JPro

MERDEKA: SEJAHTERA DENGAN ILMU

 
“Selamat pagi, hari ini saya akan membentangkan kepada semua berkaitan 3-MCPD dan GE”, saya memulakan sesi perkongsian berkaitan 3-MCPD dan GE kepada rakan-rakan jabatan saya.
 
3-MCPD (3-monochloropropanediol) dan GE (glycidyl ester) adalah sebatian kimia organik yang merupakan bahan cemar pemprosesan yang terbentuk khususnya banyak di dalam lemak dan minyak tumbuhan terproses. 3-MCPD dan GE ini disyaki adalah karsinogen yang bersifat karsinogenik kepada manusia.
 
MENAMBAH ILMU
 
Mungkin ini adalah satu ilmu baru. Mungkin juga ada yang sudah tahu. Namun izinkan saya kongsikan sedikit ilmu, mudah-mudahan membantu.
 
Secara amnya, karsinogen ialah agen yang boleh mengakibatkan pertumbuhan barah (kanser) di dalam tisu hidup. The International Agency for Research on Cancer (IARC) telah mengkelaskan 3-MCPD/3-MCPDE di dalam Kumpulan 2B iaitu berkebarangkalian karsinogenik, manakala GE pula diklasifikasikan di dalam Kumpulan 2A iaitu berkemungkinan karsinogenik.
 
Ini bermakna kajian sedia ada belum lagi cukup untuk membuktikan sebatian ini adalah karsinogenik kepada manusia. Banyak lagi bahan lain yang berada di dalam kategori ini di sekeliling kita. Bahkan yang telah dibuktikan karsinogenik pun ada. Kenapa bukan semua orang kena kanser walau terdedah dengan karsinogen? Jawapannya adalah kuantiti. Kuantiti yang badan kita terima tidak cukup untuk mencetuskan pembentukan kanser.
 
Bagaimana rupa dua sebatian ini? Sebelum itu, mari kita lihat dahulu bagaimana sebatian ini terhasil.
 
3-MCPD/3-MCPDE ini terhasil pada suhu yang tinggi dengan kehadiran ion klorida (Cl⁻). Struktur molekular 3-MCPD ini dapat dibayangkan sebagai kepala garpu dengan tiga jari (glycerol), pada salah satu jari yang hujung itu ada sebutir nasi (Cl⁻). Jika butir nasi tu di jari yang tengah, maka ia adalah 2-MCPD. Seterusnya selain nasi, baki jari yang lain pula ada mi kuning (fatty acid), maka kita panggilnya 3-MCPDE.
 
GE pula terbentuk apabila berlakunya penyusunan semula intramolekular bagi komponen MG dan DG di dalam minyak tumbuhan membentuk ‘epoxide ring’ apabila didedahkan kepada suhu yang tinggi (>200°C dan pembentukan lebih tinggi jika suhu >230°C). Minyak sawit mempunyai nilai DG yang paling tinggi berbanding minyak tumbuhan yang lain, menjadikan jumlah GE dilaporkan paling tinggi. Di sinilah poin minyak kelapa sawit didiskriminasi oleh pihak tertentu.
 
Okei, bayangkan sekali lagi kepala garpu dengan tiga jari (glycerol). Salah satu jari bercantum dengan dengan jari yang di tengah membentuk seperti cincin (epoxide ring), inilah dia glycidol. Jika baki satu lagi jari tersebut ada mi kuning (fatty acid), maka kita panggilnya GE.
 
KUALITI PRODUK, KUALITI PEKERJA
 
“Boleh awak terangkan apakah beza 3-MCPD dan GE?”, tanya ketua jabatan saya daripada Jepun.
 
Soalan itu ditanyakan kepada saya selepas saya selesaikan pembentangan saya. Soalan yang bukanlah untuk diketahui jawapannya tetapi untuk menguji tahap pemahaman saya.
 
Sebenarnya pembentangan ini hanyalah bersifat dalaman jabatan sahaja. Tujuannya adalah supaya saya lebih jelas projek yang bakal diberikan dan rakan-rakan sekerja yang lain turut kentara berkaitan topik ini.
 
