JPro

Menyoroti Dewan Negara, 64 Tahun Berlalu, Perubahan Semakin Perlu

Bahagian 2: Dimensi Baru Dewan Negara, Sebuah Dewan Legislatif Yang Berkesan

Sepanjang 64 tahun kewujudan Dewan Negara, pelbagai kritikan dilontarkan kerana fungsi Dewan Negara yang dilihat sebagai kurang berkesan dan bersifat “rubber stamp”. Oleh itu langkah-langkah segera perlu dilakukan bagi menambahbaik peranan dan kredibiliti Dewan Negara dalam menjalankan fungsi seperti yang dikehendaki Perlembagaan Persekutuan. Ini bagi memastikan keluhuran perlembagaan dan kekuasaan Parlimen melalui Dewan Rakyat dan Dewan Negara dipeliharakan dan diamalkan dalam bentuk yang dihasratkan perlembagaan. Berikut adalah cadangan-cadangan penambahbaikan yang memberi nilai tambah dan nafas baru Dewan Negara.

1. Penambahbaikan Pertama : Keahlian yang lebih inklusif bagi Lantikan YDPA

Sebarang perubahan kepada keahlian Dewan Negara mestilah dengan mengambil kira dua prasyarat berikut : 

  1. Menjamin kestabilan kepada kerajaan melalui peluang kelebihan numerikal dalam Dewan Negara 
  2. Memenuhi hasrat yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan dalam soal keahlian 

Mengambil kira kehendak perlembagaan dan keperluan segara reformasi agar tidak memerlukan sebarang pindaan kepada Perlembagan, komposisi baru Dewan Negara boleh dibuat melalui penambahbaikkan perlantikan 40 orang Lantikan YDPA. Perlantikan 40 ahli ini boleh dicerakinkan dengan konsep baru seperti ini :

  1. Dua puluh (20) orang ahli dilantik YDPA berdasarkan kepada peratus undi popular rasmi peringkat Parlimen. Setiap lima peratus (5%) undi popular yang dikumpulkan oleh Parti atau gabungan parti yang layak mendapat satu kerusi di Dewan Negara 
  2. Empat (4) orang ahli dilantik oleh YDPA berdasarkan nasihat khusus Perdana Menteri. Ini bagi memberikan kelebihan numerikal kepada kerajaan atau untuk ahli berkenaan dilantik sebagai Anggota Pentadbiran (Menteri atau Timbalan Menteri). Ini juga bagi mengurangkan polemik “backdoor minister” iaitu perlantikan terlalu ramai ahli politik yang tewas dalam pilihanraya umum sebagai Menteri atau Timbalan Menteri.
  3. Enam belas (16) orang ahli dilantik oleh YDPA berdasarkan hasrat asal dalam Perkara 45 (2). Ini juga bertepatan seperti mana jumlah asal 16 orang lantikan YDPA semasa Persidangan Pertama Dewan Negara 1959. Dua (2) orang daripada lantikan ini bolehlah dikhaskan untuk jawatan Yang Dipertua & Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara sekaligus menjamin sikap berkecuali mereka.
 

Sebagai menjalankan kehendak Perlembagaan dan ke arah prinsip demokrasi yang telus, Perdana Menteri haruslah menurunkan kuasa menasihat perlantikan kepada sebuah Jawatankuasa Bebas dinamakan Jawatankuasa Keanggotaan Dewan Negara yang seterusnya berfungsi sebagai badan yang menjalankan peranan menasihat YDPA bagi mencapai hasrat di atas

2. Penambahbaikan Kedua : Lebih banyak Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Negara

Sebuah Dewan Parlimen yang dihormati adalah yang boleh menjalankan peranan semak dan imbang dengan baik semasa sidang dan selepas sidang (on and off session). Walaupun Dewan Negara Malaysia banyak mengambil konsep daripada Rayja Sabha India, konsep asal sebuah Dewan Tinggi atau Senat ini bermula di Amerika Syarikat. Jadi usaha-usaha penambahbaikan Dewan Negara perlulah mengambil inspirasi daripada peranan yang dijalankan oleh Senat Amerika Syarikat. 

