JPro

MENELUSURI PERJALANAN ISRAK DAN MIKRAJ SECARA RINGKAS

1. Ulama berselisih pendapat tentang tarikh sebenar berlakunya peristiwa Israk Mikraj. Namun begitu, jumhur ulama berpendapat bahawa peristiwa ini berlaku pada 27 Rejab selepas Rasulullah SAW dilantik menjadi Rasul dan setahun sebelum baginda SAW berhijrah dari Mekah ke bumi Madinah.

2. Menurut sejarah, latar belakang berlakunya peristiwa ini kerana kesedihan dan kedukaan Rasulullah SAW akibat tentangan, ancaman, pemulauan, ejekan dan sebagainya yang telah dilakukan oleh kaum kafir musyrikin terhadap baginda. Pada masa yang sama, Rasulullah SAW juga telah kehilangan dua tonggak utama yang menjadi tulang belakang gerakan dakwah baginda pada waktu itu, iaitu isteri baginda Saidatina Khadijah serta bapa saudara baginda, Abu Talib. Menurut para sejarawan Islam, Tahun tersebut diabadikan sebagai “Tahun Kesedihan”.

3. Kerana terlalu sedih, pergerakan dakwah baginda menjadi perlahan sehingga orang kafir Quraisy menganggu baginda, yang menjadi sebab baginda beredar ke Taif. Di Taif, dakwah baginda bukan sahaja ditolak, malah baginda turut dimaki dan disakiti.

4. Justeru, untuk meredakan kesedihan dan kedukaan Rasulullah SAW, sekali gus mengendurkan ketegangan dalam menghadapi tentangan kaumnya, maka Allah SWT menjemput Rasulullah SAW untuk Israk dan Mikraj bagi menggembirakan kembali hati baginda.

5. Sebelum memulakan perjalanan, Malaikat Jibril telah terlebih dahulu membedah dan membersihkan dada Rasulullah SAW dengan air zamzam.

6. Kemudian baginda didatangi oleh sejenis binatang tunggangan bernama Buraq. Rasulullah SAW menziarahi beberapa tempat sambil diiringi Malaikat Jibril sehinggalah ke Masjid Al-Aqsa.

7. Setibanya di Masjid Al-Aqsa, Rasulullah SAW terus masuk ke dalam masjid dan menjadi imam solat dua rakaat kepada para anbia’ dan mursalin. Malaikat Jibril juga telah menguji Rasulullah SAW dengan dua hidangan susu dan arak. Rasulullah saw memilih susu sebagai minumannya.

Kata Jibril: “Baginda SAW membuat pilihan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.”

8. Selesai proses Israk, Rasulullah SAW diangkat ke langit melepasi tujuh lapisan langit. Di setiap tangga baginda Rasulullah SAW telah dipertemukan dengan nabi-nabi yang terdahulu seperti Nabi Adam, Nabi Isa, Nabi Yahya, Nabi Yusof, Nabi Idris, Nabi Harun, Nabi Musa dan Nabi Ibrahim.

9. Selepas itu, Rasulullah SAW telah dinaikkan ke Sidrat al-Muntaha untuk bertemu dengan Allah SWT dan menerima perintah fardhu solat sebanyak 50 waktu.

10. Selepas selesai munajat, Rasulullah SAW menemui Nabi Ibrahim dan Nabi Musa yang kemudiannya menyuruh baginda untuk merayu kepada Allah SWT agar diberi keringanan untuk mengurangkan jumlah waktu solat kepada lima waktu sehari semalam.

11. Setibanya di Mekah, Rasulullah SAW menceritakan berkenaan peristiwa Israk dan Mikraj tersebut kepada masyarakat Mekah. Orang-orang kafir tidak mempercayai kata-kata baginda malah ada juga dalam kalangan mereka yang telah memeluk Islam menjadi murtad kembali.

12. Di dalam peristiwa ini, Sayyidina Abu Bakar telah mendapat gelaran As-Siddiq yang bermaksud ‘Yang Membenarkan’ kerana keyakinan beliau yang tidak berbelah bahagi kepada Rasulullah.

13. Kesimpulannya, perjalanan Rasulullah SAW dalam peristiwa Israk dan Mikraj mengajar kita semua sebagai pendakwah untuk berehat sejenak dan mengisi hati dengan kisah-kisah yang dapat memotivasikan diri untuk terus berjuang di jalan dakwah.

14. Melalui peristiwa ini juga, kita dapat lihat kepentingan Masjid Al-Aqsa yang menjadi kiblat pertama kaum muslimin. Hari ini, Zionis Israel telah merampas tanah umat Islam dan melakukan kezaliman ke atas penduduknya tanpa belas kasihan. Penyatuan umat Islam seluruhnya dapat menghentikan penindasan ini daripada berpanjangan.

 

Sumber:

1. JAKIM. 2018. Iktibar dari Peristiwa Israk dan Mikraj. http://www.islam.gov.my/…/1414-iktibar-dari-peristiwa…

2. Namri Sidek. 2017. Jom Fahami Asas Peristiwa Israk dan Mikraj. https://iluminasi.com/…/jom-fahami-asas-peristiwa-israk…

3. Rahmah Ahmad. 2011. Manipulasi Peristiwa Israk Mikraj dalam Karya Sastera Arab dan Barat

Ditulis oleh

Syafiqah Azmi
Kluster Komunikasi & Media
Jabatan Profesional Muda, DPPM
Penulis merupakan SU Unit Korporat, JPro DPPM. Graduan di salah sebuah universiti swasta dalam bidang BBA Marketing serta aktif dalam aktiviti dakwah dan penulisan.
 

3 April 2019