Bersinergi di salah sebuah syarikat dari Jepun yang memproses bahan mentah untuk makanan, kualiti produk sentiasa menjadi keutamaan. Bahkan kesungguhan syarikat dalam memastikan ketinggian kualiti ini dapat dilihat dengan usaha syarikat mendapatkan penarafan ISO 22000:2012 Sistem Pengurusan Kawalan Makanan, ISO 9001:2008 Sistem Pengurusan Kualiti, Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP) dan memastikan setiap produk yang dihasilkan mempunyai sijil Halal.
 
Namun, bagi penghasilan produk berkualiti, terlebih dahulu syarikat perlu mempunyai pekerja yang berkualiti. Oleh itu peningkatan kemahiran (skil) dan kefahaman (ilmu) pekerja sentiasa dilakukan secara berterusan. Kaizen atau peningkatan berterusan ini jugalah yang menjadi esensi bagi syarikat-syarikat yang berjaya.
 
MERUBAH DIRI DENGAN ILMU
 
Saya sentiasa percaya sekiranya negara mahu bangun mencapai kemajuan dan kesejahteraan, perubahan perlu dilakukan dan dimulakan dengan merubah rakyatnya. Inilah yang saya fikirkan setiap kali soalan “Apa selepas merdeka?” muncul di kepala.
 
…Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum (بِقَوْمٍ) sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri (بِاَنْفُسِهِمْۗ)…. (Surah Ar-Ra’d, ayat 11).
 
Kaum yang bersifat kolektif sangat terkesan dengan keadaan ‘diri’ yang individual. Dan keadaan diri yang berilmu adalah pintu utama perubahan tersebut. Ilmu menjadikan insan bertambah nilai. Manakala ilmu yang dipraktikkan menjadikan insan tersebut bernilai.
 
Ilmu memerdekakan manusia daripada kehambaan untuk tunduk kepada yang bukan-bukan. Ilmu memimpin agar kebebasan tersebut sentiasa di dalam landasan. Ilmu mendidik untuk menghargai kebersamaan berbanding melayan perpecahan. Bahkan ilmulah yang dapat memberikan kekuatan untuk bangun selepas kejatuhan. Ilmu yang benar adalah ilmu yang tidak bercanggah dengan syariat Tuhan. Dan menuntutnya memerlukan kesabaran dan keteguhan.
 
Hakikatnya kemerdekaan ini memerlukan pimpinan wahyu dan ilmu. Membangunkan negara ini adalah perjuangan panjang yang memerlukan konsistensi semangat yang utuh secara bersama. Biar pun langkah itu kecil, namun kesannya akan tetap dirasa. Chiri mo tsumoreba yama to naru. Harapan tak putus sampai jerat tersentak rantus. Ayuh kita #TeguhMembinaNegara dengan ilmu menuju Baldatun Thayyibatun wa Rabbun Ghafur.
 
Salam Kemerdekaan dan Selamat Hari Malaysia. Saya sudah kongsikan sedikit ilmu yang saya ada dengan anda. Sekarang giliran anda pula. Diiring senyuman, mari kongsikan dengan saya dan semua.
 
Rujukan:
3. Agents Classifed by the IARC Monographs, Volumes 1–129 (Last updated: 2021-09-27 02.50pm)
4. Wheng, W.W., Liu, G.Q., Wang, L.Q., Liu, Z. 2017. Glycidyl fatty acid esters in refined edible oils: A review on formation, occurrence, analysis, and elimination methods. Comprehensive Reviews in Food Science and Food Safety. 16:263-281.
S. N. Sulin, M. N. Mokhtar, M. A. P. Mohammed, and A. S. Baharuddin “Review on palm oil contaminants related to 3-monochloropropane-1,2-diol (3-MCPD) and glycidyl esters (GE),” My Food Research, vol. 4, suppl. 6, pp 11 – 18, 2020.

Ditulis oleh

Arif Ainuddin Bin Mohd Razali
Penulis merupakan peserta dalam pertandingan penulisan sempena hari kemerdekaan dan hari Malaysia anjuran JPro dengan tema #teguhmembinanegara.

21 September 2022