Senat Amerika Syarikat mempunyai peranan Jawatankuasa Senat yang kuat dan berperanan luas. Namun begitu, penambaikan Dewan Negara tidaklah perlu meniru kesemua Jawatankuasa Senat AS tetapi mengambil kira juga peranan dan asal usul Dewan Tinggi Parlimen Komamwel iaitu House of Lords di United Kingdom. Garis pemisah antara peranan tersendiri Dewan Negara dan Dewan Rakyat perlu diwujudkan bagi memberi setiap Dewan keunikan (niche) dan tradisi tersendiri. Antaranya ; 

  1. Tidak mewujudkan Jawatankuasa berkaitan Perbekalan atau Percukaian kerana secara tradisinya adalah bidang kuasa mutlak Dewan Rendah
  2. Melihat lebih dekat dalam hal mengenai Senarai Bersama 
  3. Menumpukan kepada perjanjian antarabangsa dan hal ehwal luar negara
  4. Menfokuskan kepada perihal kelompok masyarakat dan hal-hal minoriti
 

Berdasarkan kriteria-kriteria di atas, adalah dicadangkan empat Jawatankuasa Pilihan yang dinamakan Jawatakuasa Khusus Dewan Negara ditubuhkan : 

  1. Jawatakuasa Khusus Dewan Negara bagi Hak Antara Negeri & Persekutuan
    i. Jawatankuasa ini boleh diberi peranan bagi membincangkan dan memperincikan sebarang hal-hal berkaitan hubungan Negeri dengan Persekutuan dan usaha-usaha penambahbaikan.
  2. Jawatakuasa Khusus Dewan Negara bagi Agenda Luar & Pertubuhan Antarabangsa
    i. Jawatankuasa ini boleh diberi peranan bagi membincangkan dan memperincikan sebarang hal-hal berkaitan hubungan Malaysia dengan Negara Luar atau pertubuhan antarabangsa termasuk penyertaan Malaysia dalan perjanjian-perjanjian Antarabangsa.
  3. Jawatakuasa Khusus Dewan Negara bagi Peribumi, Orang Asli, dan Kumpulan Khusus & Minoriti
    i. Jawatankuasa ini boleh diberi peranan bagi membincangkan dan memperincikan sebarang hal-hal berkaitan masyarakat peribumi,orang asli, minoriti ke arah pembangunan masyarakat dan pengekalan identiti kebudayaan.
  4. Jawatakuasa Khusus Dewan Negara bagi Urusan Penjawatan Berkepentingan Awam & Entiti Berkaitan Kerajaan
    i. Jawatankuasa ini boleh diberi peranan bagi membincangkan dan memperincikan sebarang perlantikan, perjalanan dan penglibatan badan atau syarikat milik kerajaan Persekutuan ataupun negeri dalam urusan yang melibatkan kepentingan awam. 

3. Penambahbaikan Ketiga : Struktur Dewan yang lebih Berkesan

Hal terakhir yang perlu diberi perhatian jika Dewan Negara ingin kembali dihormati dan dipandang tinggi ialah melalui struktur dan perjalanan Dewan yang jelas. Antara langkah yang baik ialah meminjam pendekatan yang diamalkan oleh Senat Amerika Syarikat dengan mewujudkan jawatan Ketua Majoriti dan Ketua Minoriti. Hal ini akan membantu mejadikan perbahasan di Dewan Negara lebih berkesan dengan perkumpulan yang jelas. Namun begitu, suasana asal Dewan Negara yang kurang “politicking” ini masih mampu dikekalkan kerana masih wujud perkumpulan lantikan YDPA yang akan mengambil peranan lebih neutral dan “crossbencher”. Penjawat-penjawat Dewan ini juga perlulah dibekalkan dengan perkhidmatan sokongan dan perbekalan yang sewajarnya.

Struktur yang jelas ini juga boleh dipanjang ke peringkat Jawatankuasa Khusus Dewan Negara. Jawatankuasa ini hanya dapat berfungsi dengan berkesan jika setiap mereka dibekalkan perkhidmatan sokongan dan perbekalan yang khusus. 

Rajah 3: Contoh Struktur Organisasi setiap Jawatankuasa Khusus Dewan Negara

4. Kesimpulan

Usaha penambahbaikan Dewan Negara adalah suatu usaha yang mendesak dan perlu dilakukan segera. Cadangan-cadangan yang diutarakan di atas mampu dilakukan segera tanpa perlu kepada Pindaan Perlembagaan  dan hanya memerlukan kemahuan politik oleh kerajaan yang memerintah.

Namun begitu cadangan-cadangan penambahbaikan ini adalah bersifat remedial dan usaha-usaha penambahbaikan berterusan perlu terus digembleng. Di harapkan sempena 60 Tahun Penubuhan Malaysia serta mengambil semangat ulang tahun Ke-64 Persidangan Dewan Negara pada 11 September lepas disamping perlantikkan Yang di-Pertua Dewan Negara yang baru, usaha penambahbaikan ini dapat disegerakan.

Ditulis oleh

Muhammad Shah Mizack

Ahli Jabatan Professional Muda, DPPM

Penulis merupakan ahli JPro dan juga seorang Jurutera Minyak & Gas.

7 November 2023