan jati diri asal kita di tanah air kita sendiri secara bersama. Ya, Malaysia ini terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa dan agama, dan di situlah letaknya cabaran paling utama kepada cita-cita kebersamaan. Lantaran itu, suatu asas diperlukan untuk bertindak sebagai glu kepada kesatuan yang ingin dicapai. Bagi negara kita, ada dua glu yang digunakan iaitu Rukun Negara sebagai ikrar kesungguhan setiap warganegara dan Bahasa Melayu sebagai lingua franca rasmi negara. Ikrar Rukun Negara ini sendiri didirikan selepas tragedi berdarah 13 Mei yang menguji kesatuan dan perpaduan.
 
Maka, tidak keterlaluan jika cita-cita kebersamaan ini mengangkat Rukun Negara sebagai Nilai Malaysia yang menyatukan dan wajib kita pertahankan bersama. Bahkan prinsip kesopanan dan kesusilaan yang terkandung di dalam Rukun Negara ini merupakan nilai kelakuan kemanusiaan yang tidak terhalang oleh perbezaan kaum, bangsa dan agama. Malah prinsip ini selari dengan norma setiap kaum dan agama, nilai dalam memanusiakan manusia.
 
Melahirkan generasi yang sopan dan bertata susila yang baik adalah agenda yang mesti diutamakan. Meskipun realiti semasa memperlihatkan nilai kesopanan dan kesusilaan ini seakan semakin terhakis daripada masyarakat Malaysia, aspek ini perlu sentiasa diangkat dan diingatkan kepada setiap generasi. Terhakisnya nilai ini tidak lain adalah kerana salah fahamnya pada pengertian merdeka yang sebenar. Merdeka sebenar bukan dalam erti kata kebebasan total yang meletakkan keinginan sendiri sebagai perkara tertinggi, tetapi ia adalah kebebasan terpimpin dalam mengekalkan Nilai Malaysia.
 
MERDEKA ADALAH PERJUANGAN BERTERUSAN
 
Maka apa yang perlu kita lakukan sekarang? Bagaimana untuk kita kembalikan nilai Malaysia ini? Yang pertama, kita perlu ada kesatuan kesedaran akan perkara ini. Seterusnya mari kita duduk dan bincangkan perkara ini bersama kerana solusi ini tidak harus datang daripada satu minda sahaja. Two heads better than one. Ya, kita akan lalui perbalahan dan ketidak setujuan di sepanjang perjalanan ini. Sungguhpun begitu, persamaan kawasan bertindih kita di dalam Venn diagram bagi mengaitkan hubungan sesama kita adalah lebih besar dan banyak. Cukup banyak hinggakan frasa Keluarga Malaysia amat cocok untuk menggambarkan hubungan ini.
 
Hakikatnya merdeka ini adalah perjuangan berterusan dan inklusif buat semua rakyat Malaysia. Sambutan setiap tahun itu adalah peringatan buat setiap generasi semasa untuk tidak melupakan tugas perjuangan ini. Rakyat terpimpin, Malaysia Prihatin. Salam Merdeka, selamat bekerja buat semua.
 
“Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.”
 
Surah Ali’Imraan (3) : 159
 
 

Ditulis oleh

Siti Juwairiyah Binti Ali
Ahli Kluster Pendidikan,
Jabatan Profesional Muda, DPPM
Penulis merupakan pemenang tempat pertama dalam pertandingan penulisan sempena hari kemerdekaan anjuran JPro dengan tema #IniBenderaKita.

12 September 2021