JPro

MEDIA BERINTEGRITI, NEGARA SEJAHTERA

يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْٓا اِنْ جَاۤءَكُمْ فَاسِقٌۢ بِنَبَاٍ فَتَبَيَّنُوْٓا اَنْ تُصِيْبُوْا قَوْمًاۢ بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوْا عَلٰى مَا فَعَلْتُمْ نٰدِمِيْنَ
 
Maksudnya :
Wahai orang-orang yang beriman! Jika seseorang yang fasik datang kepadamu membawa suatu berita, maka telitilah kebenarannya, agar kamu tidak mencelakakan suatu kaum karena kebodohan (kecerobohan), yang akhirnya kamu menyesali perbuatanmu itu.
 
(Surah Al-Hujurat : 6)
 
Dunia hari ini berdepan dengan kemajuan teknologi serba canggih. Segala jenis maklumat dan data yang diinginkan boleh didapati sekelip mata dengan hanya satu klik. Tambahan pula, kewujudan pelbagai platform media sosial menjadikan sebaran maklumat begitu pantas tanpa mengambil kira kesahihan maklumat tersebut.
 
Selain itu, lambakan portal berita dan laman blogger turut mengancam masyarakat sejagat dengan penyebaran berita palsu. Ditambah lagi dengan berita-berita sensasi yang sengaja diada-adakan sebagai senjata untuk membunuh karakter seseorang.
 
Sebagai petugas media, sudah pasti banyak informasi dan maklumat terkini yang ingin disampaikan kepada orang awam. Justeru, menjadi tanggungjawab para petugas media untuk menyampaikan segala jenis maklumat dengan sahih dan tepat.
 
Kajian serta risikan maklumat yang terperinci perlu didapati sebelum sebarang kenyataan dikeluarkan. Hal ini penting bagi mengelakkan penyebaran maklumat yang salah lagi tidak tepat.
 
Namun, nilai intergriti ini bergantung kepada individu pemberita itu sendiri. Sekiranya yang dikejar hanya ingin mendapatkan habuan dunia semata-mata, maka maklumat yang benar juga dapat diselewengkan.
 
Walhal, penyampaian maklumat atau berita yang sahih ini bukan sahaja dapat memberikan informasi, malah turut dapat membuka minda masyarakat dengan pelbagai idea dan inspirasi.
 
Lihat sahaja di luar sana, berapa ramai mereka-mereka yang terinspirasi dengan berita kejayaan anak muda dalam sektor perniagaan, pertanian dan sebagainya.
 
Akhir kalam, bersempena Hari Kebangsaan kali ke 65 ini, marilah sama-sama kita berganding bahu dalam membina sebuah negara yang harmoni. Setiap bait kata dan tulisan yang disebarkan harus dipastikan dapat memberi manfaat serta menyatukan ummah di negara ini.
 
Keluarga Malaysia, Teguh Bersama

Ditulis oleh

Muhammad Akid Hafriz bin Muhamad
Penulis merupakan peserta dalam pertandingan penulisan sempena hari kemerdekaan dan hari Malaysia anjuran JPro dengan tema #teguhmembinanegara.

7 September 2022