JPro

MASIH SELAMATKAH MENYIMPAN DUIT DI BANK?

15 Fakta Penting yang Anda Perlu Ketahui
 
Selepas apa yang terjadi ke atas pembiayaan kepada Genting Hong Kong, masih selamatkah duit kita yang berada di bank-bank yang berkaitan?
 
Sebelum menyentuh isu di atas, kita perlu memahami dahulu sebahagian operasi perbankan di Malaysia.
 
1. Bank-bank di Malaysia dikawalselia oleh Bank Negara Malaysia (BNM), yang antara lainnya bertindak sebagai penggubal dan penguatkuasa polisi yang bertanggungjawab untuk memastikan bank-bank patuh kepada polisi-polisi yang digubal.
 
2. Antara tujuan utama penggubalan dan penguatkuasaan polisi adalah untuk memastikan kestabilan kewangan di dalam negara dan perlindungan terhadap pelanggan bank.
 
3. BNM mengadaptasi Basel III, iaitu suatu piawaian perbankan antarabangsa yang bertujuan untuk mengukuhkan peraturan, pengawalseliaaan dan pengurusan risiko di dalam industri perbankan. Basel III sangat mengutamakan antara lainnya kecukupan modal yang diperlukan untuk bank beroperasi.
 
4. Secara umumnya, bank perlu menyediakan modal yang mencukupi sebelum menawarkan sebarang khidmat kepada pelanggan. Hal ini membolehkan bank mampu untuk menampung kerugian yang dihadapi dengan pantas jika berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini kepada khidmat-khidmat perbankan yang ditawarkan kepada pelanggan.
 
5. Sebagai contoh, mengikut prinsip pertama Basel III iaitu Keperluan Modal Minima, pihak bank haruslah mengekalkan ‘Common Equity Tier 1’ atau CET1 (modal yang paling cair) sekurang-kurangnya 7% daripada aset wajaran risiko (risk-weighted assets).
 
6. Dalam erti kata lain, secara ringkasnya, apabila bank meluluskan suatu pembiayaan sebanyak RM100,000, selain bank secara teorinya perlu mempunyai deposit daripada pelanggan sebanyak RM100,000, bank juga perlu menyediakan modal sekurang-kurangnya sebanyak RM7,000 untuk antara lainnya melindungi deposit pelanggan jika pembiayaan tersebut gagal.
 
7. Proses ini diulangi untuk pembiayaan-pembiayaan yang lain dan harus diketahui bahawa tidak semua pembiayaan berisiko tinggi untuk gagal.
 
8. Data Disember 2021 daripada BNM menunjukkan daripada jumlah pembiayaan sistem perbankan, hanya 1.4% daripada jumlah pembiayaan dijangkakan gagal untuk membuat pembayaran balik pinjaman.
 
9. Untuk pengetahuan, cadangan Keperluan Modal Minima sebanyak 7% daripada Basel III ini adalah hasil beberapa analisa senario dan ujian stress yang dilakukan berdasarkan beberapa krisis kewangan yang telah berlaku, dan dijangkakan pihak bank secara umumnya akan selamat daripada muflis jika tahap modal sebegini dikekalkan.
 
10. Berita baiknya adalah, bank-bank di Malaysia mempunyai purata CET1 yang sangat tinggi iaitu sekitar 14%; seganda daripada modal minima yang dicadangkan oleh Basel III pada 7%. .
 
11. Selain itu, adalah mandatori bagi pihak bank untuk menyediakan jangkaan peruntukan kerugian yang bakal ditanggung jika pelanggan tidak mampu untuk membayar semula pembiayaan, berdasarkan kedudukan kewangan dan kapasiti semasa pelanggan untuk membayar semula pembiayaan mengikut jadual yang telah ditetapkan.
 
12. Maybank sebagai contohnya, telah memasukkan peruntukan jangkaan kerugian (difahamkan termasuk jangkaan kerugian daripada pembiayaan kepada Genting HK) di dalam pengiraan untung rugi untuk tahun kewangan berakhir 2021, tetapi masih mampu merekodkan keuntungan bersih (sebelum audit) sebanyak RM6 billion untuk 9 bulan pertama tahun 2021 (berbanding RM4.9 billion pada tahun sebelumnya).
 
13. Ini menunjukkan bahawa jangkaan kerugian yang bakal ditanggung daripada pembiayaan kepada perniagaan-perniagaan yang terkesan daripada pandemik dalam tahun 2021 mampu diserap hanya melalui keuntungan daripada aktiviti-aktiviti perniagaan Maybank sahaja tanpa perlu menyentuh modal.
 
14. Berdasarkan contoh-contoh di atas, jelaslah bahawa bank-bank di Malaysia mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh untuk mengharungi ketidaktentuan ekonomi disebabkan oleh pandemik dan kelembapan ekonomi semasa.
 
15. Kita beruntung kerana mempunyai BNM sebagai pengawalselia bank yang begitu berdisiplin dan tegas terhadap pematuhan kepada polisi berkaitan industri perbankan di Malaysia, setara dengan pengawalselia bank di negara-negara maju.
 
Sebagai kesimpulan, seharusnya kita tidak perlu berasa gusar sehingga hilang kepercayaan terhadap sistem perbankan kerana industri perbankan di Malaysia masih berada di tahap yang sangat kukuh dan stabil.
 
Teruskanlah menggunakan khidmat perbankan di Malaysia, terutamanya perbankan Islamik.

Ditulis oleh

Syahir Sabri
Kluster Ekonomi & Kewangan
Jabatan Profesional Muda, DPPM
Penulis merupakan ahli Kluster Ekonomi & Kewangan Jabatan Profesional Muda (JPro) DPPM. Beliau merupakan Penganalisa Perbankan dan Takaful/Insurans di salah sebuah firma pelaburan terkemuka di Malaysia.

7 Februari 2022