JPro

MEMPERJUANGKAN DATA PERIBADI SEIRING DENGAN TEKNOLOGI TERKINI

1. Antara kebimbangan besar sebagai rakyat pada hari ini adalah berkaitan perlaksanaan aspek undang-undang dalam menjaga keselamatan data peribadi. Kebelakangan ini, kita menyedari semakin banyak kaedah bersistem diguna pakai oleh pihak Kerajaan seperti PADU, MyDigital, MySejahtera dan sebagainya.

2. Umum mengetahui bahawa perundangan berkaitan data peribadi di Malaysia iaitu Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA), hanyalah dilaksanakan bagi sektor swasta sahaja. Namun, akta tersebut tidak diguna pakai dalam sektor Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri seperti termaktub pada Bahagian 1, Seksyen 3 (1) akta tersebut.

3. Seiring dengan perkembangan semasa, Malaysia telah mengorak langkah ke hadapan di dalam era penggunaan ‘Artificial Intelligence’ (AI). Salah satu inisiatif yang telah dibuat untuk menjadikan AI sebagai sebuah pengurusan data yang lebih efektif adalah seperti “Program AI untuk Rakyat”. Dengan adanya pengurusan teknologi ini, transformasi gerak kerja antara agensi-agensi kerajaan diharap lebih efektif dan efisyen.

4. Walaupun begitu, menjadi suatu persoalan utama, sekiranya data peribadi selepas ini lebih mudah dikongsi, apakah ada tindakan awal pihak Kerajaan dalam mengawasi risiko yang tidak diingini? Hal ini kerana bank data pada masa kini diumpamakan seperti lombong emas yang sangat berharga.

5. Justeru, antara persoalan yang memerlukan jawapan tuntas pihak Kerajaan berkenaan isu pemantauan data peribadi ini (track and trace) adalah seperti berikut:

i. Bagaimanakah teknologi AI yang sama dapat membantu dalam mencari dan mengenal pasti si pencuri data peribadi?
ii. Apakah tindakan undang-undang yang ditetapkan kepada pencuri data peribadi tersebut?
iii. Sejauh manakah keselamatan data peribadi tidak disebarkan secara personal dan tidak bertanggungjawab di aplikasi seperti Whatsapp, Email ataupun Telegram?

6. Menjadi satu keperluan untuk menambah baik perundangan berkaitan PDPA demi kepentingan dan keselamatan data peribadi rakyat Malaysia. Setiap sektor Kerajaan adanya pihak yang melaksanakan penguatkusaan, namun penguatkuasaan paling tinggi adalah hitungan di akhirat kelak dan sesungguhnya Allah Maha Melihat.

7. Mahu atau tidak, semuanya datang daripada kesungguhan politik (political will) Kerajaan semasa. Teknologi sentiasa akan berubah, bagaimana pula dengan perundangan?

 

Senarai Rujukan:
1) https://ai.gov.my/
2) https://www.pdp.gov.my/jpdpv2/akta-709/ketidakpakaian-akta/
3) https://www.pdp.gov.my/jpdpv2/pusat-media

Ditulis oleh

Izdihar Sahalan
Pelajar MPhil Policy Studies
Ahli Kluster Teknologi Maklumat,
Jabatan Profesional Muda, JPro

Penulis merupakan ahli Kluster Teknologi Maklumat JPro dan merupakan Pelajar MPhil Policy Studies.

31 Januari 2024